INILAH FITNAH ORANG BUJANG

Cuti saya bakal berakhir sebelum kembalinya saya ke kampus. Pelbagai pengalaman berjaya saya kumpulkan sejak saya menjejakkan kaki di bumi Bukit Setongkol setelah hampir setahun tidak pulang. Ada kenangan yang indah, ada kenangan yang menyakitkan dan tidak kurang yang MELEMASKAN!

Ya, melemaskan. Terutamanya bila menjelang musim sekolah atau dengan nama lain, musim kahwin!

Bukan apa, saya mula lemas bila ada yang pakcik – pakcik yang sibuk mem‘bapak mertua saya’kan sesama mereka. Yang lebih merismaskan, ada yang berpangkat datuk tetapi masih berperangai kanak – kanak sekolah rendah yang suka meng‘gosip – gosip’kan saya ini menantu pakcik itu dan ini. Aduh! Lemas dan rimas! Sekali – sekala bergurau saya boleh faham, sudah memang adat orang tua mengusik anak muda. Lebih – lebih lagi saya inilah anak muda tunggal yang rajin mencampuri aktiviti mereka (daripada aktiviti gotong – royong kenduri di surau sehinggalah minum di warung sebelah surau). Tetapi bila selalu disebut – sebut, ini bikin telinga panas!

Inilah fitnah untuk orang bujang, semua orang nak suruh kahwin. Aduhai…

Situasi 1

Di warung sebelah surau selepas Isya’.

“Qayyum, tu bapak mertua mu tu, sejuknya la mata dia duk tengok mu”, kata seorang haji tua.

“Aloh, Qayyum tu, muslimat berebut siap buat borang nak buat menantu”, tambah seorang yang berpangkat abang.

“Haji, kan dah puas saya kata (sebelum ini), saya tak nak pun (bernikah), aduh… letih la haji”, balas saya, mula menyampah.

“Pastunya, cuba la tengok saya ni. Saya ni luang masa di luar rumah punyala lama. Dengan kerjanya, aktiviti suraunya, aktiviti jemaahnya. Saya keluar rumah awal pagi, Subuh dah keluar, kemudian dengar kuliah subuh sampai pukul 6.30 pagi, balik rumah sekejap, pukul 8.00 pagi dah keluar kerja kemudian balik petang dekat pukul 6.00, lepas tu maghrib ke surau balik semula paling awal pun pukul 10 malam. Itu kalau kerja tak sampai malam. Cuba bayang kalau saya menikah, tak ke naya kat perempuan tu asyik kena tinggal. Saya tak nak la sekarang muslimat duk kata baiknyala saya ni, boleh buat menantu, nanti dah menikah, anak dia tak kena tinggal – tinggal dengan saya mula la masa tu nak masam muka. Masa tu la nak kata kita tak pandai jaga bini la”, tambah saya dengan hujah panjang.

“Haish, kau tak boleh la cakap macam tu Qayyum. Kau tak boleh la kata kahwin menghalang perjuangan”, seorang pak cik membalas.

“Bukan gitu, maksud saya, kalau ya pun, tengoklah dulu anak – anak dia tu, sanggup tak kena – kena tinggal macam tu, sanggup ke susah – susah, saya ni bukan jenis berduit, cuba tengok macam Mahfuz Omar. Baru ni Ustaz Ashraff tanya anak dia, ayah dia (Mahfuz Omar) selalu ke ada di rumah? Anak dia cakap ayah dia jarang ada, biasanya sebulan sekali je. Ha, itulah orang berjuang”.

“Alah, itu orang politik, kamu esok bukan nak berpolitik,” balas haji pertama tadi.

Saya diam. Malas nak bahas dengan orang yang tune lari.

Situasi 2


Semasa kuliah akidah di surau Ikhwan oleh YB Syed Mohammad Tuan Lonik (ADUN Beserah), seorang pakcik tua masuk ke surau dan duduk dihadapan saya. Pakcik tua ini memang ada penyakit. Kalau tidak salah sakit buah pinggang. Baru saja beliau duduk, tiba – tiba beliau terbatuk – batuk. Kuat batuknya, kemudian berhenti. Kemudian batuk lagi lepas tu berhenti. Apabila kali keempat beliau batuk, saya pun mengesot ke sebelah kiri beliau dan mengurut – urut belakang beliau. Sambil – sambil urut saya bacakan ayat – ayat ruqyah seperti al-fatihah, ayat kursi dan salawat syifa. Alhamdulillah, dengan izin Allah, batuknya kurang.

