Poliandri dan Poligini: Antara Tarbiah Jiwa Muslimin dan Pengiktirafan Terhadap Emosi Muslimat

Introduksi

Setelah sekian lama, topik nikah kahwin mula menerjah semula ke telinga saya setelah sekian lama topik tersebut menjadi agak asing. Bila difikirkan semula, topik ini sebenarnya memang topik yang popular di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, terutama bagi mereka yang mula menghampiri garis penamat mereka di kampus. Tetapi mungkin dalam kesibukan sejak awal semester ditambah lagi dengan kesibukan latihan praktikal yang saya lalui pada cuti semester yang lepas menyebabkan saya terlupa akan kepopularan topik tersebut.

Baru – baru ini seorang kawan lama saya menghubungi saya melalui Yahoo Messenger untuk meminta nasihat mengenai masalah beliau dan tunang beliau. Secara teknikalnya, saya bukanlah orang yang layak, sebab saya bertunang pun belum. Tetapi atas dasar perkongsian idea dan ilmu, saya berikan sahaja yang terbaik. Lagipun, saya gemar memberi kaunseling pada kawan – kawan saya. Yang menarik dihujung perbincangan kami, beliau berterima kasih dan bertanya, adakah saya sudah berkahwin? Cara saya menasihati beliau seolah – olah saya berpengalaman menguruskan rumah tangga kata beliau. Lucu mendengarnya. Ah, bagaimana pun ini hanyalah sisipan mukadimah, saya perlu kembali kepada tajuk.

Poliandri dan poligini. Saya pasti sebahagian daripada anda mungkin pernah dengar dan memahami kedua –dua istilah tersebut. Tapi bagi yang belum, poliandri dan poligini adalah dua bentuk poligami. Poliandri adalah perkahwinan banyak lelaki dengan satu perempuan dan manakala poligini adalah perkahwinan seorang lelaki dengan banyak perempuan. Cuma masyarakat kita lazim menggunakan istilah poligami bagi merujuk kepada poligini.

Poliandri: Ketentuan Allah Bagi Menunduk Ego Lelaki

Terus terang saya berpendapat, anda semua maklum bahawa poliandri adalah haram di sisi Islam. Banyak hikmahnya pengharaman ini, antaranya poliandri akan menyukarkan proses mengenal pasti siapa ayah bagi bayi yang dilahirkan wanita yang terbabit dengan poliandri di samping fitrah lelaki yang lebih polygamous berbanding wanita (anda faham maksud saya bukan?).

Bagaimanapun, saya lebih berminat untuk membicarakan pengharaman poliandri ini kepada pembentukan dan jati diri seorang muslimin sejati. Dengan kata lain, ianya satu bentuk tarbiyyah bagi si lelaki. Kenapa saya katakan begitu? Jika dilihat pengharaman poliandri tidak bermula di situ begitu sahaja, bahkan turut diharamkan untuk seorang lelaki meminang seorang perempuan yang sudah dipinang lelaki lain, melainkan dengan izin lelaki yang meminang itu. Secara mudah, kalau sudah dipinang, redha sahajalah, itu lebih baik bagi anda.

Di sinilah tarbiyyah yang saya maksudkan. Tarbiyyah yang menundukkan keegoan seorang lelaki daripada menurut kemahuannya dan terpaksa melepaskannya demi redha Allah SWT, walau seberat mana pun hatinya. Tiada pilihan yang lain. Saya tidak rasa ianya sesuatu yang begitu mudah memandangkan ia melibatkan emosi, perasaan, dan hati. Bahkan saya pernah melaluinya dan memang ianya sukar hendak diungkapkan. Ya, saya pernah melaluinya. Satu ketika, saya telah dicadangkan oleh seorang kakak angkat saya untuk meminang adik angkatnya, pada waktu itu, saya bertangguh membuat keputusan atas sebab yang pelbagai. Tetapi, satu ketika, saya terasa sudah bersedia, saya hubungi kakak tersebut, malang sekali saya dimaklumkan adik angkatnya baru sahaja dipinang orang lain dan sudah pun menerimanya. (Saya ringkaskan cerita tanpa diselitkan emosi kerana bimbang akan merosakkan artikel ini).

