KUCING: TARBIYYAH KASIH TAK BERSYARAT

Asalnya, rumah saya bukan mesra kucing. Mak saya selaku ‘Safety Officer’ tidak mahu rumah bermasalah dengan bau najis kucing dan sebagainya. Begitulah kehidupan kami selama kira-kira 20 tahun.

Walaubagaimanapun, keadaan mula berubah apabila saya mula membawa Acim ke rumah setiap kali pulang dari UTM Skudai. Akhirnya, mak mula rasa senang dan tenang dengan kehadiran kucing, begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Alhamdulillah, Allah jadikan kami semua mesra kucing.

Apa Untungnya?

Walaubagaimanapun, sesekali, saya terfikir, apa untungnya kami membela kucing?

Dulu semasa Acim di UTM, tinggal di dalam bilik, tidak terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan dan keselamatan, memang tidak banyak belanja.

Tetapi bila di rumah, Acim dan lain – lain kami lepaskan bermain di halaman, kadang – kadang merayapnya entah ke mana – mana. Kesannya, perbelanjaan pelalian cacing setiap 3 bulan sekali adalah satu kemestian.

Itu belum kira belanja rawatan yang diperlukan bagi kes cedera selepas bergaduh, demam selsema, kurap dan pelbagai penyakit biasa yang dihadapi kucing. Kos rawatan bagi setiap satu kes tidak kurang daripada RM 30.

Diet harian mereka pula adalah dua kilogram ikan pelaling yang direbus. Kadang kala lebih. Itu belum dikira makanan kucing seperti frieskies dan whiskas.

Kerja-kerja menguruskan rumah juga bertambah. Bulan lepas sahaja 3 kali katil saya dikencingi mereka. Pernah sekali saya bangun tidur dengan tahi kucing di atas kain saya! Meja dan kerusi rotan di ruang rehat rumah habis dicakar. Kusyen-kusyen di atas sofa ruang tamu perlu dikemas semula setiap kali mereka menyepah-nyepahkannya. Pasu hiasan yang disusun ada yang pecah ‘dikerjakan’ mereka.

Persoalannya, kalau begitu, apa untungnya?

Kasih Tak Bersyarat

Berbeza dengan membela lembu. Susah payah membelanya, apabila cukup dewasa, boleh dijual sekitar RM 2000 seekor. Kalau pun tidak, boleh disembelih untuk dimakan. Kalau pun tidak juga, sekurang – kurangnya, susunya boleh diminum.

Begitu juga halnya dengan kambing dan kerbau.

Ikan emas pula, sekurang – kurangnya, boleh juga dijadikan indikator gempa bumi.

Kucing? Kita tidak boleh mengharap apa pun pulangan material daripada membela kucing.

Tetapi kami sekeluarga mengasihi mereka seadanya. Kami tidak letakkan syarat, hari ini jika mereka mahu makan, mereka tidak boleh sepahkan kusyen, atau mungkin tidak kencing di dalam rumah.

Bahkan, bukan tidak biasa mereka ‘melanggar peraturan rumah’. Kadang – kadang terpaksa mencari mereka menjelang maghrib apabila tidak pulang – pulang. Itupun tidak mudah, waktu – waktu senja begitu, mereka gemar mengacah-acah di luar. Belari ke sana, belari ke sini, demi mengelakkan diri masing – masing daripada ditangkap.

Sedangkan kami mahu mereka masuk rumah menjelang maghrib pun untuk keselesaan mereka juga. Selamat daripada gangguan kucing liar. Selamat daripada hujan ribut. Dapat tidur dan makan dengan selesa. Tetapi itulah kucing.

Samada mereka nakal atau tidak, jika mereka minta makan, tetap diberikan. Malah dijemput makan pula apabila tidak meminta.

Kebahagiaan Pada Memberi Tanpa Balasan

Saya rasa bukan keluarga saya sahaja yang bersikap begini. Tanyalah pecinta kucing dari mana pun, huru hara macam mana pun rumah dikerjakan, berapa kali pun alas meja terpaksa dikemas, berapa kali pun lantai terpaksa dilap, tidak terdetik rasa mahu membenci makhluk Allah yang satu ini.

Walaupun berhabis duit, tenaga, dan masa, tetapi entah kenapa terasa bahagia melayan karenah kucing. Mak dan ayah emosi mereka lebih baik dengan kehadiran kucing. Begitu juga saya dan abang.

Mungkin rahsianya pada memberi tanpa mengharapkan balasan.

Saya tidak rasa para pembela kucing menuntut hak daripada si kucing sebagai penjaganya. Sebaliknya terus memberi dan memberi biarpun esoknya, tiada jaminan si kucing tidak kencing atas katil penjaganya, atau menyelongkar lauk di atas meja.

Hari ini jika si kucing sakit, si penjaganya hantarkan ke klinik tanpa mengharapkan si kucing akan berbuat perkara demikian apabila dia pula yang sakit. Cukup bagi si penjaga apabila dapat melihat si kucing sihat dan ceria kembali.

Tarbiyyah Kasih Tak Bersyarat

Saya rasa, itulah konsep kasih sayang yang Allah campakkan kepada para ibu bapa.  Ibu bapa, biar sejahat mana pun anak, tetap anaknya juga. Biarpun di mulut mereka membentak halau si anak dari rumah ketika marah, tetapi dalam hati, tidak ada ibu bapa yang membenci anak. Saya tak rasa ada ibu bapa yang diakhir hayat mereka jika datang si anak memohon ampun, masih sanggup dihalau anak tersebut. Kecuali mereka yang benar – benar telah dicabutkan naluri kasih sayang oleh Allah.

Naluri yang berupa cebisan bentuk kasih sayang tanpa syarat Allah terhadap hambaNya. Biarpun hamba itu engkar, memilih untuk mengkufurkanNya, Dia tetap memberi dan terus memberi. Biarpun sang hamba sombong dan angkuh, Dia tetap memberi dan terus memberi. Dia buka ruang keampunan seluas – luasnya, agar sang hamba boleh memilih untuk kembali kepadaNya.

Konsep kasih sayang inilah yang Allah anugerahkan kepada naluri pembela kucing. Sebab itu bertuah bagi para bujangan yang membela kucing. Anda telah melalui satu madrasah tarbiyyah bagi melahirkan anda sebagai manusia yang pengasih tanpa syarat, lebih awal daripada orang lain.

Di satu sudut, para ibu bapa muda baru terkial-kial memahami kasih tanpa syarat, anda sudah pun mempraktikannya.

Anda mampu rasa bahagia dalam memberi tanpa dibalas. Cukup biarpun sekadar melihat keceriaan dan kebahagiaan mereka yang menerima.

Semoga lebih ramai yang memilih dan terpilih untuk membela kucing, mudah-mudahan, lebih ramai yang dianugerahi kasih tanpa syarat. Satu bentuk kasih sayang yang tertinggi dan paling bermakna di dunia dan di akhirat.

3 thoughts on “KUCING: TARBIYYAH KASIH TAK BERSYARAT

  1. Kucing saya bijak. Kami akan membunyikan balang yang mengandungi friskis, dan kucing2 kami akan berlari kepada kami. Kalau nakal,kami hanya pegang rotan dan mereka akan lari [situasi dimana kucing itu ingin mengotorkn rumah dgn najis]. Dan ada seekor kucing yang akan menggigit ibu jari ayah saya setiap subuh. Hebat, bukan?

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s