Kerana Pada Bahasamu Ada Siapa Dirimu

Bahasa dan Taraf Pemikiran Manusia Sejagat

Saya percaya cara kita berbahasa melambangkan taraf pemikiran dan sikap kita. Begitulah sistem yang sedia ada dalam kehidupan manusia.

Di USA contohnya, kita dapat bandingkan bahasa golongan ‘redneck’ adalah sangat mundur dan menyalahi ‘syntax’ bahasa berbanding dengan bahasa golongan yang lebih terdedah kepada perkembangan zaman.

Kajian sosiolinguistik di India oleh Jules Bloch pada tahun 1910 pula mengesahkan terdapat perbezaan sistem bahasa bagi setiap kasta di sana.

Malah di Malaysia sendiri, golongan kerabat istana ada sistem bahasanya tersendiri, orang kebanyakan ada sistem bahasanya tersendiri, dan orang ulu juga ada sistem bahasanya yang tersendiri.

Apa yang kita semua maklum, kalau sesebuah organisasi atau perkumpulan masyarakat mahu menghantar wakil bagi sesebuah perjumpaan penting, contohnya jika kerajaan Malaysia mahu menghantar wakil ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa –Bangsa Bersatu, maka wakil yang dihantar pastilah daripada kalangan mereka yang berkredibiliti dan mampu berkomunikasi dengan baik dalam menyampaikan hasrat atau mesej negara kepada wakil – wakil negara lain. Saya tidak rasa orang yang dihantar adalah daripada kalangan mereka yang rendah kualiti struktur ayatnya dan terbatas pula perbendaharaan katanya.

Ketepatan Perbendaharaan Kata

Dalam berbahasa, ada banyak aspek yang mempengaruhi kualitinya. Struktur ayat, tatabahasa, pemilihan perbendaharaan kata dan pelbagai lagi.

Perbahasan struktur ayat dan tatabahasa adalah sangat saintifik dan melibatlan logik. Sebab itu saya bersetuju dengan pernyataan Ustaz Hasrizal, golongan lepasan pengajian bahasa arab yang cemerlang jauh lebih berfikiran kritis berbanding lepasan syariah yang biasa – biasa dalam membicarakan soal hukum dan ketepatannya dengan kedudukan fiqh semasa.

Saya sendiri menggelarkan bab ‘Penaakulan Mantiq’ (Logical Thinking) dalam subjek Matematik Moden di tingkatan 4 dahulu sebagai tatabahasa Matematik. Sebab struktur pengajiannya sama. Memahami ‘syntax’. Berkenaan dengan mengenalpasti premis hukum dan undang – undang struktur ayat. Apa yang boleh digunakan? Apa yang tak boleh digunakan? Kenapa boleh digandingkan? Kenapa tak boleh digandingkan?

Tetapi, lupakan sejenak topik mantiq yang panjang perbahasannya, dan saya sendiri masih bertatih dalam mendalami hukum – hukum ‘syntax’.

Kita pergi pada aspek yang lebih mudah, perbendaharaan kata. Pemilihan perbendaharaan kata yang betul menunjukkan sikap kita yang teliti dalam memastikan mesej yang mahu disampaikan adalah betul. Pemilihan perbendaharaan kata ‘tangkap muat’ dan ‘molek – molek ada’ menunjukkan sikap yang culas dan tidak berhati – hati dalam menyampaikan mesej.

Selain itu, ada juga segelintir yang kerana terpengaruh dengan budaya bahasa puitis yang merasakan mereka bebas memilih perbendaharaan kata mereka asalkan berbunyi indah. Walhal, sasterawan yang benar – benar puitis akan memilih kata –  kata yang indah dan tepat pula maksud dan perlambangannya. Kalaupun definisi formalnya berbeza, tetapi konteks, asosiasi, dan konotasi kata – kata yang dipilih adalah tepat dengan perlambangan yang cuba disampaikan, bukan sekadar melepaskan batu di tangga.

