Suatu Hari di 50680 Kuala Lumpur

Saya masih ingat satu peristiwa sekitar beberapa bulan lepas.  Saya bersama dua teman baru daripada FPPSM (Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia) UTM Skudai pergi ke Bangunan Parlimen. Di sana kami bertiga bergabung dengan rombongan Afifah, uminya (PM Dr Wan Maseri-PM) dan staf – staf uminya.  PM bercadang untuk membentangkan kertas cadangan beliau kepada dua orang menteri bagi mendapatkan suntikan dana untuk menjalankan program pembangunan anak – anak muda seperti saya.

Saya masih ingat waktu itu saya memakai blazer RM 25 yang dibeli daripada kedai bundle dan kasut hitam kulit yang baru dibeli dua hari sebelum itu (kerana kasut yang saya ada sebelum itu hanyalah safety boot yang dibeli seminggu sebelum PR mengadakan himpunan PROTES turun harga minyak di Stadium Malawati – itupun rabak kerana digunakan untuk buat kerja – kerja lasak sewaktu cuti semester).  Semasa di lobi, saya dapat lihat di skrin – skrin yang dipasang di setiap sudut dinding memaparkan suasana perbahasan di dalam Dewan Rakyat.  Kelihatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim waktu itu berhujah mengenai kes penyelewengan SPRM dalam beberapa minit sebelum Dewan berhenti rehat, lunch hour.

Bertemu Wakil – Wakil Rakyat

Kemudiannya saya menaiki tangga ke tingkat dua (yang menempatkan pintu masuk ke Dewan Rakyat, kafeteria, suite yang hanya boleh disediakan untuk wakil rakyat dan beberapa kedai cendera hati) diikuti teman – teman yang lain, PM pula sejak awal lagi sudah pergi bersama – sama dua orang kanan beliau untuk berurusan dengan orang tengah bagi menempah kedua – dua orang menteri tersebut (kabinet pada masa ini adalah kabinet Tun Abdullah – sekadar makluman).  Satu pengalaman yang berharga pada waktu itu ialah saya beselisih dengan Dato’ Seri Anwar yang baru keluar dari Dewan Rakyat bersama beberapa orang pengiring beliau.

“Assalamualaikum Dato’ Seri”, sapa saya sambil menghulurkan tangan.

“Wa’alaikumussalam, apa khabar?”, jawab beliau sambil menyalami saya dengan nada yang sinonim dengan gaya beliau yang berkarisma dan ramah (saya masih ingat sejuk juga tangan Dato’ Seri, mungkin sekali pendingin hawa Dewan Rakyat berfungsi dengan sangat baik)

“Baik, alhamdulillah”, jawab saya semula.  Beliau kemudian menyalami teman – teman saya sebelum terus beredar (kalau ada kamera waktu itu mungkin baik untuk saya ambil sebagai kenangan, tetapi silap – silap boleh dituduh melakukan sesuatu yang melambangkan sokongan terhadap sesebuah parti politik – bak kata AUKU).

Suasana di tingkat dua agak meriah.  Kumpulan – kumpulan wartawan, kakitangan Dewan Rakyat, wakil – wakil rakyat memenuhi ruang.  Di satu sudut kelihatan Karpal Singh di atas kerusi rodanya setia ditemani orang kanan beliau ditemuramah oleh sekumpulan wartawan.  Berasak – asak semuanya, kerana pada waktu itu, beliau panas dengan isu mengenai kenyataan beliau yang mahu menyaman Sultan Perak ekoran kes rampasan kuasa di sana.  Di anjung suite ahli parlimen, kelihatan Dr Lo’ Lo’ sedang ditemuramah seorang muslimat bertudung labuh, saya kira wartawan Harakah atau seangkatan dengannya.  Turut kelihatan Dr Hatta Ramli sedang berbincang bersama – sama teman beliau di satu sudut di dalam suite tersebut.

Sedang saya merayau – rayau, YB Azmin Ali keluar melangkah daripada Dewan Rakyat, di belakang beliau, sekitar 10 langkah, YB Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis turut keluar dari Dewan menuju ke arah tangga.  Saya yang berada di sekitar kawasan tangga, mengambil kesempatan untuk menyapa dan bersalaman dengan YB Azmin Ali.  Selepas itu saya terus turun tangga mengikuti beliau yang agak tergesa – gesa.  Sebenarnya, saya cuma mahu mengelak daripada bertemu dengan Jamaludin Jarjis.  Hal ini kerana saya agak terkesan secara peribadi dengan cara beliau di dalam Dewan Rakyat yang agak kasar dalam berkonfrontasi, ditambah lagi dengan berita tentang ‘kenakalan’ beliau.  Oleh itu saya lebih senang membelakangi beliau daripada berpura – pura bersalaman dan menyapa beliau dengan baik dan sopan.

