Mengenali Kebenaran & Mereka yang bersama dengan Kebenaran

Terdapat satu perkembangan semasa yang melucukan baru – baru ini. Isu ini benar – benar mengingatkan saya kepada pesan salah seorang sahabat terapat baginda Rasulullah SAW, iaitu Saidina Ali RA. Kata beliau,

“janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya.”

Pesanannya ringkas tetapi maksudnya jelas, iaitu keluar daripada belenggu kebodohan TAQLID (mengikut membabi buta) dan mencabar maklumat yang diperolehi supaya mendapat kebenaran. Ianya seperti proses menapis air teh, daun–daun teh akan tersangkut pada penapis dan air teh akan melolosi jaringan penapis dan masuk ke gelas. Daun–daun teh itu adalah maklumat yang tersingkir, air teh itu kebenaran dan penapis itu adalah unsur yang diperlukan untuk melakukan hal ini, tidak lain dan tidak bukan adalah ILMU.

Ilmu adalah elemen penting yang menjadi mekanisme untuk membeza apa yang benar dan apa yang salah. Hak dan batil. Islam dan Toghut. Ilmuan dan penipu.

Kisah Durian

Durian tidak kira apa jenis dan labelnya, semuanya mempunyai rupa yang sama. Buahnya ada duri–duri pada kulitnya yang tebal. Di dalamnya berpangsa–pangsa dan berisi ulas-ulas kuning isi durian.

Hanya pembeli yang berilmu sahaja yang dapat bezakan yang mana D-24 dan yang mana tidak. Mereka yang tidak berilmu tentang durian, pastinya akan bertaqlid buta dengan penjual durian. Habis ditipu pembeli tersebut bahawa semuanya D-24 yang mahal padahal kualiti buahnya adalah jauh sama sekali oleh peniaga yang zalim dan tamak.

Kenali Kebenaran, Kamu Akan Kenal Orang yang Bersama Dengan Kebenaran Itu

Itulah yang berlaku sekarang. Terdapat usaha–usaha daripada golongan berkepentingan mengewar–warkan berita bahawa terdapat 40 orang yang tinggi statusnya di sisi Islam telah menyertai mereka sebagai propaganda bahawa mereka adalah pejuang Islam. Soalnya, siapakah yang melabelkan 40 orang itu dengan ‘status tersebut’? Adakah dengan jambang, janggut, songkok, kopiah dan baju melayu mereka itu layak dilabelkan dengan ‘status tersebut’? Kembalilah kepada pesanan Saidina Ali:

“Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya”

Dalam konteks ini, jelas Saidina Ali mengingatkan kita, pertamanya, janganlah kita menerima sesuatu itu sebagai kebenaran hanya kerana terpedaya dengan orang–orang yang dilabelkan oleh pihak tertentu sebagai golongan yang membawa kebenaran Islam. Jangan bertaqlid buta. Jangan hanya kerana mereka (saya ulangi) berjambang, berjanggut, bersongkok, berkopiah dan berbaju melayu, maka mereka adalah daripada golongan dengan ‘status tersebut’.

Kedua, hendaklah kita mengenali kebenaran Islam dan perjuangannya, barulah kita akan jelas siapa yang sebenarnya yang bersama dengan perjuangan Islam. Perjuangan Islam pastinya tidak dapat tidak, mestilah berteraskan al-Quran dan sunnah perjuangan Rasulullah SAW. Yang menyimpang daripada jalan itu, maka sesatlah ia seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW, maksudnya,

“Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku”

HR Imam Malik

Semua ini menuntut kepada ilmu. Ilmu memahami Islam dan perjuangannya. Ilmu menolak taqlid dan mencabar maklumat. Pokoknya, saya menyeru kepada usaha menuntut dan memahami Islam dan konsep–konsepnya yang berkaitan dengan kehidupan harian. Jangan jadikan diri seperti salah seorang si buta–si buta yang meraba–raba gajah kemudian masing–masing menyatakan gajah itu begitu begini seperti bahagian yang disentuh mereka.

Penutup

Al Khalil ibni Ahmadal Farahidi (800 H), salah seorang ulama’ sunni yang tersohor dengan kitab al-Ain berpesan, manusia terbahagi kepada 4 golongan, iaitu;

Manusia yang tahu dan tahu bahawa dia tahu, itulah orang yang berilmu. Oleh itu, ikutilah mereka.

Manusia yang tahu, tetapi tidak tahu bahawa dia tahu, itulah orang yang lalai. Oleh itu, berilah mereka peringatan.

Manusia yang tidak tahu dan tahu bahawa dia tidak tahu, itulah orang yang jahil. Oleh itu, ajarlah mereka.

Manusia yang tidak tahu dan tidak tahu bahawa dia tidak tahu, itulah orang yang bodoh dan degil. Oleh itu, tinggalkan mereka.

Untuk 40 orang (dilaporkan sebenarnya kurang daripada jumlah ini) yang diwar–warkan itu, anda tentukanlah golongan manusia yang manakah terletaknya mereka.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s