BERSIH 2.0: TIADA SIAPA YANG LAYAK MEMUDARATKAN KECUALI ALLAH (Bahagian 2)

Ditahan

Dalam keadaan masih lemah setelah diasak oleh pihak Polis, saya melarikan diri di celahan jalan denai itu. Masih terdapat kebimbangan dalam hati saya jika ada polis yang masih mengejar saya dari arah belakang. Sebaik sahaja melepasi bangunan rumah pangsa bersebelahan Hospital Tung Shin, saya ternampak kawanan Polis di bawah bukit menjerit – jerit dan menangkap peserta – peserta perhimpunan BERSIH 2.0 yang ada di sekitar itu.

“Ya Allah, Ya Batin, sembunyikan aku daripada mata – mata mereka”, ucap saya berkali – kali. Saya pun berbaring di tempat yang agak tersembunyi di atas kawasan bukit tersebut. “Ya Batin, ya Batin”, ucap saya berkali – kali. Masih merasa takut ditangkap Polis. Satu perasaan yang Allah mahu saya belajar ketepikan.

“Hei, buat apa tu, turun sini!”, arah seorang Polis Melayu berkulit gelap. Allah menampakkan saya pada dia.

“Allah…”, hati saya berbunyi. “Aku redha jika ini yang diagendakanMu untuk ku lalui”, saya berbicara kepadaNya, membetulkan balik keadaan hati. Segera saya teringat luahan hati saya kepada mak dan abah saya.

“Allah lebih menyayangi dan mengasihi Qayyum. Dia itu ar-Rahman dan ar-Rahim. Dialah sumber kepada kasih sayang. Kalau mak dan bah rasa sayang pada Qayyum, Allah jauh lebih sayang Qayyum berbanding pada mak dan bah. Dan kalau Allah menakdirkan sesuatu yang buruk berlaku dalam dunia ini pada Qayyum, tak bermaksud Allah sudah kurang sayangnya pada Qayyum. Bahkan, sebab sayanglah, Allah menakdirkan sesuatu yang macam itu. Ada la rahsia – rahsianya kalau berlaku macam tu”.

Saya mampu tersenyum dan tenang kemudiannya. “Baiklah, sekejap”, jawab saya pada anggota Polis tersebut. Entah kenapa saya merasakan suasana yang cukup indah dalam hati, macam orang bercinta hendak menemui kekasihnya, bahkan lebih lagi. Saya menyerahkan diri dengan selesa. Anggota Polis tersebut tidak menyentuh saya, cuma berjalan mengiringi saya.

Kemudian seorang lagi anggota Polis mendekati kami. Dia membawa seorang lagi sahabat yang ditahan. “Bang”, kata sahabat itu kepada saya sambil tersenyum menghulurkan tangan kepada saya. Saya menyambut  salamnya dan tersenyum.

“Hei, jauh sikit!”, bentak anggota Polis yang bersama dengan sahabat tadi sambil menarik bahunya dengan kasar. Kami kemudian dimasukkan dalam van kecil.

Dibawa Pergi

Perubahan suhu yang mendadak di dalam van tersebut tiba – tiba membuatkan kulit saya terasa bahang yang amat. Bahagian tangan dan celah pelipat kaki terasa pedih yang amat. Bagaikan disapu cili kering! Saya rasa ini mungkin kesan tear gas residue yang terlekat pada badan saya yang mungkin bertindak balas dengan peluh yang menyebabkan bahan aktifnya memberi kesan membahang pada kulit saya. Dalam menahan sakit, saya menyeru – nyeru nama Allah as-Salam di dalam hati, memohon kesejahteraan daripada rasa bahang itu.

Sempat saya berkenalan dengan sahabat yang sama – sama ditahan dengan saya. Rashid namanya. Dia kelihatan tenang dan ceria. Berbanding dengan saya, dia lebih banyak memberi respon kepada pihak Polis, saya lebih selesa diam dan cuma menjawab apa yang saya rasa perlu sahaja.

Saya kemudian memaklumkan pada beberapa orang sahabat rapat mengenai penahanan saya melalui SMS. Anak ummi angkat saya juga saya hubungi untuk mengetahui keadaannya. Alhamdulillah, keadaan dia selamat.

