AIDUL FITRI 1431 DI PERANTAUAN

Kali pertama memilih untuk tidak balik ke kampung halaman pada Aidul Fitri bukanlah perkara yang tidak sukar. Untuk mendapatkan kekuatan mahu mengatakan tidak dapat balik kepada emak di rumah, pun sudah mengambil masa beberapa hari. Tetapi, itulah, terasa begitu berat hati untuk balik, terasa ada benda yang mahu dicari semasa penghujung Ramadhan dan awal Syawal di bumi UTM Skudai yang tidak hidup pada waktu ini.

Terdapat banyak tugasan yang hendak diselesaikan dalam masa yang sama ada dua peperiksaan yang menanti selepas cuti menyebabkan saya memilih untuk tidak pulang ke kampung. Sebaliknya menumpukan masa dan ruang yang ada untuk menyiapkan tugasan – tugasan tersebut, dalam masa yang sama meraikan kedatangan Aidul Fitri seringkas yang mungkin.

Ukhuwwah Para Perantau di Penghujung Ramadhan

Satu perkara yang saya benar – benar hargai sekitar penghujung Ramadhan adalah tercetusnya ukhwah antara saya, Soud dan Emad. Di minggu akhir Ramadhan, semakin ramai yang pulang ke kampung halaman. Lama – kelamaan, musollah di blok kami cuma dikunjungi oleh kami bertiga sahaja dan kadangkala beberapa orang pelajar Somalia, tetapi biasanya mereka agak lewat.

Soud adalah pelajar peringkat sarjana daripada Iraq. Manakala Emad adalah pelajar peringkat sarjana daripada Iran.

Sebelum ini, kami biasa bertemu di musollah tersebut, cuma tidak pernah bertegur sapa, kerana ramai orang di musollah. Biasanya kami cuma senyum dan memberi salam dan agak janggal dan malu untuk bertegur sapa. Terutamanya saya.

Tetapi apabila hanya tinggal kami bertiga yang mengimarahkan musollah ini, masing – masing terasa untuk berukhuwwah. Saya terasa ingin menegur mereka, tetapi masih segan. Sampailah satu masa, selepas saya selesai rawatib Zuhur, Soud memberi salam kepada saya dan menanyakan, “Are you Malay?”

“Yes, I am”.

“Well, why don’t you go back home during this festive holiday?”

Saya kemudian memaklumkan beliau beberapa kerja yang perlu saya siapkan dan juga peperiksaan yang akan datang. Emad kemudian sampai ke surau dan kami berbual – bual seketika sebelum solat Zuhur.

Sejak itu, ukhuwwah kami semakin rapat. Kami mula mengetahui rupanya kami masing – masing adalah penuntut di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA). Agak lucu apabila mereka berkata singkatan FKKKSA itu pelik, kenapa banyak sangat huruf ‘K’ tanya mereka.

Pertemuan dan ukhuwwah kami hanya dimusollah. Kami tidak pernah bertemu di tempat lain, mungkin kerana masing – masing banyak meluangkan masa dalam bilik untuk menyiapkan tugasan. Sampaikan, kami tidak akan solat selagi tidak cukup kami bertiga. Soud adalah orang yang paling cepat sampai ke Musolla. Manakala saya dan Emad, kadang kala saya sampai dahulu, kadangkala beliau. Kadang – kadang, apabila hanya dua orang antara kami solat dan seorang lagi terlewat, terasa bersalah kerana tidak menunggu yang seorang lagi.

Emad mempunyai suara yang sangat merdu. Bacaan ayat Qurannya sangat mengasyikkan. Tetapi dalam masa yang sama, beliau pula suka meminta saya mengimami jemaah. Sebab itu, kadangkala, saya sengaja datang sedikit lewat, supaya apabila Emad sudah mengimami solat, barulah saya sampai, tetapi, apabila mereka mula menunggu saya, saya tidak dapat lagi berbuat begitu.

Brother Soud of Iraq

Saya teringat sewaktu kali pertama bertaaruf (berkenalan) dengan beliau. Saya tanyakan beliau, “what is your name, brother?”

“Soud” jawab beliau.

“Soud?” saya rasa agak pelik dengan nama itu.

“Yes, Soud. Like the Saudi Arabia, King Soud”.

“Oh, I see, so where’re you coming from?”

“Iraq”, beliau menjawab dengan bangga.

“Owh, Iraq?”, saya terasa kagum.

