MOGA MEREKA MENJADI PEMBELA KAMI KELAK

“Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.”

Hadith di atas adalah sahih dan diriwayatkan dalam kitab Sahih al-Bukhari. Ringkas ceritanya, perempuan ahli syurga ini merupakan seorang pelacur yang sedang melarikan diri daripada sarang pelacurannya kerana mahu meninggalkan kehidupannya yang dibelenggu maksiat. Dalam perjalanan, beliau ternampak seekor anjing yang hampir mati kehausan mengelilingi sebuah perigi. Beliau kemudian masuk ke dalam perigi tersebut dan mencedok air di dalamnya dengan menggunakan kasut beliau untuk diberikan air minum tadi kepada si anjing. Atas sifat kasih beliau terhadap anjing tadi, Allah kasih kepadanya, Allah redha terhadapnya, mengampunkan dosa – dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga.

Mengasihi Dibalas Dikasihi

“Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi!”

Hadith di atas adalah sahih dan direkodkan dalam Sahih al-Bukhari. Pada waktu itu, seorang sahabat baginda, al-Aqra’ ibn Habis al-Tamim melihat Rasulullah mencium Hassan bin Ali, cucu baginda. al-Aqra’ berasa pelik dan menyatakan kepada Rasulullah bahawa beliau mempunyai 10 orang anak dan tidak pernah berbuat begitu kepada anak – anaknya. Rasulullah merenung beliau dan berkata seperti yang dimaksudkan di atas.

“Yang malang itu bukanlah tidak dikasihi, tetapi gagal mengasihi”, kata Ustaz Hasrizal dalam menerangkan hadith di atas.

Benar, kerana sifirnya, mengasihi akan dibalas dengan dikasihi. Mengasihi makhluk dengan cara yang betul, akan dikasihi Allah. Mengasihi kucing, bersusah payah memberi makanan yang cukup kepada mereka, berusaha menghantar ke klinik haiwan apabila mereka sakit, mengebumikan mereka dengan baik ketika mereka mati, mudah – mudahan menjadikan ibu bapa dan abang saya sebagai golongan yang dikasihi Allah.

Kucing dan Keluarga Saya

Semasa saya kecil, ada beberapa kali saya cuba membela kucing, tapi tidak pernah bertahan lama, sebabnya, mak saya tak suka dengan kucing. Pengurusan najisnya memang agak melecehkan.

Namun, semasa di UTM, saya mula membela seekor kucing yang saya ambil di Mersing. Chip-chip namanya, sempena nama program di Mersing, iaitu Chemical Intelligent Camp (CHIP). Semasa saya balik ke Kuantan sewaktu cuti semester, saya bawa balik Chip-chip ke Kuantan. Saya kemudiannya meninggalkannya di sana ketika balik ke UTM. Cuma Chip-chip tak lama, dia hilang tanpa kesan.

Acim Kecil
Acim Kecil

Tidak lama kemudian saya datang membawa balik Acim, anak kucing yang saya jumpa di UTM. Pada masa itu, mak saya sudah mula membela kucing lain yang dinamakan Betta. Mungkin kerana mak saya sudah terkesan dengan kehilangan Chip-chip.

Betta Kecil
Betta Kecil

Acim semasa mudanya hidup ibarat pelajar UTM, tinggal di kampus pada masa minggu – minngu belajar, berkongsi makan makanan kafeteria dengan saya, dan balik ke Kuantan apabila cuti semester.

Betta pula kemudiannya menghilangkan diri. Kemudian muncul lagi beberapa ekor kucing dalam keluarga saya seperti Comel, Cici, Bobo, Popeye (Papai), dan terbarunya Comot.