Merekalah Menteri

Tidak lama kemudian, PM dan orang – orang kanan beliau pun datang bergabung dengan kami.  Beliau memaklumkan kepada kami, sekejap lagi kami akan menemui seorang menteri di suite wakil rakyat.  Kami kemudian pergi menemui beliau di salah satu set sofa dan tea table di dalam suite tersebut.  Terus terang, saya tidak senang dengan cara menteri ini.  Beliau membelek – belek proposal dengan pantas seolah – olah beliau mempunyai ingatan fotografi (tidak tahulah ada atau tidak) sambil mendengar acuh tidak acuh kepada penerangan PM, pandang muka pun tidak. Entahlah, tapi bagi saya, itu melambangkan kesombongan, seolah – olah masa beliau sangat – sangat berharga sampai tidak boleh untuk diluangkan kepada kami untuk menjadikan pertemuan ini satu pertemuan yang lebih professional dan efektif.  Kemudian menteri tersebut minta kami bawa proposal ini kepada pegawai bawahannya di kementeriannya bila – bila selepas ini.  Saya sebenarnya agak kecewa kerana beliau langsung tidak membincangkan proposal tersebut (sekurang – kurangnya, tanyalah beberapa soalan yang bernas, barulah nampak pemikiran kritis seorang menteri).

Kemudian kami ke kafeteria untuk makan tengah hari sebelum bertemujanji dengan seorang lagi menteri.  Pendek cerita saya tidak tahu harganya mahal. Apa yang di kafeteria di UTM boleh tawarkan dengan harga RM 4.00 di sana mencecah RM 7.00 (aduhai).  Sedang kami makan, Dewan Rakyat kembali bersidang.  Pada skrin yang dipasang di kafeteria itu, saya dan beberapa orang pelanggan lain khusyuk mendengar hujah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tidak lama kemudian, PM mengajak saya dan yang lain – lain untuk bertemu dengan seorang lagi menteri. Ketika kami sekali lagi memasuki suite tersebut, saya lihat di satu bahagian, menteri yang telah kami jumpai tadi sedang bersembang dengan seorang lelaki sambil menghisap rokok.  Saya kehairanan kerana kalau pun bukan kementeriannya yang sedang dibahaskan, bukankah sepatutnya sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya berada di dalam Dewan Rakyat?  Atau sekurang – kurangnya berada di dalam dewan sebagai tanda solidariti beliau kepada parti beliau sendiri.  Nun di dalam dewan, Ketua Pembangkang sedang menghentam SPRM kerana didakwa bersubahat dengan BN, adakah beliau sebagai menteri kerajaan BN tidak terasa perlu berhadapan dengan perkara itu?

Menteri yang kedua kami jumpa kelihatan lebih sopan dan profesional.  Sekurang – kurangnya beliau mengambil masa untuk bertanyakan sedikit soalan yang relevan dan menulis nota ringkas dan menurunkan tandatangan pada proposal berkenaan bagi memnudahkan kami berurusan dengan kementeriannya.

Selepas selesai, saya ke bahagian sofa yang bertentangan dengan skrin di dalam suite itu untuk menonton perbahasan dewan.  Dari situ saya juga dapat melihat menteri yang pertama saya jumpa tadi masih lagi menghembus asap rokok bersama temannya (balacinya?), sedang menteri yang kedua datang dan duduk di sofa di hadapan saya.  Sambil menikmati hidangan satay, beliau melihat perbahasan yang terpapar di dalam skrin.  Aduhai, macam menonton cerekarama pulak gayanya menteri yang kedua ini.

Kesimpulannya, seorang menteri sibuk mencemarkan udara di Parlimen, dan seorang lagi lepak makan satay, tetapi, yang pastinya kedua – duanya tidak bersidang.  Saya terfikir, tidak bolehkah mereka berlakon di hadapan saya dan teman – teman yang lain, sekurang – kurangnya, pada hari tersebut, tidaklah kami rasa kecewa dengan prestasi yang ditonjolkan mereka sebagai menteri dan wakil rakyat, walaupun pada hari – hari yang lain mereka memang begitu.

Itulah hari bersejarah beberapa jam saya berada di Bangunan Parlimen, 50680 Kuala Lumpur

*Kedua – dua menteri tersebut masih dikekalkan dalam kabinet PM ke-6, tetapi salah seorangnya telah ditukarkan kepada kementerian lain.

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s