Peralihan Kuasa

3 April yang lepas menyaksikan peralihan kuasa Perdana Menteri Malaysia daripada kepimpinan Tun Abdullah bin Ahmad Badawi kepada Dato’ Seri Najib bin Tun Razak. Peralihan kuasa ini berlaku dalam Rabiul Akhir mengingatkan saya kepada satu peristiwa peralihan kuasa yang cukup bermakna dalam sejarah Islam sewaktu pemerintahan Bani Umayyah, yang turut berlaku dalam bulan Rabiul Akhir. Iaitu peralihan kerusi Khalifah daripada Sultan Sulaiman bin Abdul Malik kepada Sultan Umar bin Abdul Aziz.

Pra Perlantikan

Peristiwa peralihan kuasa ini penuh dengan pengajaran yang sepatutnya diambil oleh kita semua. Apabila Sultan Sulaiman bin Abdul Malik memutuskan untuk meletakkan jawatannya sebagai khalifah, beliau telah menyatakan hasratnya untuk melantik anaknya untuk menggantikan tempatnya. Hal ini jelas sekali kerana tradisi peralihan kuasa pada zaman Bani Umayyah adalah bersifat feudal. Bagaimanapun, pihak ulama’ dan pembesar di dalam majlis syuro berbeza pendapat dalam hal ini. Terutama sekali waktu itu kaum musyrikin yang berpusat di bumi Constantinople sangat aktif menggasak sempadan kerajaan Islam Umayyah. Usia anak Sultan Sulaiman yang masih muda dan belum mahir sepenuhnya dengan selok belok pemerintahan dilihat sebagai satu faktor kepada penolakan kepadanya sebagai pengganti Sultan Sulaiman. Para ulama’ dan pembesar seterusnya mencadangkan Umar Abdul Aziz sebagai pewaris kekuasaan Khalifah Umayyah dan cadangannya ini akhirnya dipersetujui semua.

Satu ibrah (pengajaran) yang cukup penting kita ambil daripada kisah perbahasan dalam majlis syuro ini adalah sifat keterbukaan pemimpin tertinggi menerima pendapat mereka yang dibawah tadbir urusnya, terutamanya pendapat golongan ulama’. Situasi ini adalah cukup asing sekali bagi sistem pentadbiran sekular di Malaysia. Saya dalam perkara ini mengharapkan Allah membuka pintu hidayah bagi pemimpin negara Malaysia yang baru mendapat kekuasaan pentadbiran (Perdana Menteri baru dan beberapa orang menteri kabinet yang baru diumumkan hari ini) dapat memahami kedudukan ulama’ dalam menetapkan dasar pemerintahan. Kalau pun kelemahan pemimpin dan masyarakat menyebabkan perkara ini tidak mampu diimplimenkan secara total, buatlah sedikit dahulu. Hayati maksud usul fiqh;

“Kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua”

Begitu juga dengan desakan suara rakyat yang mendesak kepada perubahan. Layanilah dengan adil dan saksama. Perubahan pucuk pimpinan bukanlah perkara utama. Tapi perubahan cara dan dasar pimpinan itu tunjangnya. Perubahan pucuk pimpinan adalah opsyen rakyat yang terakhir kerana mereka terasa hilangnya kepercayaan kepada kerajaan yang sedia ada dengan trek rekod yang memalukan. Terbaru diterjemahkan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Hayati juga konsep challenge and response. Bagaimana parti yang menerajui kepimpinan negara sekarang mampu untuk menerima desakan rakyat (challenge) dan membuat perubahan yang sesuai (response). Kalau tetap bersifat keras seperti gunung, tidak mahu berganjak sedikt pun, tunggulah masanya datang tukang batu dengan jentera – jenteranya untuk meratakan gunung tersebut.

Baiah

Menyambung kembali titian sejarah perlantikan Sultan Umar bin Abdul Aziz, perwartaan serta merta pelantikan baginda tidak diketahui oleh dirinya sendiri. Sedang baginda khusyuk dengan iktikaf baginda di suatu penjuru masjid, rakyat jelata dan pembesar datang membaiah baginda. Menggigil baginda mendengar taklifan itu sampai terpaksa baginda dipapah menaiki mimbar bagi istiadat pembaiahan.

Menggigilnya Sultan Abdul Aziz itu tidak lain tidak bukan kerana tingkat taqwanya pada Allah. Betapa takutnya baginda bila dihadapkan kelak di depan Allah dengan taklifan sebesar itu. Taklifan menegakkan din dan mentadbir dunia dengan din tersebut. Justeru buat para pemimpin Malaysia, khususnya yang baru dinaikkan, janganlah dibanggakan dan dicanangkan sangat jawatan itu. Janganlah sehingga berminggu – minggu dipenuhkan setiap satu surat khabar dan televisyen bagi mewar – warkan perlantikan, kerana tanggungkan yang kalian pikul bukan kecil, sewajarnya kalian menangis dan bimbang dengan taklifan sebesar itu. Bayangkan sahaja masalah murtad, masalah sosial remaja, rogol, zina, sumbang mahram, rasuah dan pelbagai variasi budaya jahat di Malaysia ini, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan secara keseluruhan kelak? Tiada jalan lain lagi selain jalan taqwa untuk menyelamatkan kalian. Taqziah atas perlantikan kalian. Saya doakan hidayat Allah untuk kalian semua.

Kesimpulan

Tiada siapa yang layak menggariskan pimpinan yang baik selain daripada Pencipta kepada organisasi yang dipimpin itu. Satiap pimpinan pasti ada yang mencemuh dan mencari kelemahan, tapi buat pemimpin yang beriman, redha manusia itu bukanlah dasarnya, tetapi redha Allah. Siapa lagi yang dapat menundukkan hati – hati manusia kecuali Pemilik hati – hati manusia? Justeru, tunduklah pada redhaNya, nescaya ditundukkan rakyat untuk kalian.

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

Tinggalkan komen