BERSIH 2.0: TIADA SIAPA YANG LAYAK MEMUDARATKAN KECUALI ALLAH (Bahagian 1)

Keadaan di dalam Hospital Tung Shin, Jalan Pudu semakin mencemaskan. Hospital itu menjadi kubu terakhir para peserta himpunan aman BERSIH 2.0 untuk mencari sedikit ruang ketenangan setelah diasak oleh pihak FRU daripada segenap sudut. Jalan Pudu telah dikepung oleh pihak PDRM, tiada jalan yang boleh ditembus oleh para peserta himpunan.

Pihak PDRM mula masuk dan mengejar para peserta perhimpunan. Beberapa orang mula ditangkap dan diikat tangan dengan cable tie termasuk lelaki dan perempuan. Ramai yang panik dan meluru ke satu – satunya jalan yang tinggal, melalui jalan denai di tepi pagar hospital.

Melihat keadaan begitu, saya berhenti berlari dan menenangkan diri. Berbicara pada diri sendiri, Allah itu ad-Dharr, bukan makhluk, bukan PDRM. Mereka tidak dapat buat apa – apa pada saya kalau bukan atas keizinan Allah, dan kalau Allah yang berkehendakkan sesuatu yang mudarat berlaku, saya terima kehendakNya. Kemudian saya mula menghadap ke arah pasukan polis sambil mendepakan tangan, membuat isyarat, kalau ada sesiapa yang mahu membuat benteng manusia untuk melindungi orang – orang lain.

Tiba – tiba kedengaran suara seorang muslimin menjerit, “buat benteng! Buat benteng!”. Terdapat sahutan daripada beberapa orang lagi. Kemudian, beberapa orang muslimin mula menyilangkan tangan mereka bersama saya, membentuk barisan benteng manusia. Waktu itu saya lihat teredapat lompong kosong di sebelah kanan, dan ramai muslimat berkumpul di situ.

“Cover muslimat! Cover muslimat!” jerit saya, sambil berusaha menggerakkan barisan benteng ke arah kanan. Kebimbangan saya agak tinggi kerana anak ummi angkat saya termasuk dalam muslimat yang bersama kami. Sempat saya perhatikan barisan benteng kami, terdapat dua barisan. Sahabat lama saya saudara Mahazmi adalah antara yang bersama saya menjadi barisan hadapan. Mulut dan hati saya waktu itu tidak sudah – sudah memohon kekuatan daripada Allah al-Aziz al-Qowiy, yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat untuk mempertahankan benteng kami. Mereka yang lemah dibelakang kami mesti diberi masa dan ruang untuk melarikan diri.

“Hoi, turun! Jangan jadi bacul!”, bentak beberapa orang di kalangan kami yang tidak puas hati dengan beberapa orang lelaki yang awal – awal lagi sudah lari memanjat bukit di sebelah kami dan hanya melihat – lihat keadaan kami. Terdapat juga beberapa orang muslimin yang berebut – rebut dengan muslimat untuk melarikan diri. Saya biarkan sahaja, saya tidak berminat memaksa mereka bersama kami. Bagi saya, Allah tidak memilih mereka untuk bersama kami.

Posisi pertahanan kami berjaya meredakan keadaan panik buat beberapa ketika. Pihak Polis mula berundur ke arah bangunan hospital. Merancang strategi untuk menumpaskan kami barangkali. Saya tidak peduli, saya serahkan nasib saya pada Allah sepenuhnya, tidak sedikit lagi gentar pada apa yang bakal berlaku. “Ya Dharr, Ya Nafiq”, saya menyeru nama – nama Allah berkali – kali bagi meneguhkan hati saya, tiada siapa yang dapat memberi mudarat dan manfaat kepada saya kecuali Allah. Sahabat – sahabat yang lain ada yang memberi kata – kata semangat, ada yang memimpin bacaan doa dan qunut nazilah. Kemudian, ada yang meminta belas ihsan Polis untuk melepaskan kami bersurai dengan aman.

Seorang sahabat memimpin bacaan doa sewaktu benteng manusia sudah dibentuk.