Waktu itu, baru saya perasan, jam di telefon bimbit sudah menunjukkan jam 4.10 petang. Saya beristighfar. Saya sebenarnya masih belum solat Zuhur. Cepat – cepat saya angkat takbir dan solat dalam keadaan seadanya di dalam van tersebut yang masih dalam perjalanan yang entah ke mana. Sememangnya tadi sejak pukul 11 pagi, saya berada dalam keadaan yang sentiasa didesak dengan tear gas dan water canon sepenuhnya sehingga tiada sedikit ruang dan peluang untuk mengerjakan solat Zuhur. Mungkin kalau saya tidak ditahan, saya terlupa akan hal ini dan masih mencari – cari ruang untuk menyelamatkan diri. Sayang dan kasihnya Allah ar-Rahman ar-Rahim kepada saya, Dia tidak mahu saya dilalaikan dalam keadaan yang hiruk pikuk tadi. Ya, benar seperti yang saya luahkan sebelum ini, walaupun saya ditahan, bukan bermakna kurangnya kasih sayang Dia pada saya.

Alhamdulillah, selesai solat, saya tidak lagi merasa kulit saya membahang.

PULAPOL Jalan Semarak

Saya memerhatikan keadaan di luar van dan saya perasan kami dibawa ke PULAPOL Jalan Semarak. Cepat – cepat saya mesejkan kepada teman – teman saya di mana saya dibawa dan memberitahu Rashid untuk melakukan perkara yang sama. Sebenarnya, awal – awal lagi saya sudah tanyakan seorang anggota Polis berpakaian preman di dalam van itu di mana kami akan dibawa, tetapi dia hanya menyatakan dia tidak tahu. Bahkan sewaktu saya tanyakan namanya pun, dia enggan memberikan jawapan, sebaliknya menanyakan kembali tujuan saya mahukan namanya. Saya katakan padanya, lebih sopan kalau saya memanggilnya dengan nama dan pangkat, jawabnya, “takpelah, panggil encik sahaja”.

Di PULAPOL, kami diturunkan berdekatan dewan. Di hadapan dewan itu saya lihat terdapat beberapa biji kanopi dipasang di sepanjang kiri dan kanan jalan. Pihak PDRM menjadikan kanopi sebelah kiri sebagai tempat mereka berehat – rehat. Terdapat meja – meja bulat di bawah kanopi – kanopi tersebut yang dijadikan tempat beberapa anggota Polis menjamu nasi bungkus. Di bawah kanopi sebelah kanan pula kelihatan sekitar 100 lebih tahanan sedang berteduh, sebahagian mereka berkopiah. Mereka memandang kami dengan riak wajah yang penuh tanda tanya.

Rashid dan saya diiringi ke dalam dewan untuk di proses. Saya menyeru – nyeru di dalam hati, “Allah, aku redha ya Allah atas segala yang Kau tentukan padaku. Engkaulah al-Baari, Yang Maha Merancang, Yang Maha Mengagendakan, aku serahkan sepenuhnya kepadaMu, la hawla wala quwwata ila billahil ‘aliyyil ‘adzhim. Keadaan dalam dewan agak menenangkan. Anggota – anggota polis yang bertugas tidak melayan kami dengan sebarang bentuk provokasi.

Pegawai yang bertanggungjawab menahan saya adalah ASP Ismuni daripada Bahagian Narkotik. Saya dapatkan maklumat tersebut daripada mencuri – curi dengar perbualan mereka. Beliau dibantu oleh Koperal Asri, anggota Polis yang bertanggungjawab terhadap pengambilan barang – barang peribadi saya. Telefon bimbit, dompet, kunci motor dan pelbagai barangan berharga saya diserahkan bawah jagaannya. Barang – barang peribadi Rashid pula diuruskan oleh ASP Ismuni sendiri.

Selepas itu, butiran peribadi saya diambil oleh Sarjan Azahar. Di meja sebelah, ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin sedang berbual – bual panjang dengan seorang anggota Polis yang saya rasa ditugaskan untuk mengambil butiran dirinya. Sebenarnya, sejak awal saya masuk ke dewan PULAPOL, sehinggalah butiran saya selesai diambil, Khairy masih di situ, berbual – bual. Apa yang dibualkan, saya pun tidak pasti.

Bakal Direman di Lokap Jinjang

Setelah saya dan Rashid selesai diproses sekitar jam 6 petang, ASP Ismuni berbincang – bincang dengan Koperal Asri. Mereka kemudian mengklasifikasikan kes kami sebagai tangkapan dan kami akan di bawa ke Jinjang untuk direman di dalam lokap. Saya terus memperingatkan diri untuk redha pada pekerjaan Allah. Apa yang mereka putuskan adalah dibawah lingkungan kekuasaan Allah, dan tidak sesekali Allah akan menzalimi saya, biarpun saya diputuskan untuk masuk ke ISA sekalipun, rahmat Allah tetap luas dan nikmat kasih sayangNya akan tetap sampai kepada saya. Dan tiada mudharat akan menjengah saya tanpa izin Allah biarpun saya ditahan di dalam lokap.

