Ainallah? Ainallah?

Di mana Allah? Di mana Allah?

Minit 11:43 filem Sang Pencerah yang saya tayangkan pada pelajar tingkatan 4 memaparkan babak Ahmad Darwis yang masih menerima tarbiyyah di Kota Makkah menyoal dirinya dengan sayu, “ainallah? Ainallah?”.

Kemudian disusuli babak gurunya memberi jawapan di dalam sesi kuliahnya.

Di segala yang ada di LANGIT dan BUMI.

Di segala yang ada di AIR,

di UDARA,

ANGIN,

TUMBUHAN,

MANUSIA…

Allah meliputi SEGALANYA.

Jawapan yang buat saya tersenyum. Ya, memang Dia ada di mana–mana, bagi yang merasai kehadiranNya.

Wujud Tidak Bertempat

Saya teringat ketegasan seorang muslimat yang dulu sama–sama menuntut di Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM Skudai. Selepas dia mula terlibat dengan pengajian kitab bersanad, suaranya mula tegas di celah–celah facebook, “Allah wujud tetapi tidak bertempat! Kalau orang kata Allah ada di mana–mana itu adalah salah!”

Ya, benar, dalam pengajian ilmu kalam, memang Allah itu tidak bertempat tetapi wujud. Wujudnya tidak memerlukan kepada ruang yang ada di dunia ini supaya boleh dimuatkanNya, bahkan, Dialah yang menciptakan ruang yang ada di dunia ini. Sebagai manusia berakal waras dan memahami ilmu logik, saya sangat faham dan setuju dengan kenyataan ini. Cuma saya tidak pula menyalahkan sepenuhnya orang yang mengatakan Allah ada di mana–mana.

Allah Meliputi SEGALANYA

Bagi kelompok sufi, atau mereka yang mendalami mata hati, mereka ‘nampak’ Allah pada setiap satu perkara. Mereka melihat sesuatu perkara yang terjadi itu dibuat oleh Allah. Makhluk sudah tidak menjadi satu faktor lagi bagi mereka.

Melihat isteri atau suami yang disayangi, terlihat dia akan Allah Yang Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang, Allah Maha Menyintai. Melihat kedahsyatan bencana alam, segera dia terlihat Allah Yang Maha Menghukum, Allah Yang Maha Memaksa, Allah Yang Maha Menundukkan. Pandangannya tertuju sepenuhnya pada Allah. Daripada sebesar – besar perkara, hinggalah sekecil–kecil perkara.

Jadi, salahkah jika dia kata Allah ada di mana–mana? Sebab yang dia katakan bukanlah zat Allah, tetapi kekuasaan dan taklukanNyalah yang meliputi segala–galaNya. Allah meliputi segalanya.

Memahami Perbezaan Disiplin Ilmu

Ilmu kalam, atau mungkin yang lebih mudah faham kalau saya namakannya dengan Sifat 20 adalah ilmu yang bersifat mendalami hujah logik dalam membahaskan sifat Allah. Oleh itu, dalam perbahasan salah satu daripada sifatNya iaitu MUKHALAFATUHU LILHAWADIS atau ‘tidak sama dengan yang baru’, Allah tidak sama seperti kita yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang. Allah itu QIDAM, sedia ada, tanpa memerlukan kepada ruang untukNya. Ilmu ini bertujuan memelihara kesucian Allah daripada disamakan atau disyirikkan dengan sesuatu yang lain.

Manakala ilmu tasauf pula meneliti suasana dan keadaan hati. Cabang ilmu ini mengajak manusia mengembalikan semuanya kepada Allah. Menyeru kepada memfanakan makhluk, iaitu menghancurkan kewujudan makhluk dalam pandangan mata hati. Memahami hakikat semua perkara yang terjadi adalah pekerjaan Allah SWT. Bila lihat pokok hijau, yang terlihat adalah hakikat Allah menghidupkan pokok untuk beri udara beroksigen kepada kita. Apabila nampak orang berilmu, yang ternampak adalah hakikatnya ilmu itu daripada Allah, dan Dialah yang mengaturkan supaya orang ilmu itu disampaikan kepada kita melalui orang tersebut. Ilmu ini juga bertujuan untuk memelihara kesucian Allah, bahkan di peringkat yang lebih tinggi dan mendalam. Ilmu ini bertujuan membuang rasa hebat dan kagum kepada makhluk dan memulangkan segala kehebatan dan kekaguman hanya kepada Allah semata–mata.

Ainallah?

Kedua–dua cabang ilmu tersebut itu sebenarnya saling melengkapi jika kita sanggup mendalami kedua–duanya. Tetapi apabila kita bersikap taksub, bersikap keras tanpa mahu membuka ruang bicara, hasilnya kita mula menyalahkan kelompok lain tanpa mendapat kefahaman yang sebenar.

Mungkin, sebelum kita menadah kitab, atau mengikuti kursus–kursus pengajian agama, atau bidang apa sekalipun, tanyalah diri kita dahulu, “ainallah?”. Di manakah Allah dalam niat kita menuntut ilmu? Adakah Allah menjadi faktor utama, ataupun nafsu kita yang mahukan kebanggaan dan kepetahan berhujah mengalahkan orang lain?

Ainallah?

Di segala yang ada di LANGIT dan BUMI.

Di segala yang ada di AIR,

di UDARA,

ANGIN,

TUMBUHAN,

MANUSIA…

Allah meliputi SEGALANYA.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s