Rupa – rupanya perbuatan saya diperhatikan seorang ‘abang’. Masuk saja waktu isya’ saya pun bangun dan tinggalkan pakcik itu. Tiba – tiba saya dipanggil seorang pakcik lain.

“Qayyum, ni abang J** kau cakap kau mengurut bakal bapak mertua kau tu”, kata pakcik tersebut.

“Haha, mengurut bukan saja – saja tu, mengurut ada makna tu”, tambah abang tersebut, bergurau.

“Haish, abang J** memang macam tu, dia bmikir kelas ketiga!” Balas saya ringkas. Malas nak layan. Dan terus masuk ke saf.

Fitnah Bagi Si Bujang

Selain daripada fitnah – fitnah lazim bagi orang bujang seperti lambakan desakan – desakan mengikut nafsu dan maksiat yang tersebar luas, banyak lagi bentuk fitnah yang boleh timbul. Fitnah hati dan fitnah mulut.

Terkadang rasa susah nak buat kebajikan dan kebaikan, pertamanya bimbang orang kata kita nak tunjuk baik depan orang supaya orang berkenan jadi menantu. Sakit telinga nak melayan usikkan orang – orang tua.

Tetapi ini bukanlah perkara berat, yang beratnya ialah yang kedua, iaitu fitnah hati diri sendiri. Terkadang saya bimbang nak melakukan sesuatu kebajikan terutamanaya pada orang yang saya tahu ada anak dara. Bimbang saya sendiri salah niat. Contoh jelas, rujuk Situasi 2 di atas. Hati saya berbolak balik nak mengurut pakcik tersebut. Sebab itu sampai kali keempat pakcik tersebut batuk barulah saya ke depan. Padahal saya sudah mula simpati dan mahu membantu sejak kali pertama beliau batuk. Peliknya fitnah orang bujang.

Pernikahan Bukanlah Satu – satunya Penyelesaian

Walaupun fitnah bujang itu pelbagai bentuk. Tetapi bukanlah pernikahan itu satu – satunya jalan. Pernikahan atas dasar yang salah pun takkan sampai ke mana. Yang penting, redha Allah. Sebab itu bagi mengawal diri dan hati, Rasulullah berikan pilihan bagi si bujang, sesuai dengan sabdaan baginda:

“Wahai sekalian anak muda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata serta lebih menjaga kehormatan diri. Dan barangsiapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya.”

[Muttafaq ‘Alaih]

Hikmah puasa dalam membantu mengawal diri diterangkan jelas oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam tulisan beliau, “Selamatkan Uda dan Dara Dengan Hikmah Puasa”.

Yang penting, kalau benar mahu pilih jalan bernikah, pastikan diri kita sedia menempuh cabarannya. Terus terang, jangan pandang mudah alam perkawinan, besar tanggungjawabnya. Diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim bahawa seorang perempuan berkata kepada Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya putera bapa saudaraku melamarku, oleh itu berilah peringatan kepadaku tentang kewajipan seorang isteri terhadap suaminya, kalau kebajikan itu sesuatu yang mampu aku jalankan, maka aku bersedia dikahwinkan.”

Maka baginda bersabda:

“Andainya mengalir darah dan nanah dari kedua lubang hidung suaminya lalu dia (isteri) menjilatnya maka itupun belum dianggap menjalankan kewajipannya terhadap suaminya. Sekiranya diperbolehkan untuk manusia bersujud kepada manusia lain, nescaya daku perintahkan para isteri sujud di kaki suami mereka”.

Berkatalah perempuan itu:

“Demi Tuhan yang mengutuskan tuan, aku tidak akan berkahwin selama dunia ini masih ada.”


Walaupun hadith ini merupakan tanggungjawab isteri terhadap suami, tetapi perhatikanlah sikap berhati – hati yang diambil oleh muslimat ini. Bukanlah beliau menolak perkahwinan, tetapi beliau sedar akan dirinya tidak punya kemampuan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Beliau bimbang dirinya menjadi seorang isteri yang nusyuz, bagi beliau lebih baiklah dirinya membujang daripada menjadi isteri yang tidak bertanggungjawab. Lebih baik beliau membujang daripada menjadi isteri yang gagal memberikan hak suaminya. Inilah sikap berhati – hati yang perlu diambil perhatian oleh kita samada yang beridamkan suami dan isteri.

Penutup


Antara fitnah bujang dan tanggungjawab orang yang sudah bernikah. Pilihlah yang sebaiknya bagi diri anda. Saya lebih cenderung kepada mencabar diri menghadapi fitnah bujang! Bimbang jadi suami jahat….

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

2 thoughts on “INILAH FITNAH ORANG BUJANG

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s