SAAT AMAL SOLEH BUKAN MANIFESTASI KETAATAN: PERKONGSIAN BAGI MAHASISWA ISLAM

Perkongsian Satu Muhasabah

Track record saya sebagai seorang mahasiswa muslim bukanlah cemerlang. Ianya satu perkara yang sebenarnya sangat memalukan. Sebagai seorang yang membawa imej Islam, sepatutnya saya memberi tauladan yang baik daripada semua segi. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Track record saya sebagai aktivis gerakan Islam juga tidak memberansangkan. Tiada istiqamah. Tiada sumbangan yang signifikan. Ibarat melukut di tepi gantang. Dan tidak sampai ke mana walaupun dari segi zahir nampak gah. Ibarat resam lalang, tinggi menjalar, tetapi tiada berguna.

Dua persoalan besar yang dikirimkan Allah untuk saya jawab sejak sekian lama tetapi atas kealpaan diri, saya pejamkan mata daripada menjawab soalan – soalan tersebut.

Hakikat Amal Soleh

“Tanda orang yang faham hakikat amal soleh adalah dia tidak tinggalkan samada amalan besar atau kecil dan dia tidak memilih – milih amalan”, pesan Ustaz Karim Sidek (Kuliah al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar, Pekan) sewaktu kuliah tasawuf beliau di surau al-Ikhwan.

“Ramai antara kita yang salah sebab terlalu mengejar pahala dan memperbanyakkan amalan – amalan yang kita rasa besar di sisi kita tetapi sebenarnya tidak membawa makna di sisi Allah”, tambah beliau lagi.

“Sebagai contoh, orang yang pergi Haji, kenapa pergi sampai banyak kali? Apa yang dicari? Redhakah Allah pada orang begini? Orang yang cari redha Allah, pergi Haji sekali tu je, duit – duit lebih itu guna hantar orang lain pula ke Makkah, bukan tiap – tiap tahun muka dia.”

Pesanan – pesanan Ustaz Karim mengingatkan saya pada kalam hikmah al-Imam Ibnu Ata’illah yang ke-96 dalam Kitab Hikam:

Maksiat yang menimbulkan kehinaan dan kefakiran (kepada Allah) adalah lebih baik daripada taat yang menimbulkan kemegahan dan takabur

Saya pernah menulis mengenai maksiat yang membawa kesudahan yang baik berdasarkan kalam di atas dengan tajuk MAKSIAT ITU MUNGKIN MUKADDIMAH TAAT.  Tetapi kali ini kupasannya lebih kepada bahagian kedua kalam tersebut iaitu, “taat yang menimbulkan kemegahan dan takabur”.

Apa yang dimaksudkan dengan taat yang menimbulkan kemegahan dan takbur adalah amal – amal soleh yang pada pandangan kita adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT, tetapi pada hakikatnya tidak. Sebaliknya amal – amal itu didasari dengan kemaksiatan hati yang busuk dan membengkak. Ibarat pelacur. Pelacur itu berhias – hias dan nampak cantik di luar, tetapi hakikat dirinya adalah sangat buruk dan kotor, bergelumang dengan kekotoran dan kejijikan. Itulah amalan soleh yang bukan bermanifestasikan ketaatan kepada Allah. Sedangkan amalan soleh yang sebenar – benarnya adalah ibarat pengantin suci. Dihias cantik pada luarannya dan didalamnya juga suci dan cantik.

Amal – amal yang ibarat pelacur itu, pertamanya, tidak dipandang Allah, keduanya, tidak diredhai Allah. Kalau sudah tidak direhai Allah, sudah pasti pastinya hasilnya tidak ada barakah. Apabila tidak ada barakah, pastinya hasilnya tidak akan sampai ke mana di dunia ini apatah lagi di akhirat kelak. Tidak ada makna. Malah tidak layak lagi dipanggil amal soleh.

Semaklah Amalan

Dasar pada masalah ini ialah memahami tuntutan sesuatu amalan soleh itu pada pandangan Allah SWT, bukan pada pandangan makhuk. Pandangan makhluk adalah sangat terbatas disamping menghadapi krisis pengaruh nafsu dan bisikan syaitan. Sebab itu hendaklah kita sentiasa menyemak semula amalan – amalan kita seperti yang dilakukan oleh para salafussoleh. Tanyalah diri sendiri soalan – soalan seperti ini:

“Adalah Allah redha aku gunakan masa ini untuk ke program sekian – sekian sedangkan tanggungjawab aku pada kerja masih belum terlunas?”

“Adakah Allah redha aku tidak tumpukan perhatian kepada pensyarah di hadapanku kerana aku sibuk merancang program?”

“Adakah Allah redha aku lewat ke kuliah (kelas) pagi ini kerana aku mendengar kuliah subuh tadi?”

“Adakah Allah redha aku menyusahkan rakan sekumpulanku kerana aku selalu tiada bersama mereka kerana sibuk dengan aktiviti persatuan?”

Inilah yang sepatutnya kita teliti semula. Bimbang – bimbang amal – amal soleh yang kita lakukan itu dilaknati Allah SWT. Kalau kita tidak meneliti semula di mana redha Allah, bagaimana kita mahu justifikasikan pada Allah bahawa amal kita itu untuk Allah SWT?