Acim cium Popeye
Acim cium Popeye

Acim sekarang tinggal di Kuantan dan membesar menjadi kucing yang sihat. Acim disukai semua kerana dia sangat baik, baik kepada manusia dan kucing lain.  Anak saudara tunggal saya yang umurnya baru beberapa tahun, takut dengan orang lain apabila datang ke rumah saya, tetapi sangat sukakan Acim! Setiap kali waktu pulang selepas menziarahi rumah saya, dia akan menangis kerana mahukan Acim pulang bersamanya!

Comel kecil
Comel kecil

Comel adalah kucing yang keluarga saya bela semasa saya di UTM. Usianya muda sedikit pada Acim. Berbeza dengan Acim, Comel seekor kucing yang agak kasar dan tidak mudah menerima kehadiran kucing – kucing baru. Sangat berlawanan dengan Acim. Acim akan mencium kucing – kucing yang baru, Comel akan mendengus dan mengerang apabila ternampak mereka. Bukan mudah untuk Comel menerima Cici, Bobo, dan Popeye dahulu. Acim dan Comel memang berlawanan! Tetapi kedua – duanya rapat dengan saya.

Comel diacah Cici
Comel diacah Cici

Cici, Bobo dan Popeye adalah generasi yang lebih muda daripada Acim dan Comel. Kelima – lima mereka hidup ibarat adik beradik di rumah saya, bermain dengan riang. Cici saya temui sebagai anak kucing yang riang sewaktu saya menemani mak saya ke pasar basah di Cenderawasih. Ketika itu kami sedang bersarapan di sebuah kedai berdekatan pasar. Bobo pula saya jumpa di surau al-Ikhwan, waktu itu dia sebagai anak kucing, bermain – main dengan alas meja di mihrab sedang kami solat Isyak pada malam berhujan lebat. Popeye pula saya ambil sewaktu saya bersarapan bersama – sama ahli jemaah Surau al-Ikhwan di warung Kamarul selepas kuliah Subuh. Anak kucing itu bermain – main di celah kaki – kaki kami.

Cici kecil
Cici kecil
Bobo kecil
Bobo kecil
Cici kecil dan Popeye kecil
Cici kecil dan Popeye kecil

Comot adalah anak kucing betina yang datang ke rumah sewa saya berdekatan Surau Ikhwan. Malam itu hujan lebat dan dia mengiau di depan pintu. Kasihankan dia, saya biarkan dia masuk ke dalam rumah, cuma di situ tiada makanan untuk diberi, yang ada cumalah air masak. Oleh kerana rumah sewa saya tidak sesuai untuk membela kucing, saya hantarkan ke rumah keluarga saya yang tidak jauh. Kini Comot sudah sedikit matang dan besar, malah sudah melahirkan beberapa ekor anak kucing yang comel!

Comot kecil kacau Cici
Comot kecil kacau Cici
Comot dan anak - anak
Comot dan anak - anak

Namun, Popeye tidak sempat bertemu dengan Comot. Popeye pergi awal kerana keracunan yang tidak dikenal pasti puncanya. Cici dan Bobo juga telah pergi selamanya beberapa bulan lalu, Bobo sakit, manakala Cici dilanggar kereta. Pastinya selepas ini, Acim dan Comel yang banyak kenangan bersama saya dan keluarga akan pergi juga. Begitu juga Comot dan anak – anaknya.

Moga Mereka Menjadi Pembela Kami Kelak

Cuma, saya sangat mengharapkan, persinggahan sebentar mereka dalam kehidupan kami sekeluarga mendatangkan rahmat dan redhaNya terhadap kami sekeluarga. Saya mengharapkan, kebaikan dan kasih sayang ibu bapa, abang saya dan saya terhadap mereka menjadikan Allah mengasihi kami, redha pada hidup kami dan mengampunkan segala kesalahan kami. Mudah – mudahan mereka akan menjadi jurucakap dan membela kami di mahkamah Allah Yang Maha Adil kelak.

Semoga Allah menerima semua amalan kami!

Cici dewasa
Cici dewasa
Bobo dewasa
Bobo dewasa

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s