KEMENANGAN YANG HAMPIR


12/01/2011

MARKAS PAS CAWANGAN TAMAN LKNP BUKIT SETONGKOL

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM

Assalamualaikum wrt.

Sahabat – sahabat yang ana muliakan. Pertamanya, ana memohon jutaan kemaafan kerana tidak dapat bersama – sama dengan sahabat – sahabat semua kerana dalam usaha ana mencari nafkah, ana telah ditugaskan untuk berada di Temerloh, Pahang bersama – sama seorang sahabat kita dari Balok, saudara Aidil Firdauz. Walapun begitu, ana meyakini baiah sahabat – sahabat semua kepada Allah Robbul Jalil, pada sesi yang lepas untuk terus istiqamah dalam menggerakkan usrah Dewan Pemuda Cawangan kita ini.

Sahabat – sahabat sekalian, ini adalah kali pertama ana meletakkan tema dalam usrah kita. Ini hanyalah cadangan persendirian ana dalam usaha ana mahu mengangkat usrah mingguan kita menjadi sebuah medan tarbiah yang berkesan. Oleh kerana kita masih belum mempunyai silibus usrah yang tetap, ana meletakkan tema usrah dengan harapan setiap usrah kita akan berfokus pada satu isu dan masing – masing dapat bersedia dengan isu tersebut, supaya kita masing – masing dapat memberi pandangan dan bersedia untuk menerima dengan lebih efektif. Sampai satu ketika, usrah kita akan ditingkatkan lagi dari segi manhaj (sistem) tarbiahnya sesuai dengan suasana kita semua, insyaAllah.

Berbalik kepada usrah kita malam ini yang bertemakan “Yakin Pada Masa Depan Islam”, izinkan ana memberi sedikit pengisian ringkas bertajuk “Kemenangan Yang Hampir” sebagai mukadimmah usrah kita malam ini. Memetik surah as-soff daripada ayat 10 hingga 13:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (dengan itu) akan diampunkan dosa-dosa kamu, dan dimasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adnin’, itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat, dan sampaikanlah berita gembira itu kepada orang-orang yang beriman.”

Sahabat sekalian, dalam empat ayat di atas, Allah SWT telah menawarkan kita pembebasan daripada azab akhirat melalui keampunanNya yang maha luas sehingga melayakkan kita untuk menjejak syurga Adnin. Syarat tawaran tersebut ada empat, iaitu pertama, kita beriman kepada Allah, kedua, kita beriman kepada RasulNya, ketiga, kita berjihad di jalan Allah dengan harta kita, dan keempat, kita berjihad di jalan Allah dengan diri kita.

Namun tawaran Allah tidak tamat sahaja di situ, sebaliknya, Allah janjikan pada kita, akan datangnya ‘nasrum minallah’, iaitu pertolongan daripada Allah dan ‘fathun qarib’ iaitu KEMENANGAN YANG HAMPIR.

Justeru, bertitik tolak daripada janji Allah yang pastinya benar ini, hendaklah kita yakin dengan sebenar – benarnya, bahawa dengan kita berintima’ (bergabung) dengan gerakan Islam ini, perjuangan kita telah dijanjikan kemenangan yang sangat hampir. Dan usaha kita mendapatkan kemenangan tersebut adalah dibantu oleh Allah SWT sendiri melalui jalan – jalan yang tidak kita jangkakan.

Sahabat sekalian, apakah tidak cukup bagi kita janji Allah bahawa kita akan menang? Apakah lagi alasan kita untuk bersikap lemah dan takut dalam memperjuangkan Islam?

Oleh itu, kita semua, termasuk diri ana sendiri terutamanya, hendaklah ada rasa ‘izzah (kemegahan) dalam memacu perjuangan yang kita warisi daripada para anbia’ terdahulu, mengubah sikap kita menjadi lebih agresif dalam melihat setiap ruang dan peluang untuk memenangkan perjuangan Islam. tidak lagi bersikap lemah dan takut. Tidak lagi bermalas – malasan dan beralas-alasan.

Bangunlah, bangkitkan dalam diri kita dahulu, semangat ke’izzahan bersama – sama dengan jemaah Islam. Rasa yakin yang menebal terhadap perjuangan Islam yang dipandu oleh pucuk kepimpinan kita daripada golongan ulama’ dan umara’ yang ikhlas.

Seterusnya, hidupkan semula Dewan Pemuda PAS Cawangan kita ini dengan sehidup – hidupnya. Kobarkan semangat perjuangan di kalangan ahli – ahli kita yang masih selesa dengan kesenangan dunia sementara ini sehingga takut untuk bersama kita. Gunakanlah pelbagai medium untuk mengajak mereka kembali bersama kita, samada tazkirah ringkas di surau al-Ikhwan mahupun pujukan sewaktu minum pagi di warung Kamarul. Sedarkan diri kita semua, bahawa kemenangan itu SANGAT HAMPIR!

Sirru a’la barokatillah! TAKBIR!!!

Muhammad Qayyum bin Halele

Ahli Usrah

DPP Cawangan Taman LKNP Bukit Setongkol

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s