“Yes, Saddam Hussein!” Sambung beliau dalam nada bergurau, menyebut nama seorang yang cukup terkenal dari Iraq. Kami terus ketawa. Beliau kemudian menanyakan nama saya, saya jawab, “Muhammad Qayyum”

“Muhammad Qayyum.” Beliau berfikir sejenak, kemudian beliau menyambung, ‘I think Abdul Qayyum is much proper”.

“Yes, it is actually, but, Malaysians don’t really knows that the proper way to use Allah’s name is by using Abdul instead of Muhammad”, jawab saya. Kami solat Isya’ selepas itu.

Brother Emad of Iran

Perkenalan dengan Emad juga satu keberkatan bagi saya. Saya menanyakan beliau dari manakah beliau berasal. Jawab beliau, “I’m from Iran”.

“But you’re Sunni?” Tanya saya. Emad dan Soud ketawa mendengar soalan itu.

“Yes, strangely, I’m a sunni, hahaha” jawab beliau. Sambung beliau, “you know, it’s only 20 % of us are Sunnis, and the others are Shiites (Syiah), and less then 1% is other religions.”

Topik perbincangan kemudian berkisar tentang Iran dan fahaman Syiah. Emad mengatakan di sana, golongan Sunni sering terkorban dan dizalimi oleh pemerintah yang bermazhabkan Syiah. Berbanding dangan mereka yang beragama lain seperti Zoroasterisme, Kristian dan Yahudi, hanya golongan Sunni yang sering menerima tribulasi daripada pemerintah kerana mereka yang lantang dan berterus terang mengatakan yang hak dan batil terhadap pemerintah.

Kata Emad lagi, golongan Syiah tidak lagi pergi Haji sebaliknya mereka hanya perlu pergi ke satu tempat ibadat yang khusus (saya tidak dapat menangkap nama tempat itu) sebanyak tiga kali dan mereka tidak lagi perlu ke sana.

Soud bertanya kepada Emad, dari manakah bidaah itu muncul, dan Emad mengatakan, mereka (Syiah) membuat hadis palsu bagi hal ini. Saya mengiakannya dan mengatakan memang golongan Syiah adalah terkenal dengan mereka hadis palsu.

Emad membenarkan kata – kata saya dan menceritakan, di sana (Iran), ada sebuah kitab hadis golongan Syiah yang di dalamnya mengandungi beribu – ribu banyaknya hadis. Yang menarik, kata beliau, jika kita kira, hayat kerasulan Rasulullah SAW adalah 23 tahun, dan jika kita anggap Rasulullah mengambil masa satu minit untuk mengeluarkan satu hadis tanpa henti, bilangan hadis dalam kitab itu masih berbaki.

“Yallah,” kata Soud selepas itu, mengajak kami solat Isya’.

Nikmat Beruzlah di Aidul Fitri

Walaupun tidak meriah, tetapi saya sangat bersyukur dengan nikmat – nikmat lain yang hadir.  Nikmat berukhuwwah dengan dua orang sahabat tadi cukup manis. Tetapi terdapat nikmat lain yang saya rasakan, iaitu nikmat tidak kehilangan semangat Ramadhan.

Alhamdulillah, tidak berlaku terlebih makan, memandangkan 1 Syawal kebanyakan kedai tutup, yang buka rasanya hanyalah kedai – kedai yang bersatuskan kiosk seperti KFC, Mc Donald dan lain – lain yang bersifat ‘Israeliyyat’ dan mahal. 1 Syawal saya jamukan diri dengan sekotak bijiran pemberian keluarga angkat saya waktu Ramadhan lepas dengan air susu yang saya beli dari 7-11 selepas selesai solat Sunat Aidul Fitri.

Juga terlindung daripada hiburan melampau di kaca televisyen di rumah. Terasa sangat tenang beruzlah di sini, meluangkan masa membaca buku, artikel di internet dan menyiapkan tugasan. Meluangkan masa mengagumi kehidupan Imam al-Ghazzali (insyaAllah saya akan menghasilkan tulisn mengenai beliau jika berkesempatan). Tiada filem – filem hantu yang menghantui Syawwal saya.

Mudah kata, saya tidak mengalami sindrom kejutan Syawwal, saya masih beramal seperti saya beramal ketika Ramadhan. Tidak seperti Syawwal – Syawwal lepas. Alhamdulillah.

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s