MAKSIAT ITU MUNGKIN MUKADIMAH TAAT

Pendahuluan

MAKSIAT dan TAAT adalah dua kalimah yang bertentangan maksudnya antara satu sama lain. Secara zahirnya, maksiat boleh kita maksudkan sebagai kederhakaan kepada Allah SWT samada kerana tidak melakukan arahanNya atau melanggar laranganNya. Begitu juga bagi taat, boleh kita fahamkan sebagai kepatuhan kepada Allah SWT dengan mengamalkan segala perintahNya dan menjauhi laranganNya samada besar ataupun kecil.

Dari segi takrifan begini kita nampak amal taat itu adalah baik dan maksiat itu adalah buruk. Ya, dari segi zahirnya memang begitu, tetapi jika kita halusi amalan seharian kita, imbas kembali satu persatu, kita mungkin akan nampak perkara yang sebaliknya. Boleh jadi apa yang kita kelaskan sebagai amal taat adalah punca kemurkaan Allah manakala amal maksiat pula boleh jadi punca redha Allah.

Bagi amalan soleh, apa yang kita qasadkan (niatkan) dalam hati kita akan mempengaruhi hakikat sebenar amalan kita. Perkara ini yang akan menjadikan apa yang kita katakan sebagai amal taat bukan lagi ketaatan yang sebenarnya sebaliknya keengkaran. Inilah saat amal soleh bukan manifestasi ketaatan tetapi boleh jadi manifestasi keinginan peribadi dan sebagainya.

Bagaimanapun, segala amalan maksiat walau apa pun niatnya tetap maksiat. Tetap berdosa. Sesuai dengan kaedah usul fiqh:

“al-ghayah la tubarriru wasilah (matlamat tidak menghalalkan cara)”

Saya kira semua boleh faham kalau saya contohkan JUDI ADALAH KEKAL HARAM WALAUPUN UNTUK MENAMPUNG EKONOMI NEGARA.

Maksiat yang Membawa Kepada Taat

Namun begitu, ada saatnya, kemaksiatan itu menjadi mukadimah kepada ketaatan. Maksiat itu menjadi pemangkin kepada kesudahan yang baik. Iaitu kemaksiatan yang menyebabkan seseorang hamba itu sedar rasa kehinaan dan kefakirannya kepada Allah SWT. Maksiat itu menjadikan dirinya tidak tinggi hati dan meletakkan sepenuh pengharapan kepada rahmat (kasih sayang) Allah dan maghfirah (keampunan) Allah. Menjadikan dirinya bertaubat sedaya upayanya kerana hatinya mengakui track record amalan – amalannya sangat buruk sehingga sangat malu kepada Allah SWT.

Inilah antara rahsia kehebatan Saidina Umar al-Khattab RA. Beliau adalah seorang yang melazimi munajatnya kepada Allah atas segala dosa – dosa lampaunya. Beliau adalah orang yang sentiasa mendidik hatinya untuk berhati – hati dengan sifat munafik. Beliau sangat takut jika dirinya adalah munafik. Diriwayatkan dalam kitab – kitab sirah, Rasulullah SAW mewasiatkan nama – nama para munafik kepada Huzaifah Ibnul Yaman RA untuk dirahsiakan. Pada saat – saat kematian Huzaifah, Saidina Umar cuba untuk mendapatkan rahsia itu kerana bimbang dirinya tergolong sebagai munafik. Namun Huzaifah tetap merahsiakannya dan mengatakan kepada Saidina Umar bahawa beliau tidak dinamakan sebagai munafik. Lihat, bagaimana maksiat itu menjadikan seseorang itu mempunyai tingkat taqwa yang tinggi seperti Saidina Umar RA.

Kisah Wasiat Ahli Maksiat Dunia

Ditulis dalam kitab Hakikat Tauhid dan Tasawuf (al-Hikam) oleh Prof. Dr. K.H. Muhibbudin Waly mengenai kisah Ibban bin Ilyas yang terserempak dengan kumpulan 4 orang sahaja menguruskan mayat. Fenomena itu sangat aneh kerana di Kota Bashrah, mustahil ada mayat seorang muslim yang tidak dihiraukan oleh masyarakat muslim setempat. Ibban kemudian dimaklumkan oleh 4 orang tersebut bahawa mereka diupah oleh seorang wanita yang berada tidak jauh daripada perkuburan itu. Beliau kemudian ternampak wanita itu tertawa. Melihat hal itu, Ibban mendekati wanita itu dan bertanya apa yang berlaku. Wanita itu pun memperkenalkan dirinya sebagai ibu kepada si mati. Katanya si mati seorang ahli maksiat yang tidak pernah meninggalkan segala jenis kemaksiatannya sehinggalah dia sakit 3 hari lalu.

