MENENTANG KETUANAN KEHENDAK DIRI

“Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan (yang diutamakan dan dipatuhinya), lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf?”

[al-Jaatsiyah 45: 23]

Perjuangan mentauhidkan Allah tidak pernah bermusim. Ianya peperangan yang akan sentiasa berlangsung dalam diri kita. Selagi kita masih bernafas.

Menang atau kalah dalam perjuangan ini adalah penentu kepada tingkah laku fizikal kita dan seterusnya nasib kita di akhirat kelak.

Kita boleh menang dan boleh kalah dalam pelbagai situasi dan suasana. Terkadang hakikatnya kita menang biarpun zahirnya kita kalah. Kadangkala hakikatnya kita kalah walaupun nampak macam menang.

Semuanya bergantung pada kedudukan Allah dan nafsu dalam pertimbangan kita pada ketika itu. Apabila kepentingan Allah menjadi dasar tindakan kita, itulah kemenangan pada masa itu, apabila kepentingan diri dan kemahuan peribadi menjadi asas kepada tindakan kita, itulah saatnya kita dikalahkan nafsu.

Sebab itu dalam wacana ulama’ tasauf, antara asas bagi mentauhidkan Allah dalam diri adalah menghapuskan rasa ke’AKU’an dalam diri. Maksudnya adalah menghilangkan rasa kepentingan dan kemahuan AKU dalam bertindak, tetapi meletakkan kepentingan dan kemahuan Dia sebagai matlamat dalam setiap perkara.

Sebagai contoh, sewaktu artikel ini ditulis, azan Isya’ berkumandang (malam ini kuliah Maghrib dibatalkan, jadi saya terus balik selepas solat Maghrib).

Waktu itu idea tengah bercambah – cambah, mood tengah baik, waktu Isya’ pun panjang, kalau sambung tulis artikel, nanti boleh pos awal – awal. Jam 9 malam hingga 12 malam pula waktu ramai orang online, mesti ramai yang akan baca nanti, berkongsi ilmu itukan satu kebaikan yang besar?

Atau nak berhenti menaip dan pergi ke surau? Solat Isya’ boleh buat sendiri di rumah, bukannya wajib berjemaah di surau pun. Lewat solat sikit pun, apalah salahnya, waktu Isya’ kan panjang. Nanti kalau pergi surau, balik nanti, entah ada atau tidak mood nak menaip. Entah bila pula nak sambung menaip bila dah berhenti.

Begitulah logik nafsu mula berhujah.

Tinggalkan solat jemaah di surau, sambung siapkan artikel, adakah ini tindakan yang mementingkan kemahuan DIA atau AKU? Di mana DIA, ALLAH dalam tindakan tinggalkan solat jemaah? Di mana pula AKU, NAFSU ketika itu?

Kalau ikut timbangan lahiriah, mungkin tidak rasa kalah, sebab kemahuan saya tercapai, dapat apa yang saya nak. Tetapi hakikatnya? Saya memilih NAFSU berbanding ALLAH, menangkah saya di sisiNya?

Kalau pergi solat jemaah di surau. Nampak seolah – olah menang menghadapi nafsu. Benar, tetapi kalahnya nafsu tidak bermaksud dia akan mengalah. Akan dicarikan cara – cara untuk lalaikan kita daripada mentauhdikan Allah dalam solat pula.

“Tengok waktu masuk solat subuh esok”, nafsu mula membisik dalam solat. Jam elektronik yang memaparkan waktu – waktu solat mula diberi perhatian, “eh, esok masuk pukul sekian – sekian”, hati membisik. Lalai! Menang juga nafsu… Walhal sedang bersolat, di dalam surau pula! Tetapi Allah masih tidak ditauhidkan. Sedangkan tengok waktu Subuh lepas solat pun boleh!

Begitulah contoh babak – babak peperangan antara IMAN dan KUFUR dalam diri setiap manusia.

Kehendak diri yang mengatasi kedudukan Allah untuk sentiasa dipatuhi dan diikuti pasti akan menyesatkan diri kita. Sesat yang akan mengakibatkan kerosakan terhadap diri kita dan kadangkala orang lain apabila tindakan kita itu melibatkan mereka.

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya.”

(al-Mukminun:71)

Bahkan, seperti yang dinyatakan dalam surah al-Jaatsiyah ayat 23,  kesesatan tersebut tidak terkecuali kepada golongan berilmu. Atas bidang, pangkat dan jenama apa pun. Professor, menteri, agamawan… Semuanya mampu disesat dan dikalahkan oleh nafsu. Ilmu yang pada matlamat asalnya menjadi neraca dan panduan untuk memilih tindakan yang betul dan jalan yang benar menjadi alat untuk membela diri dan melawan kebenaran pula. Terhapus sama sekali hikmah asal bidang ilmu – ilmu tersebut.

Artikel ini mungkin memberi gambaran bahawa kekuatan dan keazaman nafsu untuk menguasai diri kita ini terlalu hebat dan sukar mahu dikalahkan. Mungkin benar ianya susah mahu dikalahkan, tetapi bukan mustahil. Tiada yang mustahil dengan kehendak Allah itu sendiri.

Dialah yang mampu melindungi dan membimbing diri kita daripada kejahatan nafsu, bahkan hanya Dialah yang mampu. Kita? Kita yang lemah takkan mampu menghadapi kehendak diri kita sendiri tanpa bimbinganNya.

Bukankah itu yang diingatkan Allah di akhir ayat 23 surah al-Jaatsiyah? Ini juga adalah TAUHID. MenTAUHIDkan Dia semata – mata yang mampu membimbing kita kepadaNya. Atas pilihanNya, atas kehendakNya. Bukan atas ilmu kita, bukan juga bergantung pada hebatnya kita beramal soleh. Maka bermohon dan berserahlah sepenuhnya kepada Dia.

Semoga kita dilindungiNya daripada kejahatan diri kita sendiri wahai teman – teman!

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s