Sebelum CAPAI tujuan hidup, terlebih dahulu kita mesti TAHU apa tujuan kita hidup. Sebelum TAHU tujuan kita hidup, terlebih dahulu kita mesti SEDAR hidup ini bertujuan. Daripada SEDAR adanya hidup bertujuan, mesti ada MAHU untuk TAHU tujuan hidup. Daripada TAHU tujuan hidup, mesti ada MAHU untuk CAPAI tujuan hidup. Itulah perkembangan fikrah yang saya lalui. Dan tidak dinafikan semuanya memerlukan bimbingan murobbi yang ikhlas dan setia memberi tunjuk ajar tanpa rasa jemu. Merekalah yang berusaha keras memberi saya SEDAR, MAHU, TAHU, MAHU, dan CAPAI.

Entri ini adalah entri penghargaan saya buat murobbi–murobbi yang banyak mempengaruhi pemikiran dan tindakan saya. Semoga Allah kekalkan mereka dalam suasana kebaikan dan kebajikan. Amin.

Allahyarham KH Rahmat b Abdullah

Beliau adalah seorang ulama’ terkemuka daripada Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Pada tanggal 14 Jun 2005, hari Selasa, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu berusia 52 tahun. Saya tidak pernah mendengar nama beliau, apatah lagi menatap gambar beliau sewaktu  beliau hidup, sehinggalah sekitar tahun 2009. Iaitu empat tahun selepas beliau meninggalkan dunia ini. Agak aneh bagaimana seorang ulama’ daripada Indonesia yang sudah bertahun–tahun pergi meninggalkan dunia ini masih mampu mentarbiah seorang anak muda dari Malaysia yang belum pernah pun menjejakkan kaki ke Indonesia.

Tetapi itulah kekuatan Ustaz Rahmat Abdullah, hasil tarbiahnya telah menggerakkan kader–kader PKS melalui Majelis Budaya Rakyat untuk mengabadikan perjuangan beliau dalam sebuah filem bertajuk Sang Murobbi: Mencari Spirit Yang Hilang. Filem tersebut telah diterbitkan pada bulan Julai 2008.

Hanya filem itulah yang memperkenalkan saya kepada tokoh dakwah yang dikenali sebagai Syeikh Tarbiah. Filem itu walaupun plot–plotnya agak tergesa–gesa, tetapi tidak sukar untuk diikuti oleh mereka yang turut menganggotai gerakan Islam. Kerana itulah lumrah yang dilalui oleh anggota–anggota pergerakan Islam.

Perkara yang sangat–sangat mempengaruhi saya dalam filem tersebut adalah sifat kesungguhan Ustaz Rahmat mahu mentarbiah ahli masyarakat setempatnya. Bermula dengan beliau mengadakan sesi kuliah agama bagi mendidik anak muda daripada bilangan yang sedikit, kemudiannya jumlah anggota-anggota dakwah semakin meningkat. Sebelum itu dipaparkan juga babak beliau menolak untuk menjadi pegawai sesuatu jabatan kerana mahu mengabdikan diri mendidik anak–anak watan dengan nilai Islam. Terdapat juga babak beliau menziarahi golongan peminum arak dan tahi judi dengan penuh hikmah untuk mengajak mereka menyertai sesi kuliahnya.

Inilah model dakwah dan tarbiah yang saya perlahan–lahan cuba terapkan dalam diri saya ketika melayari realiti keberadaan saya di bumi Taman LKNP Bukit Setongkol sekarang.

 Ustaz Mohd Ismail Mustari


Beliau adalah seorang tokoh dakwah dan guru saya yang cukup terkenal di UTM. Kehebatan beliau dalam menyampaikan ceramah dan kuliah menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi UTM tidak melepaskan peluang untuk mengikuti mana – mana sesi yang melibatkan beliau. Antara perkara lain yang menjadi daya tarikan beliau adalah akhlak beliau yang sangat tawadu’ tetapi tegas. Sesiapa yang pernah berurusan dengan beliau pastinya faham hal ini. Saya sendiri pernah ditegur beberapa kali  secara terus kerana kelemahan saya dalam menguruskan sebuah program Jawatan kuasa Saudara Kita.

Selain daripada ceramah–ceramah perdana yang dianjurkan di UTM, saya sempat mengikuti beberapa sesi kuliah tafaqquh bersama beliau. Antara kitab yang sempat saya pelajari daripada beliau adalah Hadis 40 Imam Nawawi dan Syamail Muhammadiah. Sebagai tokoh akademik, beliau tidak sunyi daripada membentangkan hasil–hasil kajian beliau, antara kajian yang paling menarik perhatian saya adalah ‘Falsafah Solat’ yang berkisarkan tentang perkaitan kualiti amalan solat harian dengan amalan perilaku kita sehari–hari.

Ustaz Ismail adalah seorang murobbi yang banyak berpesan kepada anak–anak didiknya. Saya akui, saya bukanlah murid yang baik, banyak pesanan beliau yang saya langgar dan tidak ikut dengan istiqamah kecuali satu. Iaitu pesanan beliau setiap kali menjelang musim cuti. Beliau akan mengingatkan setiap mahasiswa dan mahasiswi yang balik ke kampung halaman wajib menjadikan diri mereka berperanan terhadap masyarakat sekitar. Pulangnya kami adalah untuk berbakti dengan sedaya upaya terhadap ahli masyarakat, bukan sekadar menikmati cuti bagaikan lembu balik ke kandang. Itulah satu – satunya pesanan yang tetap saya pegang sehingga sekarang dan semoga saya tetap istiqamah dengannya.

 Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


Beliau turut dikenali sebagai Ustaz Saifulislam.com kerana dinasabkan kepada blog beliau, iaitu saifulislam.com. Nama Saifulislam itu pula sebenarnya adalah daripada nama anak lelaki sulung beliau. Saya mula mengenali beliau melaui penulisan–penulisan beliau sekitar tahun 2007. Sejak itu saya mula ‘on-off’ membaca artikel–artikel beliau.

Secara umumnya, saya boleh katakan, tarbiah yang menekankan aspek pembangunan intelektual dan daya pemikiran oleh artikel–artikel beliau banyak menyeimbangkan pemikiran idealistik saya kepada sesuatu yang lebih realistik. Sebagai contoh, dulu saya menganggap bahawa pernikahan semasa di kampus adalah jalan terbaik dan paling ideal untuk mengelakkan zina dan membendung masalah ‘couple’. Namun setelah dibentangkan dengan beberapa contoh perkahwinan sebegitu yang gagal, biarpun melibatkan mereka yang terlibat dengan gerakan Islam di kampus dan di luar, ternyata formula tersebut bukanlah penyelesaian konkrit. Ada faktor lain yang perlu dipertimbangkan, seperti kematangan dalam berfikir dan bertindak dan lain–lain. Sejak itu saya mula terdidik untuk menilai semula idea yang saya terima dan mula menjalankan kaedah penapisan idea secara kritikal, lihat idea mana yang berkenaan dengan realiti kehidupan dan idea mana yang hanya slogan.

Selain itu, saya turut terkesan dengan kemahiran beliau mengolah dan menginovasi bahan–bahan dakwah supaya sesuai dengan audiens. Malah beliau turut mencorakkan program–program dakwah dengan keaslian tersendiri dan tidak sekadar mengikut corak biasa. Hal seperti ini menjadi insipirasi bagi saya untuk meneroka dan menginovasi bahan–bahan haraki kepada bentuk yang lebih mudah dicernakan dan praktikal untuk audiens. Sekarang saya dalam proses bereksperimen dengan buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ untuk disampaikan dalam kuliah muslimat. Muslimat di sini merujuk kepada golongan makcik–makcik, maka penyampaian saya mestilah berorientasikan pendidikan anak di rumah, pengurusan rumah tangga dan sebagainya. Bukan lagi mengobar semangat jihad untuk menggerakkan persatuan mahasiswa seperti dahulu.

En. Yusof bin Hashin


Atau lebih saya kenali sebagai abang Yusof. Tidak dinafikan di Taman LKNP Bukit Setongkol, sosok tubuh pemuda berkulit hitam manis ini cukup dikenali sebagai seseorang yang kaya dengan idea untuk memperbaiki keadaan semasa, disamping kemahiran komunikasi yang boleh diterima umum walaupun lantang mengkritik. Yang lebih baik lagi, beliau sangat mudah menghulurkan bantuan, ‘mudah dibuat kira’ dan senang bekerja. Maksud saya, beliau bukan sekadar mengkritik dan memberi idea, tetapi turut menjadi ‘anchor’ untuk menggerakkan idea–idea beliau biarpun berisiko.

Saya menganggap beliau sebagai abang sendiri dan hubungan kami sangat rapat. Anak–anak beliau sangat suka memanjakan diri terhadap saya.

Dari segi gerak kerja Islam, saya sangat menghargai kehadiran beliau kerana saya sentiasa mengagap beliau sebagai ‘mastermind’ di pengkalan utama dan saya adalah komando yang bertanggungjawab menjalankan kerja–kerja di lapangan.

Hal ini adalah kerana kelebihan beliau yang telah banyak pengalaman dalam menjalankan gerak kerja Islam tetapi mempunyai kekangan masa dan tenaga kerana beliau sibuk menguruskan syarikat sendiri dan keluarga. Saya pula mempunyai kelebihan kerana masih muda, kaya dengan kudrat, ruang masa yang fleksible dan kemampuan berfikir sendiri cara untuk mencapai objektif, cuma kurang pengalaman dalam merancang gerak kerja dasar. Di sinilah proses tarbiah berjalan apabila saya mula mencerap idea–idea beliau yang bersifat realis untuk menyeimbangkan idea–idea saya yang masih terpengaruh dengan gaya idealis mahasiswa untuk  terjun dengan efektif ke dalam masyarakat.

Penutup

Mereka di atas adalah orang–orang yang sangat banyak pengaruhnya terhadap diri saya sekarang. Bukanlah bermakna saya menyatakan bahawa mereka adalah lebih baik daripada tokoh-tokoh lain, cuma capaian saya terhadap mereka lebih mudah berbanding dengan tokoh–tokoh lain, menjadikan proses pertukaran idea itu lebih efektif dan efisyen berbanding dengan hubungan saya dengan tokoh–tokoh yang lainnya. Bagi pihak saya, saya mengharapkan pemikiran dan perlakuan yang mereka akan dicerna secara positif dan sahih oleh saya. Tujuannya adalah supaya dapat saya wariskan kepada generasi kemudian. Semoga Allah merahmati mereka semua, amin.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s