Si mati kemudian mewasiatkan kepada ibunya apabila dia mati, jangan dimaklumkan kepada masyarakat setempat, supaya mereka tidak menziarahi mayatnya dan biar mereka memaki hamun kematiannya apabila mereka mengetahuinya sendiri nanti.

Dia juga mewasiatkan supaya sebentuk cincin bertulis ‘Laa Ilaha Illallah, Muhammadur Rasulullah’ dikapankan bersamanya, dengan harapan Allah akan merahmatiNya.

Selepas itu, dia meminta supaya selepas dia dikapankan, ibunya memijak mukanya dan berkata, “Inilah balasan terhadap orang yang derhaka kepada Allah!”.

Dan wasiat terakhirnya adalah supaya ibunya mendoakan “Aku telah meredhai anakku, maka redhakanlah pula oleh Mu akan anakku, Ya Allah”, selepas dia dikuburkan.

Wanita itu berkata lagi selepas ditunaikan wasiat – wasiat tersebut, beliau terdengar suara anaknya berkata,”kembalilah ibu, sebab aku telah menghadap Allah yang Maha Pengasih, dan Dia tidak marah kepada aku”. Sebab itulah wanita itu tertawa sebentar tadi.

Rasa Kehinaan Dan Pengharapan

Kita lihat bagaimana Allah mengangkat martabat seorang ahli maksiat di dunia sebagai orang yang memperoleh maghfirahNya di akhirat. Inilah yang kita paling mahukan, maghfirah Allah. Diampunkan kesemua dosa kita dan diterima sebagi orang yang suci oleh Allah biarpun orang di dunia mengeji mayatnya.

Si mati ini dimuliakan Allah bukan atas sebab amalannya, tetapi atas sebab kesanggupan dirinya dihina, diseksa dan berserah bulat – bulat pengharapannya kepada Allah untuk mengadilinya. Tidak terlekat  sedikit pun cebisan berbangga – bangga dengan amalnya sebagai tiket untuk mendapat rahmat Allah.

Semua ini kerana dia jelas bahawa dirinya tidak ada amalan untuk disandarkan, sebaliknya hanya kepada Allah sahajalah tempat dia bergantung, dan sesungguhnya Allah merahmati si mati tersebut dengan ganjaran keampunanNya.

Inilah juga yang dimaksukan oleh al-Imam Ibnu ‘Ata’illah dalam kalam hikmatnya yang ke 96 dalam kitab al-Hikam:

“Maksiat yang menimbulkan kehinaan dan kefakiran (kepada Allah) adalah lebih baik daripada taat yang menimbulkan kemegahan dan takabur”

*Nasihat Kepada Diri

Wahai diri, lazimkanlah diri merasa berdosa kepada Allah dan hinanya diri ini di sisi Allah. Semua amalan yang telah saya lakukan tidaklah sampai ke mana pun.

Berapa banyak solat yang aku tinggalkan? Berapa banyak solat yang aku lewatkan? Berapa banyak solat yang aku cuaikan? Berapa banyak maksiat hati aku lakukan? Berapa banyak maksiat mata aku lakukan? Berapa banyak maksiat tangan? Maksiat kaki?

“Ya Allah, sesungguhnya aku ini hambaMu yang paling hina, hinanya aku sehingga tidak aku sedari hakikat kehinaan aku, sedangkan aku masih bermegah – megah bahawa aku ini orang bersama orang – orang yang soleh tanpa aku mengakui aku ini sehina – hina ahli maksiat, ampunkanlah aku ya Allah, istiqamahkanlah aku berserah diri kepadaMu, sesungguhnya Kaulah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun”

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

2 thoughts on “MAKSIAT ITU MUNGKIN MUKADIMAH TAAT

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s