“Ustaz, bila ustaz nak kahwin?” Tanya Naim sambil tangan kanannya mengumpul–ngumpul nasi di dalam dulang di hadapan saya.

“Ana masih menunggu arahan. Arahan daripada empunya badan… Tuan punya hati!” Jawab saya. Kemudian saya diam sebentar, memberi ruang baginya memikirkan kata – kata saya.

“Anta faham tak maksud ana?” Saya bertanya, menguji.

“Faham, ustaz tengah tunggu arahan daripada Allah,” jawabnya.

“Bagus! Sekarang, ana nak tanya anta, kalau anta, kenapa anta rasa perlu kahwin?” Tanya saya pula.

“Um… Nak tambah rezeki ustaz, nantikan bila ada anak, rezeki kita bertambah”.

“Ok, lagi?”.

“Er….”.

“Ok, Aliff, kalau anta pula, kenapa anta rasa perlu kahwin?” Saya mengalih pertanyaan kepada seorang lagi anak murid saya.

“Em, kan ada dalam hadis, yang orang muda kena kahwin tu.” jawab Aliff.

“Maksud anta, hadis yang… wahai orang muda, berkahwinlah kamu dan jika kamu tidak mampu, berpuasalah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan menurunkan nafsu?” Balas saya. Sekadar melafazkan apa yang saya ingat mengenai maksud hadis tersebut. Naim terus memasang telinga.

“Ha’ah, yang tulah,” jawab Aliff.

“Ok, maksudnya sebab anta nak ikut apa yang Nabi suruhlah? Bagus–bagus. Ok, sekarang ana nak tanya pula, antum pernah dengar orang cakap dia nak kahwin, sebab dia perlukan isteri untuk temani dia, untuk dia rasa senang hati ada isteri disamping dia, pernah dengar macam tu?”

“Ha’ah, betul la ustaz, bila penat–penat buat kerja, balik rumah ada isteri layan,” Naim pula bersuara.

“Ok… Betul la tu, cuma pandangan ana pula macam ini, ana meletakkan, segala keperluan ana, rasa untuk dicintai, didampingi dan yang lain-lain pada Allah semata–mata. Ana cuba didik hati ana untuk tak mengharap pada makhluk, pada manusia. Cukup ana letakkan harapan pada Allah, sebab kita tahu Dialah ar-Rahman, ar-Rahim, al-Wadud. Dia tempat kita meminta, al-Wahab. Jadi ana tak merasa perlu lagi meminta kepada makhluk, sebab ana yakin, segala keperluan ana tu, Allah akan datangkan sebab–sebab yang akan menyebabkan ianya dapat dipenuhi walaupun tak kahwin. Jadi, kenapa ana perlu kahwin? Kenapa Nabi suruh kita kahwin juga, macam hadis yang anta sebut tadi?” Soalan provokasi saya lontarkan pada mereka. Saya suka begitu, mengajak mereka berfikir.

Setelah agak lama mereka terdiam, saya pun berkata, “Memang betul ana didik hati ana supaya tidak mengharap pada pemberian makhluk, dan cuma mengharapkan cinta dan kasih sayang Allah. Tetapi Allah tidak memerlukan apa–apa pemberian daripada kita, Allah bukan lemahkan? Allah tak perlukan apa–apa sikit pun daripada kita, jadi, dengan perkahwinanlah, kita pula dapat memberi. Masing–masing terdiam, memikirkan maksud kata–kata saya barangkali. Dalam hati, saya mengharapkan semuda usia 16 tahun, mereka sudah dibiasakan dengan pemikiran kebergantungan mereka hanya kepada Allah.

Daripada dialog tadi, isunya adalah, perkahwinan untuk memberi. Memberi apa? Cinta, kasih sayang, keringat, masa dan segala jenis komitmen yang menjadi pakej perkahwinan. Senarai yang berpanjangan ini tak mungkin dapat dilunaskan oleh kita sebenarnya. Kita makhluk yang lemah, mana mungkin mampu untuk memberi? Apa sangat yang kita ada?

