Apabila saya berfikir mengenai soal pernikahan, ada tiga objektif besar yang saya mahu capai sebagai jalan mendapatkan mardhatillah (keredhaan Allah), iaitu:

1.       Menutup jalan fitnah perempuan terhadap saya

2.       Meningkatkan kualiti ibadat saya kepada Allah

3.       Melengkapkan separuh daripada agama saya

Tiga objektif di atas, bagi saya, adalah perkara–perkara yang menjadi batu loncatan yang akan memberi kesan yang sangat besar dan mendalam dalam usaha saya menjadikan diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa.

Oleh kerana perkara yang mahu saya capai, adalah sangat besar, tidaklah adil kalau saya bersikap sambil lewa dan duduk dalam dunia khayalan, menantikan seseorang muslimah yang umpama bidadari datang meminang.

Adalah satu sunatullah, bagi mencapai sesuatu yang besar dan bernilai, pengorbanan dan usaha yang setara dengan nilai tersebut mesti dilakukan. Sebab itu, bagi saya, JODOH MESTI DIUSAHAKAN, bukan hanya berpegang semata–mata kepada kata–kata “kalau sudah jodoh, jodohlah, kalau bukan jodoh, takdelah”.

Sunatullah dan Syariatullah Dalam Mencari Jodoh

Tidak semestinya bila dikatakan, jodoh tetap jodoh, bermakna, tanpa diusahakan, jodoh itu akan datang. Juga, dalam konteks pasangan yang sudah bertunang atau bernikah, “jodoh tetap jodoh” tak bermakna, tanpa dijaga sunatullah dalam perhubungan (sains sosial, sains kekeluargaan, psikolinguistik dan lain – lain), ianya akan kekal.

Dalam aspek jodoh ini, USAHA sangat memainkan peranan. Cuma usaha itu perlu dalam sempadan yang syarie. Berusaha itu, tuntutan sunatullah, manakala tawakal, berserah diri itu adalah tuntutan syariatullah. Cuma, jangan kerana terlalu mengikut pandangan sunatullah, maka syariatullah ditinggalkan, dan sebaliknya. Perlu diseimbangkan kedua-duanya.

Sebagai contoh, seorang pemuda, Hafizul (watak rekaan), merasakan sudah sampai masa untuk beliau bernikah. Maka beliau pun mula menilai para muslimat yang beliau kenali, mungkin ada ciri–ciri spesifik yang menjadi pilihan hati, mungkin kalau boleh, biarlah muslimat yang berasal dari Kota Bharu, sekampung dengan beliau.

Bila sudah ada calon yang sesuai, maka beliau pun mula berusaha dengan cara seorang yang soleh. Solat istikharah, minta seorang senior yang sudah bernikah menjadi wakil dirinya untuk mengkhitbah muslimat tersebut, kemudian bertunang, dalam tempoh itu, pergaulannya dijaga, tidak berlebih–lebihan dalam dalam berhubung, sentiasa solat hajat di malam hari. Merancang dengan teliti bagaimana keadaan selepas bernikah.

Ada pula seorang pemuda, namanya Faeez (watak rekaan). Juga seorang yang soleh dan sangat menjaga ibadat. Sangat menjaga batasan pergaulan dan tidak suka berurusan dengan muslimat yang bukan muhrim. Dalam masa yang sama, beliau juga berkeinginan untuk bernikah. Saban hari beliau solat hajat mohon didatangkan jodoh, dengan harapan akan ada seorang muslimat yang solehah umpama bidadari akan mengkhitbah dirinya.

Azim (watak rekaan) juga seorang pemuda yang mahu berkahwin. Bapanya seorang yang kaya raya. Dia mempunyai ramai peminat. Akhirnya dia memilih salah seorang peminatnya yang sangat seksi dan cantik. Dalam tempoh percintaan mereka, Azim sering membawa kekasihnya keluar bersama berdua–duan. Menikmati detik–detik indah percintaan. Berhubungan melalui telefon itu kewajipan harian baginya. Ayahnya kemudian membelanjakan sebahagian hartanya untuk diadakan majlis perkahwinan besar-besaran untuk anak tunggalnya.

