RAWATAN: SUNATULLAH YANG MESTI DIPATUHI

Perbelanjaan terkumpul dalam membeli ubat – ubatan bagi penyakit – penyakit yang saya alami sekarang melebihi RM 50.00.  Amaun yang agak besar dan dapat dielakkan jika saya memainkan peranan sebagai seorang hamba!

Sesungguhnya penyakit itu daripada Allah SWT, dan kesembuhan itu juga datangnya daripada Allah SWT. Dialah ad-Dharru dan an-Nafiq, Yang Mendatangkan Kecelakaan dan Yang Mendatangkan Kebaikan. Kita sebagai hamba berserah sepenuhnya kepada kehendak Dia. Dan Dia perintahkan kita untuk berubat atau mencari rawatan bagi penyakit yang Dia datangkan sebagai syarat dan aturanNya untuk menyembuhkan kita.

Kronologi

1 Ramadhan, saya sudah dijangkiti selsema, berkemungkinan sebab saya masih membiasakan diri dengan bilik berhawa dingin di tempat tinggal baru. Tetapi saya tidak mendapatkan apa – apa rawatan sebaliknya hanya mengharapkan saya akan pulih apabila selesa dengan suasana persekitaran.

Keadaan bertambah buruk apabila saya pulang ke Kuantan sebentar pada 3 Ramadhan, memandu seawal jam 8 pagi dan tiba pada jam sebelum 12 tengahari kemudian mengambil bas ke Kuala Lumpur pada jam 12.30 tengah hari. Sepanjang pemanduan saya sudah rasa tidak sedap kepala, beberapa kali berlaku kecuaian, termasuklah memandu kereta dalam keadaan hos pam minyak masih bersambung dengan tangki minyak kereta. Akibatnya hos putus dan saya kehilangan RM230.00 kerana membayar ganti rugi kepada pihak stesen minyak Petronas. Apabila saya tiba semula di Bandar Tun Razak pada petangnya, saya mula diserang migain yang teruk, TERUK SAMPAI TAK BOLEH BANGUN. Hingga terpaksa minta seorang teman untuk belikan ‘painkiller pills’. Selepas maghrib saya terus tidak sedarkan diri dan hanya terjaga seawal jam 4.30 pagi untuk solat Isyak dan bersahur.

Keadaan selepas itu agak baik walaupun saya masih rasa diserang migrain ringan. Cuma bibir saya mula merekah dengan agak teruk dan saya mula melihat tanda – tanda serangan ulser dalam masa yang sama, selsema saya masih teruk. Pada waktu itu saya fikir keadaan saya tidak akan menjadi lebih teruk kerana saya dalam proses pemulihan. Sampailah akhirnya pada 6 Ramadhan, ulser saya semakin membesar dan tekak mula gatal dan saya mula dijangkiti serangan batuk. Malam  itu saya cuma bertarwikh di surau sehingga dua rakaat sahaja dan segera ke klinik terdekat untuk membeli ubat ulser dan selsema.

Pagi ini saya mula tidak daya terutamanya terasa kepeningan yang amat sangat disamping rangkaian selsema-batuk-ulser yang menambah rencah dalam menghadapi dugaan ini. Saya terpaksa minta pertolongan teman saya sekali lagi untuk dapatkan ubat batuk dan sakit tekak kerana saya tidak mampu bergerak sangat. Apabila saya melihat bibir saya sendiri pada petang tadi, saya sendiri pun terasa jijik dengan rekahan dan kepingan – kepingan yang timbul, sehingga berlaku pendarahan pada bibir. Saya sendiri pelik daripada mana datangnya masalah ulser dan rekahan bibir ini, adakah saya mengalami masalah kehilangan air yang teruk?

Juadah berbuka lantaran melanggar aturan sunatullah: DAPATKAN RAWATAN AWAL SEBELUM PENYAKIT MELARAT.
Juadah berbuka lantaran melanggar aturan sunatullah: DAPATKAN RAWATAN AWAL SEBELUM PENYAKIT MELARAT.

Akibat Tidak Mematuhi SUNATULLAH

Setelah diteliti, ya, selsema mengakibatkan kehilangan air yang banyak melalui hingus yang sentiasa keluar. Di situ punca saya kehilangan air menyebabkan saya mengalami migrain-rekahan bibir-ulser. Dan serangan – serangan ini pasti menyebabkan sistem pertahanan badan saya di peringkat yang lemah sehingga saya dijangkiti dengan serangan batuk. Puncanya asalnya hanyalah serangan selsema yang saya biarkan melarat.

Sunatullah bagi orang yang sakit adalah mencari rawatannya. Tetapi saya yang jarang sakit ini terasa ego dengan kemampuan diri sendiri bertahan pada penyakit mengakibatkan kerugian yang besar, masa, tenaga dan wang.

Saya kehilangan kemampuan mengoptimumkan masa kerja kerana terganggu akibat migrain yang menghalang tumpuan kerja seterusnya produktiviti harian.

Kemudian saya menyebabkan orang lain terpaksa mengorbankan tenaganya bersusah payah untuk mendapatkan ubat – ubatan kepada saya kerana saya sendiri yang menangguhkan sebarang pembelian ubat – ubatan kononnya kerana saya mampu tahan. Tetapi akibatnya saya menyusahkan orang lain!

Seterusnya, saya terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar kerana melewatkan usaha merawat penyakit saya. Sedangkan kalau saya merawat serangan selsema seawal 1 Ramadhan, mungkin tidak banyak duit yang perlu dibeli untuk merawat penyakit – penyakit yang ada sekarang.

Sedangkan Rasulullah SAW sudahpun berpesan:

“Sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya akan penawarnya, maka hendaklah kamu semua berubat.”

Hadith di atas direkodkan dalam Sunan Nasai’e dan Sunan Ibnu Majah, dua kitab daripada Kutub Sittah (6 kitab hadith utama: Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Jami’ Tirmizi, Sunan Nasai’e dan Sunan Ibn Majah).

Jelas dalam hadith di atas terdapat 3 komponen utama yang mesti diambil pengajaran.

  1. Kita hendaklah yakin penyakit itu datang daripadaNya.
  2. Kita hendaklah yakin kesembuhan bagi setiap penyakit itu juga hanya pada Dia.
  3. Kia hendaklah ikhtiarkan rawatan dan perubatan!

Hanya berpegang pada dua komponen pertama di atas tidak cukup sebagai bukti pengabdian kepadaNya. Berusaha mendapatkan rawatan yang betul juga adalah satu daripada suruhanNya yang wajib dipatuhi. Bersikap ala kadar dan memandang enteng terhadap penyakit kecil bermaksud pengabdian kita kepada Allah adalah tidak sempurna. Allah mahukan kita jadi hamba yang bersifat progresif sehingga Dia redha, bukan bermalasan dan bertangguh – tangguh dengan alasan tawakal kepadaNya!

Kegagalan mematuhi sunatullah ini menyebabkan saya dihidangkan sunatullah lain, iaitu penyakit kecil yang dibiarkan melarat akan membawa penyakit yang lebih besar dan menyusahkan!

*Tadi sewaktu datang sebentar ke sekolah, pelajar saya bertanya, “kenapa bibir ustaz luka, kena tumbuk ke?” Ya, bibir saya seteruk itu!

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s