SESETIA FARHANA

Farhana adalah anak bongsu abang Hadi, iaitu antara sahabat rapat saya di Taman LKNP. Beliau juga merupakan ketua cawangan PAS Taman LKNP pada masa ini.

Oh, walaupun saya membahasakan abang Hadi dengan ‘abang’, tetapi sebenarnya anak sulungnya, Nuruddin, hanya muda dua tahun daripada saya. Mungkin kerana saya rasa lebih akrab dengan meng‘abang-adik’kan diri dengan beliau. Tetapi isteri beliau pula membahasakan dirinya ‘makcik’. Complicated, is it?

Takpelah, abaikan yang itu.

Antara anak – anak abang Hadi, Farhana memang agak rapat dengan saya. Berbanding dengan yang lain, Farhana setia mengikut ayahnya ke mana – mana. Biasalah, anak perempuan, bongsu pula, memang selalu manja dengan ayahnya.

Jadi, saya biasa bertemu dengannya. Kadangkala di warung Kamarul, sewaktu abang Hadi membawanya bersama untuk sarapan ataupun minum pagi. Dan kebiasaanya pula di Surau al-Ikhwan, waktu abang Hadi datang ke sana untuk solat Zuhur dan Asar.

Kadangkala, selepas solat, abang Hadi akan berbual – bual dengan ahli jemaah lain. Dan Farhana akan setia menunggu ayahnya selesai. Dia akan menghabiskan masa dengan membaca papan – papan kenyataan, termenung, memerhatikan orang sekeliling, mungkin untuk pelajari sesuatu daripada mereka. Waktu ini, kalau saya tiada urusan, saya akan meraikan kehadiran Farhana dengan berbual – bual dengannya.

Yalah, abang Hadi selaku ketua cawangan PAS bertanggungjawab memberi penerangan kepada orang ramai mengenai isu – isu terkini masyarakat. Tidak hairan, kalau sekali – sekala ianya menjadi debat yang panjang. Pastinya agak membosankan untuk Farhana tunggu keseorangan. Tetapi jarang dia mengeluh, biasanya dia hanya tersenyum ceria memerhatikan apa yang sekeliling.

Suatu masa dahulu, semasa saya baru pulang ke Kuantan selepas berhenti kerja di Kuala Lumpur, saya meluangkan masa yang kosong dengan beruzlah di Surau al-Ikhwan. Selesai solat Subuh saya akan menghabiskan masa di surau sepanjang hari. Kebiasaannya saya gunakan masa ini untuk mengulangkaji subjek – subjek pensijilan Usuluddin. Kerana pada waktu itu, saya ada lebih kurang dua minggu untuk menelaah semula pelajaran sebelum peperiksaan akhir bagi modul 1, pada 1 Oktober yang lalu.

Pada masa tersebut, apabila selesai solat Zuhur dan Asar, saya akan terus mengulangkaji di sudut kanan bahagian depan ruang solat. Farhana datang dan duduk sebelah saya memerhatikan saya mengulangkaji pelajaran, sementara menunggu abang Hadi yang berbual – bual di tangga surau. Dia setia menunggu di sebelah saya, tidak bercakap apa – apa, hanya tersenyum malu sesekali apabila saya senyum kepadanya.

Saya tidak sampai hati mengabaikan dia duduk sahaja begitu. Jadi, saya akan cuba memberi perhatian kepadanya dengan berbual – bual ringan. Sekadar melayan emosi seorang adik, walaupun pada masa itu saya sedang menghafal dalil Quran dan Hadith, atau mungkin mengingati nama – nama sahabat yang terlibat dalam satu – satu peristiwa sejarah dan sebagainya.

Kebiasaannya, saya akan minta dia ceritakan apa yang dia belajar di PASTI hari tersebut. Siapa nama guru – gurunya. Kemudian mencelah sedikit dengan beberapa soalan ringan supaya dia terus bercerita. Saya teringatkan pesan ustaz Hasrizal tentang perkembangan emosi kanak – kanak yang tidak boleh dipandang ringan. Cerita – ceritanya mesti didengar dan dihargai. Saya akan tumpukan  pandangan saya pada Farhana apabila dia bercerita walaupun dia malu – malu! Sambil – sambil saya menjeling sedikit pada nota yang ada di hadapan saya, itupun kalau saya tidak tutup buku.

Kadangkala, apabila saya mahu tumpukan pada bahagian pelajaran yang agak sukar, saya akan berikan beberapa soalan matematik untuk dia selesaikan. To kill two birds with one stone. Saya dapat menggunakan masa tersebut untuk sambung ulang kaji, dia pula dapat hilangkan kebosanan dengan cabaran soalan matematik tersebut, bahkan, latihan matematik sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan otak kanak – kanak. So, maybe three birds after all.

Farhana juga setia mengikuti ayah dan ibunya ke ceramah – ceramah, ijtimak dan program – program tarbiah yang lain. Dia sudah biasa duduk di atas tikar mengkuang di tengah padang, berbumbungkan awan dan langit gelap. Dia sudah biasa baring dipangkuan ibunya, disimbahi cahaya bulan, berdodoikan seruan – seruan jihad.

Buat adik Farhana, semoga kesetiaanmu mengikuti ibu dan ayahmu menjadi jalan – jalan untuk dirimu setia pada Allah yang sentiasa memeliharamu. Setia pada Rasulullah yang merinduimu. Setia pada ibu dan ayahmu yang mengasihimu dengan belas rahmatNya. Membesarlah kamu dalam pelukan hidayah dan bimbingan Allah menjadi pentadbir urus muka bumi ini suatu hari nanti.

Inilah doa seorang abang untukmu. Membesarlah kamu daripada anak pokok yang baik menjadi pohon yang akarnya kuat mencengkam tanah, cabang – cabang dahannya pula menjulang ke langit, serta mengeluarkan buah – buah yang bermanfaat pada umat yang mempunyai benih – benih untuk cambahkan pepohon baru yang baik.

Anak pokok yang baik
Anak pokok yang baik

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Rabbnya. Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. ” (Ibrahim: 24-25)

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s