Contoh Kes: Muslimat Solehah adalah BURUAN Muslimin Soleh

Entah kenapa kali pertama saya baca ayat ini saya sudah rasa jelik. Buruan? Satu perkataan yang mempunyai asosiasi yang sangat tidak kena dengan konteks antara hubungan lelaki dan perempuan, apatah lagi dalam membicarakan konteks hubungan muslimin dan muslimat, yang soleh dan solehah.

Buruan. Dalam sistem pemikiran saya perkataan ini melibatkan dua pihak, pemangsa dan mangsa, yang dihubungan oleh satu aktiviti, iaitu memburu. Pemangsa akan memburu si mangsa dengan taktik dan strategi yang pelbagai bagi memperdaya si mangsa agar jatuh ke dalam perangkapnya.

Harimau bintang di Sahara memburu antelop dengan mengacah kumpulan – kumpualn antelop sehingga ada seekor yang terasing daripada kumpulan dan akan menjadi mangsa buruannya untuk dijadikan santapan hariannya. Hari ini baham si anu, esok baham si anu yang lain pula.

Di USA pula, memburu dijadikan satu aktiviti rekreasi di samping mengawal keseimbangan ekologi. Binatang – binatang yang akan membawa kesan negatif pada keseimbangan ekologi apabila populasi mereka dalam satu ekosistem terlalu banyak akan diberi galakan dan inisiatif untuk diburu pada musim – musimnya. Contohnya seperti burung ‘starlings’ yang menceroboh habitat burung – burung asli dalam satu ekosistem ataupun serigala dan musang yang mengancam ternakan domestik. Maka warga USA yang berminat dengan ativiti lasak ini pun menggunakan kepakaran mereka untuk mendapatkan hasil buruan mereka.

Dalam konteks yang bagaimana mahu saya letakkan perkataan buruan muslimin adalah muslimat? Muslimin makan muslimat macam harimau bintang di Gurun Sahara makan antelop sehari – hari? Atau muslimin buru muslimat untuk aktiviti rekreasi dan mengawal populasi muslimat?

Namun, saya faham, definisi yang saya guna pakai adalah definisi orang kebanyakan, definsi umum. Oleh itu, saya cuba cari definisi terpencil yang terdapat dalam persuratan Melayu. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat (yang setahu saya sebagai kamus terbaru yang digunapakai sekarang), semua definisi masih merujuk konteks yang sama, pemangsa memburu mangsa bagi mematikan mangsa untuk tujuan dijadikan makanan atau tujuan lain yang bermanfaat bagi si pemangsa, kecuali satu, iaitu bagi kata ‘orang buruan’.

‘Orang buruan’ mempunyai definisi khusus dan di luar konteks pemburuan yang saya nyatakan di atas. Orang buruan bermaksud ‘orang yg dicari oleh polis (kerana melakukan sesuatu kejahatan)’. Nah, mahu diselit muslimat solehah di sini? Orang yang dicari muslimin soleh kerana melakukan ‘sesuatu kejahatan’ (mencuri hati? Oh, gediknya!).

Sebab itu saya akhirnya mengkritik pernyataan di atas yang menggunakan perbendaharaan kata yang tidak tepat dengan satu satira ringkas seperti berikut:

Kasihanilah mereka, hentikan pemburuan terlarang!
Kasihanilah mereka, hentikan pemburuan terlarang!

Malangnya, tak ramai yang mengerti maksud kritikan saya dan mula membuat komen – komen yang jelas menunjukkan mereka tidak dapat menanggapi isi kritikan saya. Mungkin satira masih belum popular dikalangan masyarakat.

Itupun saya masih bersopan dengan satira saya, sebab, asalnya dalam fikiran saya, pemburuan sepatutnya digambarkan seperti ini:

 Imej

One thought on “Kerana Pada Bahasamu Ada Siapa Dirimu

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s