(kredit gambar: Reformis Jalanan)

Di hadapan kami, pasukan Polis mula berbaris menghadap kami, sekitar dua atau tiga barisan. Di hadapan mereka, terdapat seorang ketua yang memberi taklimat ringkas kepada mereka. Dia kemudian mengangkat tangan, mengira, “satu, dua, tiga!”.

Pasukan polis tadi terus menyerbu ke arah kami. “Allah!”, getus saya. Para sahabat barisan pertama mula mengukuhkan langkah masing – masing dan bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Diasak, dipukul, ditumbuk, ditendang dan pelbagai – bagai teknik kasar digunakan untuk meleraikan benteng kami. Sedikit pun kami tidak membalas. Ya, saya faham, mereka diberi hak oleh undang – undang untuk menggunakan kekasaran apabila pihak yang mahu ditangkap tidak memberi kerjasama dengan baik. Membuat benteng begitu pastinya boleh dianggap sebagai tidak memberi kerjasama yang baik. Pedulikan. Saya yakin, sahabat – sahabat yang sanggup bertahan di barisan hadapan sedar, mereka tidak lagi memikirkan agenda dan kepentingan masing – masing. Kami menjadi wakil Allah al-Hafiz al-Muhaimin untuk memelihara dan melindungi mereka yang lemah dibelakang kami. Supaya mereka mempunyai masa yang cukup untuk lari.

Saya lihat orang disebelah kanan dan kiri saya dipukul, ditendang perut. Boot berat mereka dialas oleh tubuh badan kami. Orang pertama tumbang adalah sahabat yang memimpin bacaan doa tadi. Kemudian beberapa orang lagi menjadi mangsa. Saya terus bertahan sambil hati saya tidak putus – putus menyeru – nyeru namaNya. Polis dihadapan saya tidak menyentuh saya, sebaliknya memukul orang di sebelah kanan saya. Barisan kami semakin ke belakang, sedar – sedar sahaja dibelakang kami adalah tanah yang sedikit tinggi menjadi tempat untuk kami bersandar, menampung kami daripada terlentang.

Diasak, dipukul, ditumbuk, ditendang dan pelbagai – bagai teknik kasar digunakan untuk meleraikan benteng kami.

(kredit gambar: Reformis Jalanan)

Semakin lama, seorang demi seorang daripada kami ditangkap anggota polis. Sesedar saya cuma tinggal tiga orang sahaja lagi. Saya, sahabat di sebelah kanan saya, dan seorang lagi di belakang saya yang memeluk saya daripada belakang. Kemudian anggota polis dihadapan saya melaga – lagakan lututnya ke betis orang sebelah saya, saya bertindak dengan mengangkatkan kaki kanan saya menghalakan lutut saya bertembung dengan lututnya. Aneh, saya tidak rasa sakit, anggota polis itu kemudian berhenti setelah lututnya berlaga dengan saya. Saya kemudian memandang mukanya dan berkata, “sudahlah, berhentilah”. Dia senyap.

Kemudian dia memegang tangan saya dan cuba untuk meleraikan silangan tangan saya dan sahabat di sebelah kanan saya. “Sudahla tu, dah habis dah”, pujuknya lembut. Saya lihat tangan sahabat di sebelah kanan itu sedang diikat dengan cable tie. Akhirnya, saya mengalah dan melepaskannya. Saya ditinggalkan keseorangan di situ dalam keadaan terpinga – pinga. Tiada anggota Polis yang menahan saya. Di belakang saya lengang. Saya tak pasti apa yang terjadi kepada mereka yang cuba saya lindungi tadi. Saya terus lari mengikuti jalan denai yang basah dan berlumpur. Beberapa kali terjatuh. Tidak putus – putus saya berdoa semoga Allah al-Batin melindungi saya daripada mata – mata pihak Polis.

(Bersambung…)

2 thoughts on “BERSIH 2.0: TIADA SIAPA YANG LAYAK MEMUDARATKAN KECUALI ALLAH (Bahagian 1)

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s