Kedua–dua Hafizul dan Faeez adalah soleh. Kedua–dua mereka menjaga syariat. Tetapi, siapa antara mereka yang lebih berusaha dan lebih berkualiti? Siapa yang tidak meninggalkan tuntutan sunatullah?

Akhirnya, selepas setahun, Hafizul sudah mempunyai seorang isteri yang menyempurnakan dirinya dan dikurniakan seorang anak. Rezekinya pula bertambah–tambah. Faeez pula hanya bertemankan anak kucing.

Azim pula bagaimana? Selepas setahun, keretakan rumah tangga mula berlaku. Isterinya tidak mahu beranak kerana mahu menjaga bentuk badan. Azim sendiri pula mula bermain kayu tiga kerana kecewa dengan sikap isterinya yang tidak menghormatinya. Isterinya pula mendapat tahu kecurangan Azim dan mula mencari tempat mengadu, dan akhirnya bercinta dengan lelaki lain. Keluarga mula porak peranda dan asyik bergaduh. Mertua dan ipar mula campur tangan, Azim dipukul oleh kaki pukul upahan abang iparnya. Ayah Azim pula berang dan membawa kes tersebut ke mahkamah. Akhirnya kedua–dua keluarga tersebut mula berperang.

Kenapa perkahwinan Azim begitu? Sebab usaha mencari jodohnya tidak ada keberkatan apabila syariat Allah ditinggalkan. Tanpa keberkatan, isteri secantik mana, tetap tidak bahagia. Tanpa keberkatan, suami berharta berjuta pun, tidak ada ketenangan.

Sebab itu penting kita fahami, berusaha itu adalah tuntutan sunatullah untuk mendapatkan jodoh. Dan usaha itu mestilah tidak menyalahi syariat supaya jodoh yang dikurniakan itu datang bersama keberkatan.

Membetulkan Persepsi Terhadap Usaha Mencari Jodoh

Oleh itu, secara tabie atau hukum alam atau sunatullah, kita kena akur, rezeki atau jodoh, bukanlah akan datang tanpa diusahakan, melainkan dalam kes–kes terperincil. Permasalahannya sekarang, saya perhatikan, terdapat segolongan yang agaknya terbuai dengan novel–novel umpama Ayat–ayat Cinta, di mana watak utamanya, Fahri, tanpa disangka–sangka dilamar oleh Aisha.

Saya tidak menolak memang ada kemungkinan berlaku seperti itu, tetapi yang saya bimbang adalah, wujudnya persepsi, menjadi orang yang dilamar itu adalah lebih baik. Berasa lebih suci mungkin. Ini salah.

Saya lebih memuliakan orang yang berusaha mendapatkan jodohnya. Kerana dia adalah orang yang menggerakkan diri untuk menunaikan tanggungjawab terhadap diri dan agamanya. Saya berpandangan seperti ini, kerana saya memandang pernikahan adalah satu jalan ibadat yang besar.

Melalui pernikahan, satunya, saya dapat menyelesaikan tanggungjawab menjaga kehormatan diri saya, insyaAllah. Kemudian, melalui jalan pernikahan juga, saya dapat melunaskan tanggungjawab untuk sama–sama membentuk generasi pewaris agama Islam.

Bagaimanapun, kalau kita memandang, pernikahan itu, hanyalah jalan melempiaskan nafsu, maka kita akan berpersepsikan orang yang berusaha untuk bernikah itu orang yang ‘gatal’.

Sebab itu, betulkan kembali persepsi kita terhadap pernikahan. Jadikan pernikahan itu sebagai satu pengibadatan yang sangat tinggi nilainya, barulah kita dapat merasa tingginya nilai berusaha untuk mendapatkan jodoh.

Justeru, marilah kita berjihad mendapatkan jodoh, iaitu JIHAD PERKAHWINAN.

5 thoughts on “Mengusahakan Jodoh

  1. JODOH MESTI DIUSAHAKAN, bukan hanya berpegang semata – mata kepada kata – kata “kalau sudah jodoh, jodohlah, kalau bukan jodoh, takdelah”.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s