Itu hanyalah sekadar sedikit perkongsian bagi anda semua, bagi yang pernah melaluinya, syabas, anda telah menerima satu bentuk tarbiyyah. Pada waktu itu, apa yang anda pilih, emosi? Rasional? Atau Allah SWT. Adakah anda akan mengawal emosi anda daripada bersangka buruk pada Allah SWT ataupun anda dapat menerimanya dengan penuh ketundukan, ataupun di antara keduanya? Di sinilah terletaknya keyakinan pada ketentuan Allah SWT dengan apa yang terbaik untuk diri anda. Di sinilah anda tidak dapat tidak mesti tundukkan ego anda sebagai lelaki dan menghambakan diri padaNya. Jika anda gagal, takziah saya ucapkan. Tetapi ingatlah, sesungguhnya Allah bersama orang sabar.

Poligini: Kelembutan dan Keterbukaan Allah SWT dalam Meraikan Keinginan Hati Perempuan

Poligini yang terhad secara jelas memang dihalalkan. Berdasarkan firman Allah SWT seperti yang tertulis dalam al-Quran;

Maksudnya:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak – anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

an-nisa:3

Di sini saya melihat, Allah SWT telah menunjukkan keramahanNya dan keperihatinanNya kepada perempuan – perempuan. Walaupun saya sebenarnya dangkal idea dalam memahami hati dan emosi perempuan, saya berpendapat emosi wanita sangat halus dan mudah tersentuh. Kesenian yang sangat halus sehingga saya tidak dapat mengungkap panjang kerana saya sangat daif dalam memahami perempuan.

Perasaan cintanya sangat kuat dan mendalam walaupun secara zahirnya tidak diterjemahkan. Saya kira apabila seorang perempuan sudah mula bersedia untuk menyintai seseorang lelaki, sukar baginya untuk melupakannya. Apabila perempuan mula dibius cinta, begitulah keadaannya, seperti mana kisah yang dinukilkan oleh Habiburahman El Shirazy dalam novel best seller beliau, Ayat – Ayat Cinta mengenai cinta yang mendalam Maria kepada Fahri yang sudah pun bernikah kepada Aisyah. Bagaimana diperlihatkan remuknya hati Maria sehinggakan emosinya membawa beliau kepada keadaan sakit yang kritikal. Tetapi, telah disediakan Allah jalan bagi mereka menyelesaikan hal ini, maka mereka memilih jalan poligini. Selesailah konflik tersebut (ya, sekali lagi saya meringkaskan cerita dan meminimumkan emosi supaya tidak merosakkan artikel ini). Lihatlah, halusnya hati perempuan (saya ingatkan kepada kaum lelaki, jangan ambil mudah dengan emosi pasangan anda apatah lagi memainkan perasaan mereka!).

Apa pun, seperti yang saya katakan, Allah SWT membuka jalan bagi seseorang perempuan yang berhajat pada seorang lelaki biarpun lelaki tersebut sudah bernikah. Tidak seperti lelaki yang tidak dapat tidak harus melepaskan keinginannya, perempuan diizinkan Allah SWT untuk mengecapi cintanya terhadap lelaki yang diingini dengan jalan muafakat.

Kesimpulan

Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil lagi Maha Bijaksana dalam menetukan syariatnya kepada kita sebagai hambanya. Hikmah pengharaman poliandri lebih daripada sekadar yang saya cungkilkan sebagai medan tarbiyyah bagi muslimin begitu juga hikmah dibolehkan poligini, hikmahnya terlalu luas. Cuma saya sengaja mahu membawa anda melihat daripada aspek ini. Moga – moga, bagi lelaki yang kecewa, anda sedar, anda dalam medan tarbiyyah, oleh itu, laluinya dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Dan bagi perempuan yang kecewa, anda masih ada jalan, cubalah dahulu, muafakat tentangnya, mudah – mudahan anda dapat mengecapi cita – cita anda, bukankah Allah SWT telah membukakan anda jalan?

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

One thought on “Poliandri dan Poligini: Antara Tarbiah Jiwa Muslimin dan Pengiktirafan Terhadap Emosi Muslimat

  1. salam…
    nice aritcle.. Poligami juga merupakan satu proses tarbiyah bagi muslimat untuk memandang perkahwinan yang dibina semata-mata kerana Allah. betul-betul kena didik hati untuk redha dengan apa yang Allah dah tetapkan.mungkin saudara Qayyum boleh berkongsi pendapat peribadi saudara berkaitan dengan topik ini.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s