Mampukah kita memberi perhatian, kasih sayang dan cinta seperti mana yang diharapkan oleh pasangan kita?

Bolehkah kita memahami isi hati dan keperluan si dia?

Sempatkah kita hadir di sisinya sepanjang masa?

TIDAK. Sumber kita terbatas. Kewangan kita terbatas. Masa kita terbatas, 24 jam sahaja sehari. Kudrat kita lemah.

Jadi, dengan sumber yang terbatas, bolehkah kita memberi?

Sebenarnya, BOLEH, dengan syarat, kita memahami hakikat sumber yang abadi, sumber yang kekal, sumber yang tidak akan putus, iaitu sumber daripada Allah, Tuhan sekalian makhluk.

Dia itu ar-Rahman, ar-Rahim, al-Wadud. Kasih sayang dan cintaNya tidak terbatas dan sangat luas. Dia yang tahu bagaimana untuk menyintai makhluk–makhlukNya dengan sebenar–benar cinta. Maka pada Dialah kita mohon diberi hakikat cinta yang agung, untuk kita alirkan pada pasangan kita. CintaNya tidak statik dan bosan, cintaNya mengasyikkan, cintaNnya bertambah–tambah kuat setiap masa, cintaNya membangkit–bangkitkan kerinduan, tidak dapat dibandingkan dengan cinta picisan daripada kita yang hanya dibayangi nafsu mahu memiliki.

Dia itu as-Sami’, Yang Maha Mendengar, hingga tembus ke dalam hati pasangan kita. Dia itu al-‘Alim, Yang Maha Mengetahui, tahu apa yang bermain dalam fikiran si dia. Maka mintalah ilham daripada pengetahuanNya yang luas tanpa batasan itu. Barulah kita mampu memahami pasangan kita dengan baik. Kalau hanya merasa cukup dengan pemerhatian kita yang terbatas, ditambah dengan tokok tambah syaitan dan nafsu yang membisik, maka banyaklah sangkaan–sangkaan yang meleset akan timbul, natijahnya, berbalah sesama suami isteri!

Kemudian, Dialah al-Awwal, Yang Paling Awal tanpa ada sesuatu pun yang mendahului, Dialah al-Akhir, Yang Paling Akhir tanpa ada sesuatu pun yang melewati. Dia tidak terikat dengan masa seperti kita. Sebaliknya, Dialah yang mencipta sistem masa yang menaungi kehidupan kita. Pada Dialah terletaknya keberkatan dan rahsia masa berkualiti. Maka mohonlah padaNya, masa yang berkat untuk dapat kita luangkan bersama – sama pasangan secara berkualiti. Tidak sedikit pasangan yang sentiasa mempunyai ruang masa yang cukup untuk diluangkan bersama–sama tetapi gagal memanfaatkannya, kenapa? Kerana tidak hidup bersama Allah!

Sebenarnya sumber–sumber dan daya daripada Allah yang tidak terbatas ini boleh diperincikan dengan lebih banyak dan panjang lebar lagi. Cuma kita sendiri yang perlu mulakan dahulu dengan diri kita. Kitalah yang kena berusaha memahami dengan akal dan menghayati dengan hati. Mudah-mudahan dapat menerokai nikmat hidup bersama-samaNya.

Pasti Dia akan membuka hijab satu persatu, memperkenalkan zat–zatNya yang Maha Agung, sehingga kita asyik dan tenggelam dalam rahmatNya. Tenggelam dalam merasakan diri kita ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mengalirkan dan menyampaikan sumber–sumber daya yang tiada tandingannya kepada pasangan kita, seterusnya membentuk satu unit keluarga yang hidup bersama–sama Allah.

One thought on “Perkahwinan: Memberi daripada Sumber Abadi

  1. Mampukah kita memberi perhatian, kasih sayang dan cinta seperti mana yang diharapkan oleh pasangan kita?

    Bolehkah kita memahami isi hati dan keperluan si dia?

    Sempatkah kita hadir di sisinya sepanjang masa?

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s