“Encik, kalau macam tu, boleh izinkan saya solat Asar dahulu. Saya masih belum solat lagi”, pinta saya kepada Koperal Asri semasa kami berjalan keluar dari dewan. Dia memandang saya, daripada anak matanya, saya tahu, dia tidak suka dilecehkan dengan hal – hal macam ini, dia mahu selesaikan tugasnya secepat mungkin, tetapi permintaan saya menyebabkan dia serba salah.

“Nanti sekejap ya”, jawabnya. Dia memandang ke arah dewan. Beberapa orang pegawai Polis memanggilnya dan ASP Ismuni. Kami semua diminta masuk semula ke dalam dewan.

Dibuang Kes

Di dalam dewan, dua orang pegawai Polis wanita yang berada di situ menyatakan kes kami tidak kuat untuk direman kerana tiada barang kes sebagai bukti yang kukuh untuk dakwaan terlibat dalam perhimpunan. Setelah beberapa siri penghujahan, akhirnya mereka sepakat untuk tidak memanjangkan kes kami berdua. “Agenda Allah al-Baari”, bisik hati saya tersenyum.

Kami kemudian ditinggalkan di PULAPOL di bawah seliaan pegawai PDRM di sini sebelum dibebaskan bersama – sama tahanan lain sekitar jam 7.25 malam setelah barang – barang kami dipulangkan.

Sepanjang saya di PULAPOL, tiadalah yang saya dapat rasa melainkan melihat bagaimana Allah mengaturkan segala sesuatu. Walaupun ditahan, tiada sebarang kemudaratan yang dapat ditimpakan ke atas saya, tanpa izin Allah SWT. Walaupun sudah diputuskan untuk direman, Allah tetap penguasa terakhir yang menentukan nasib setiap hambaNya. Tiada mudharat dan tiada manfaat yang dapat diberikan makhluk, tetapi hanya Dialah ad-Dharr, Dialah an-Nafiq!

TIADA SIAPA YANG LAYAK MEMUDARATKAN KECUALI ALLAH

4 thoughts on “BERSIH 2.0: TIADA SIAPA YANG LAYAK MEMUDARATKAN KECUALI ALLAH (Bahagian 2)

  1. pengalaman anda sesuatu yang berharga… namun cerita awak amat memualkan saya . Bukan simpati malah saya anggap awak sngt bodoh kerana kufur nikmat yang diberi oleh Allah. Banyak kesilapan awak mentafsir bahwa Bumi Allah ini sngt luas sedangkan awak sempit fikiran.

    1. Assalamualaikum wrt.

      Terima kasih, kerana sudi membaca Bob.

      Maaf Bob, simpati tidak pernah menjadi tujuan penulisan ini, saya cuma mahu memperkenalkan nama – namaNya melalui pengalaman yang saya lalui.

      Memang saya sangat bodoh, sesuai dengan diri saya seorang hamba yang hina di sisiNya. Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui, hanyalah Dia, Allah, al-Hakim, Al-Alim. Semoga Dia, ar-Rashid, Yang Maha Mebimbing memberi kita bimbingan untuk lebih mendekatiNya. InsyaAllah.

  2. BERSIH benar-benar menguatkan pergantungan kita kepada Allah. Yang menakjubkan buat ana ialah setiap kami berkumpul selepas diserang dengan gas pemedih mata, ana akan berjumpa kembali kumpulan ana yang tadinya lari lintang pukang membawa diri masing-masing. Setiap detik ana merasa dalam jagaan Allah sekalipun Polis memburu bagai singa kelaparan. Juga berjumpa dengan sahabat2 seperjuangan yang lain dicelahan ribuan manusia. Kebarangkalian untuk berjumpa sangat kecil tetapi Allah jua yang mengatur dan menautkan hati kami. Ketakutan memang ada tapi ana raikan perasaan itu kerana ana yakin, akan datang, perjuangan akan menjadi semakin perit & payah. Ini tarbiyah sebagai persediaan kita. Catatan anda sangat menyejukkan hati.

    1. Ya, Dia juga dikenali dengan nama al-Jami’, Yang Maha Penghimpun. Sedangkan di mahsyar kelak Dia mampu menghimpunkan seluruh makhluk sejak zaman Nabi Adam as sehinggalah bayi terakhir lahir di dunia ini, ini kan pula saudari dan kawan – kawan saudari.

      Pasti tiada yang dapat memisahkan saudari dengan kawan – kawan saudari jika Dia mahu menghimpunkan kamu semua.

      Seperti mana di BERSIH 2.0, bila Dia, al-Jami’ berkehendakkan ratusan ribu rakyat berhimpun menentang sistem toghut, biarpun sekatan dan ugutan dibuat, tiada satu pun yang dapat memberi kesan terhadap kehendakNya.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s