BERTEGASLAH TERHADAP NAFSU

Kisah Anak Mengamuk

Seorang ibu yang baik tidak akan membeli setiap satu mainan yang anaknya inginkan. Walaupun anaknya beria – ria menangis dan memberontak mahukan mainan – mainan tersebut. Tetapi tetap dipujuk anaknya supaya berhenti menangis dan cuba mengalih perhatian anaknya dengan benda – benda lain. Tetapi sekali – sekala si anak tetap tidak mahu mengalah dan terus mengamuk, maka si ibu terpaksa mengambil tindakan yang lebih tegas dan kasar seperti memukul sekadarnya supaya si anak berhenti mengamuk.

Tegas!

Kenapa si ibu buat begitu akhirnya?

Sebab tak sayang anak? Mustahil, ibu mana yang tidak sayang anak. Tetapi si ibu terpaksa mengambil langkah tersebut kerana perlunya ibu tadi bertegas!

Ya. Bertegas!

Bukan sengaja mahu mengasari, tetapi itulah lumrah mendidik nafsu, mesti bertegas. Mendidik nafsu anak – anak yang mahukan segala sesuatu yang menarik hatinya, mesti mahu kepada ketegasan, sampai satu peringkat terpaksa berkeras. Jika tidak, nafsu mahu kepada segalanya yang ingin dinikmati dalam dunia tapi fikir soal akhirat, soal halal dan haram.

 

Bertegas Terhadap Diri Sendiri?

Isunya, apabila kita masih kecil, ya, si ibu akan bertegas mahukan kita menjadi anak yang baik di matanya, tetapi apabila mula menginjak dewasa, tanggungjawab mendidik dan mengurus nafsu mula beralih kepada empunya diri.

Maka bermulalah siri peperangan menentang diri sendiri. Di sinilah ramai yang kecundang. Yalah, bukan ramai yang MAHU melawan diri sendiri. Apatah lagi mencapai MAMPU. Sebab itu ramai yang MAMPU menyatakan kesalahan pihak itu dan ini dengan jelas tetapi berapa ramai yang MAHU menyatakan kesalahan diri sendiri, walaupun hanya kepada diri sendiri!

Bukankah nafsu itu musuh yang dicintai?

Hanya keimanan terhadap Hari Pembalasan mampu memberi ransangan untuk kekal bertegas terhadap nafsu. Hidup dengan menyedari setiap tindakan di dunia ini ada penanggungjawabannya di akhirat. Itu pun buat mereka yang MAHU mencapai MAMPU rindu kepada alam akhirat.

 

Cabaran Taubat

Tidak dinafikan kita melalui pelbagai fasa kehidupan. Fasa kejatuhan dan zaman gelap adalah satu proses mendewasakan diri yang Allah anugerahkan. Tetapi ianya hanya menjadi satu bentuk anugerah jika fasa itu dijadikan pengajaran dan disusuli dengan fasa taubat. Tanpa sesalan terhadap dosa lampau dan mengambil langkah membaiki diri mencegah daripada terus jatuh ke lembah maksiat yang sama, fasa hitam dan kelam tersebut hanyalah satu bala yang bertimpa – timpa, dan kita hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan.

Bagi yang melangkah masuk ke fasa taubat atas jemput dan hidayah Allah SWT, tahniah, tetapi jalannya bukanlah mudah. Pastinya pelbagai ujian akan ditimpakan Allah sebagai satu bentuk motivasi untuk terus bertegas terhadap diri sendiri.

Tidak dinafikan, membiarkan diri larut dalam kelaziman maksiat suatu masa dahulu memerlukan ketegasan yang tinggi untuk menolak desakan nafsu yang mahu terus menerus bergelumang dengan apa yang dirasakannya sebagai nikmat tanpa mahu rasa puas.

Tidak cukup dengan itu, anasir – anasir luar juga menjadi ancaman terhadap perjuangan mengangkat martabat diri ini. Iklan – iklan yang meraikan dan melazimkan maksiat melalui media – media tempatan dan antarabangsa mudah saja melalaikan dan memalungkan diri daripada terus berjuang melawan nafsu. Apatah lagi panggilan maksiat daripada teman – teman lama yang masih dalam fasa gelap.

Bagi yang pernah terjerumus ke lembah percintaan atas dasar maksiat dan nafsu, menghadapi pujukan dan belaian untuk kembali meneruskan kemaksiatan bersama – sama dengan pasangan dahulu adalah cabaran sangat besar yang memerlukan sebesar – besar ketegasan!

 

Mencari Jalan Selamat

Justeru, cara yang paling selamat untuk menjaga diri daripada kembali semula ke fasa gelap adalah dengan bertegas untup menutup terus jalan – jalan untuk berpatah balik.

Kurangkan meluangkan masa terdedah kepada media – media yang mempromosikan maksiat seperti rancangan televisyen, tayangan filem, majalah hiburan dan sebagainya. Apatah lagi media lucah. Gantikan ruang masa tersebut dengan aktiviti hiburan yang berfaedah, seperti menonton klip – klip video mengenai Islam, pembacaan bahan – bahan Islamik, atau lebih baik, meluangkan masa untuk menulis hasil pembacaan tersebut supaya pengajaran yang digarap akan terus segar dalam ingatan.

Mencari dan menggauli kawan – kawan yang baik adalah satu pendorong yang baik untuk terus kekal dalam fasa taubat. Tidak dinafikan jiwa manusia adakalanya lemah dan mudah terbuai semula dengan nafsu. Dalam keadaan tersebut, manusia memerlukan sokongan luar untuk terus kekal bertegas terhadap dorongan nafsu, sebab itulah lumrah manusia, saling memerlukan dan hidup bermasyarakat.

Dan terakhir sekali adalah tetap teguh dengan ketegasan menutup jalan yang boleh menceburkan kita semula ke dalam lembah maksiat. Apa – apa jalan sekali pun, walaupun hanya melayan mesej bertanya khabar daripada kekasih lama. Nafsu yang sentiasa menggelodak dan syaitan yang sentiasa cerdik dengan tipu daya akan menjadikan lubang sekecil itu menjadi seluas – luas pintu ke neraka! Oleh itu mantapkan diri dengan tegas untuk berkata, “tidak”, “jangan hubungi lagi”, “jangan ganggu”, dan jika gangguan masih persisten, langkah drastik menukarkan nombor telefon atau apa – apa cara menutup media yang digunakan untuk berhubung perlu diambil.

Perbuatan tegas dan zahirnya kasar seperti itu pastinya menimbulkan ketidak puasan hati pihak tertentu. Tetapi cukuplah difahami bahawa hidup ini bertujuan untuk menghambakan diri kepada Allah, untuk mendapat redha Allah, bukan manusia. Justeru tidak perlu timbul rasa takut, bukankah itu yang Allah mahu dari hidup ini, maka bergantung sajalah kepada rahmatNya, Sang Penguasa.

Bertegaslah terhadap nafsu untuk menggapai maksud hidup di dunia!

* * * * *

Artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum adalah bersifat perkongsian idea semata – mata. Semua pihak bebas menyalin semula dan/atau menyebarkan apa – apa artikel yang terdapat dalam Muhammad Qayyum. Walaubagaimanapun, alamat Muhammad Qayyum perlu disertakan bersama bagi memudahkan proses rujukan oleh pihak tertentu disamping dapat meluaskan medan perkongsian.

Muhammad Qayyum Bin Halele @ mqayyum.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s