Saya Tolak ISA!

Saya sendiri sebenarnya tidak jelas samada mahu menulis artikel ini dalam bentuk huraian fakta demi fakta, atau pun menulis pandangan peribadi saya mengenai ISA. Masalah inilah yang menyebabkan saya menangguhkan untuk menulis sebarang artikel berkait dengan isu akta yang masih hangat bagi saya. Apa yang mengganggu diri saya ialah sudah terdapat banyak artikel daripada pelbagai medium yang menjelaskan secara terperinci daripada pelbagai sudut kenapa ISA wajib ditolak. Ada yang membahaskannya secara akademik daripada pandangan syariat begitu juga pandangan perundangan sivil dengan fakta – fakta yang diulas dengan jelas. Dan ada juga yang membahaskannya secara emosional samada berbaur politik ataupun pandangan peribadi semata – mata. Oleh itu, saya jadi termangu – mangu, perlukah lagi saya menulis mengenai ISA?

Begitupun, setelah sekian lama meneliti, saya mengambil nasihat daripada seorang blogger mengenai bagaimana penulisan itu boleh mencabar diri kita sendiri untuk berfikir lebih kritikal di samping saya harus menyatakan secara tegas pendirian saya dalam isu ini!

Maaf, secara terus terang, saya tidak bermaksud menulis artikel ini untuk kita semua mengkaji secara mendalam apa itu ISA, sebaliknya, penekanan saya adalah mengenai saya menolak ISA. Untuk pengkajian, anda semua digalakkan menambah pembacaan mengenai akta tersebut samada melalui internet ataupun bahan – bahan bercetak di luar sana.

Bagi mereka yang masih kurang arif, secara mudah ISA adalah satu akta yang digubal sebagai undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia. Sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut – turut tanpa perbicaraan atas tindak – tanduk yang dijangkakan mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan.

Sengaja saya tebalkan (bold) bahagian – bahagian yang penting di atas supaya kita akan lebih jelas bahagian saya mahu huraikan. Pokok utama yang anda perlu faham adalah masalah penahan tanpa bicara. Apakah masalahnya dengan penahan tanpa bicara ini? Saya akui saya bukanlah arif pun dengan perundangan, tetapi secara logiknya, kalau anda ditahan atas satu – satu kesalahan, bolehkah anda disabit melakukan kesalahan tersebut tanpa pembuktian? Bagaimana kalau berlaku kes di mana anda dianiyai? Bukankah anda mahu kepada pembelaan? Tetapi di bawah ISA, itu bukan lagi hak anda. Anda tidak perlu lagi disiasat, anda tidak perlu dibuktikan bersalah, yang penting, menteri mahu anda ditahan. Logikkah? Kemudian, sudahlah tanpa bicara, ditambah lagi dengan tempoh yang tiada penghujung. Selagi mana menteri mahu anda ditahan, selagi itu anda akan kekal ditahanan. Ya, menteri sebagai hakim anda. Katakanlah anda adalah pesaing politik menteri tersebut, mustahil atau tidak anda akan terus dikurung sampai anda hilang kemampuan untuk berpolitik? Saya kira tidak mustahil, kerana ia dibenarkan dalam ISA.

Jika anda meneliti sejarah, ISA sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling dan dijadikan undang – undang pada tahun 1960. Pada awal pengimplementasiannya, ISA membenarkan kajian semula oleh mahkamah dilakukan kepada mereka yang ditahan, akan tetapi ISA telah dipinda kemudiannya sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan kajian semula ini telah dimansuhkan. Selain itu, pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini juga telah dihapuskan. Dengan itu kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menangkap sesiapa pun, tanpa merujuk kepada mahkamah. Pada masa kini, mahkamah boleh melihat semula hanya perkara – perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA. Bermakna sistem kehakiman telah diabaikan dan kuasa perundangan telah beralih kepada sistem pemerintahan.

Itu hanyalah sedikit kupasan saya mengenai masalah ISA terhadap integriti perundangan sivil. Belum lagi saya mengupas mengenai kesan – kesan yang timbul terhadap tahanan dan keluarga tahanan. Belum lagi saya kaitkan dengan pandangan dari segi syariat yang jelas sekali menolak konsep kezaliman ISA yang mengharamkan hukuman tanpa bicara. Belum juga lagi saya nukilkan pengalaman tahanan di Kem Kemunting diseksa secara fizikal dan emosi.

Pendek kata sebenarnya, terlalu banyak sangat masalah dan kepincangan ISA ini terhadap sistem kemanusiaan. Dan ingin saya jelaskan di sini, saya jadi malas hendak menulis mengenai ISA kerana sudah terlalu banyak keburukan dan kezalimannya telah dicatatkan dan dihuraikan secara teliti di artikel yang nun melambak – lambak di luar sana, terasa tidak membantu pun jika saya hanya mengumpul dan menulis semula di artikel ini, sebab itu, saya sudah tekankan awal – awal lagi, artikel ini ditulis hanyalah bagi menyatakan pendirian saya: saya tolak ISA! (Seperkara yang saya ingin jelaskan kepada anda: bukanlah saya menolak ISA atas dasar pandangan politik dan sebagainya, tetapi saya melihat dari aspek integeriti kemanusiaan yang dinafikan terus oleh ISA yang zalim itu).

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

3 thoughts on “Saya Tolak ISA!

  1. salam…
    sy juga menolak ISA. ISA bukanlah penyelesai kpd masalah yg timbul. lebih menyedihkan bila ada pihak tertentu yg menyalahgunakan ISA ini utk kepentingan peribadi. penyelesaian kepada semua permasalahan adalah dengan membawa umat islam kembali kepada ajaran islam. akidah perlu diperkukuhkan. kukuhkan dasarnya, insya allah, mudahlah untuk kita menegakkan daulah islam apabila semua umat islam sedar akan kepentingan daulah islam.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s