Dan setelah disemak, jika kita dapati ianya tidak diredhai Allah, tanya lagi diri sendiri, kenapa kita lakukannya? Apakah yang kita harapkan daripada amalan itu? Redha makhluk? Kemegahan diri? Semoga kita dijauhi Allah daripada perkara – perkara begini. Kerana amalan – amalan ini ternyata sangat buruk kesudahannya. Kalaupun di dunia kita dimuliakan makhluk kerana amalan – amalan tersebut, di akhirat kita akan dihinakan sehina – hinanya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai tiga orang yang seorang mengaku dirinya syahid, seorang mengaku dirinya ulama’ dan seorang mengaku dirinya dermawan tetapi ternyata pada pandangan Allah mereka ahli neraka. Riwayat penuhnya boleh dibaca di link ini: Semut Hitam Atas Batu Hitam~ikhlas. Kredit: lilynurlaily@ ::A PiEcE oF Me::. Atas sebab inilah sentiasalah kita semak kembali amalan kita.

Janganlah Terlalu Mengejar Amalan

Satu perkara yang kita mesti ingati dalam memelihara diri kita daripada terjebak suasana di atas adalah dengan mengelakkan diri kita daripada mengejar amalan – amalan tertentu. Ketaksuban kita dalam amalan – amalan atau kerja – kerja Islam tertentu akan menyebabkan kita meninggalkan perkara –perkara lain yang sebenarnya lebih penting tanpa kita menilai yang manakah sebenarnya lebih aula’ (utama).

Sebagai contoh, kita mengejar fadhilat duduk dalam kuliah – kuliah agama sampingan (kuliah maghrib dan seumpamanya) sedangkan keadaan semasa memerlukan kita untuk menyiapkan tugasan atau mengulangkaji untuk ujian subjek wajib. Tetapi kerana pada pandangan kita fadhilat subjek – subjek tersebut tidak semulia darjat fadhilat kuliah agama maka kita rela tidak menyiapkan tugasan dengan baik atau tidak memperoleh keputusan yang baik dalam ujian yang akhirnya membawa kepada fitnah yang lebih besar. Inilah orang yang mengejar amalan, mengejar pahala, tetapi tidak mengejar redha Allah.

Sebaliknya, orang yang betul – betul mengharapkan redha Allah, dia tidak akan memilih – milih amalan. Besar atau kecil satu – satu amalan itu bukanlah mengikut ukuran makhluk. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyuruh seorang pemuda balik dan berkhidmat kepada ibu bapanya apabila dia mahu menyertai peperangan bersama Rasulullah. Pada zahirnya, sudah pasti kita nampak menyertai jihad adalah lebih besar dan lebih utama, tetapi dalam kes tersebut, Rasulullah tidak berpandangan begitu.

Begitu juga kisah as-Syahid Imam Hassan al-Bana yang pernah menolong menyusun kerusi untuk sesi ceramahnya. Beliau tidak memilih amalan. Beliau tidak menyatakan menyusun kerusi itu tidak banyak pahala berbanding dengan memberi ceramah di hadapan. Inilah hakikat orang yang mengejar redha Allah.

Di samping itu, orang yang faham hal ini tidak berbangga – bangga dengan amalannya. Kerana baginya setiap amal baiknya adalah daripada ilham dan izin Allah semata – mata. Bukan atas usahanya, tidak ada hak atasnya mahu mengaku amalan – amalannya adalah kerana dirinya rajin, ‘alim dan sebagainya. Banyak atau tidak amalannya tidak mempengaruhi keimanannya dan pergantungannya pada Allah. Orang – orang ini tidak akan putus pengharapannya kepada redha Allah dalam amalannya. Inilah yang dimaksudkan al-Imam Ibnu Ata’illah dalam menukilkan kalam hikmah pertamanya melalui kitab Hikam:

“Sebahagian tanda orang yang berpegang kepada amal adalah kurangnya pengharapan kepada Allah ketika berlaku kepada kesalahan – kesalahan”

Manakala orang yang keimanannya dipengaruhi amalan – amalannya akan merasakan dirinya hanya akan dekat dengan Allah jika dia mengejar amalan – amalan yang khusus seperti solat sunat, mendengar kuliah dan ceramah agama dan sebagainya. Amalan – amalan yang dirasakan tidak mendekatkan dirinya dengan Allah secara zahir tidak akan dipentingkannya seperti menelaah buku – buku subjek atau menyelesaikan tugasan subjek bersama – sama dengan rakan kuliah. Maka semuanya akan dilakukan tanpa kesungguhan dan mujahadah. Orang sebegini adalah mereka yang tertipu (ghurur) oleh amalan mereka sendiri mengikut pandangan al-Imam Ghazali. Oleh itu, janganlah kita mengejar – ngejar amalan tertentu, telitilah dalam menimbang amal.

Menjawab Persoalan Diri Sendiri

Saya kira itulah jawapan yang saya temukan bagi apa yang telah saya lalui selama ini. Dan saya melalui jalan yang begitu keras dan payah sekali untuk menjawab persoalan – persoalan tersebut. Jalan yang betul – betul meletakkan saya dalam keadaan hina dan ditarik pelbagai nikmat sehingga akhirnya saya sedar hakikat meletakkan pengharapan pada Allah semata – mata dan tidak lagi membiarkan diri saya melalui saat – saat amal soleh bukan manifestasi ketaatan pada Allah. Satu perkongsian daripada seorang mahasiswa Islam kepada mahasiswa Islam yang lain.

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

One thought on “SAAT AMAL SOLEH BUKAN MANIFESTASI KETAATAN: PERKONGSIAN BAGI MAHASISWA ISLAM

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s