HARI BARU

Alhamdulillah, hari ini masih diberi Allah keupayaan membuka mata, keupayaan bernafas, segala keupayaan yang membezakan antara saya yang hidup dan saya yang mati. Teringat saya pada kata – kata Hilal Asyraf seawal beliau bangkit di Jordan, setiap hari baginya adalah peluang yang Allah bagi bagi beliau mencari redha Allah.

Setiap hari adalah peluang dan ruang untuk kita buat sesuatu. Peluang yang hanya ada pada orang yang hidup. Peluang untuk membuat pilihan. Memilih berdasarkan iman atau nafsu. Itulah yang saya faham daripada pesanan guru saya, Ustaz Hasrizal, “hidup adalah ujian membuat pilihan”.

Pagi ini saya memilih untuk mengemas rumah. Buang sampah, sapu sampah, lap dapur dan meja masak. Basuh kuali dan alat – alat lain yang ditinggalkan teman serumah. Menguruskan hal ehwal rumah, walaupun sebenarnya saya masih keletihan bermusafir seharian ke Johor Bharu semalam, ditambah dengan gangguan daripada speaker surau yang ‘tidak menghormati’ hak orang yang mahu berehat pada watu malam semalam.

Selepas puas mengemas rumah, saya basuh ayam yang telah dibawa keluar daripada peti sejak malam semalam. Buang kulit dan lemak. Gorengkan hingga sepatuh masak dalam minya yang penuh. Sementar itu, saya tumbuk bawang putih, campurkan dengan sambal segera. Kemudian tumis dalam minyak panas. Lobak dan bunga kobis dipotong. Ayam separuh masak itu saya masukkan dalam sambal yang ditumis, ditambah sedikit air dan sos cili. Setelah puas hati dengan kepekatan kuah, saya masukkan lobak dan bunga kobis. Gaulkan kesemuanya supaya rata.

Sambil biarkan ayam sambal masak, saya masak nasi. Kemudian saya basuh dan potong kobis panjang. Selepas itu, saya rendamkan dalam air campuran pati ayam. Sengaja saya buat begitu sambil biarkan bawang putih ditumis dengan minyak dalam kuali yang sedang dipanaskan. Selepas itu saya masukkan kobis panjang dan air pati ayam dalam kuali tersebut. Gaul sedikit, kemudian campurkan pula dengan serbu lada hitam sehingga baunya naik. Kemudian campurkan garam dalam kedua – dua masakan secukup rasa. Maka terhasillah:

Ayam Goreng Sambal dan Kobis Panjang Masak Lada Hitam

Allah al-Bari’

Saya suka mengemas rumah dan memasak. Ianya menghilangkan stress dan kepenatan saya. Asalnya saya pun tak pasti kenapa, tetapi bila saya fikirkan, mungkin dengan buat kerja – kerja ini, saya rasa dekat dengan Allah al-Bari’, Yang Maha Menguruskan.

Saya menjalankan tugas sebagai agen Dia di muka bumi untuk menguruskan kehidupan saya, salah seorang hambaNya di bumi ini. Walaupun secara fizikalnya, saya yang menyapu, saya yang membasuh, buat itu dan ini, tetapi hakikatnya, saya hanya menjadi petugasNya melaksanakan tugasan – tugasan al-Bari’ dalam rumah saya.

Itulah aturan Dia al-Bari’. Dia memberi pilihan untuk saya untuk menjadi agenNya atau tidak. Saya boleh menuruti nafsu yang suka berlengah dan bermalas-malas, tetapi kesannya, rumah akan jadi tidak selesa diduduki, bersepah, berbau, sampah berulat dan sebagainya.

Memasak. Dari satu sudut yang kurang kita perhatikan, ayam goreng sambal dan kobis panjang masak lada hitam yang saya masak telah menemukan sebahagian ayam dan kobis panjang tersebut dengan erti hidup mereka sebagai hamba Allah. Iaitu menjadi makanan buat manusia. Dan dengan memilih memasak ayam dan kobis panjang tersebut, saya telah melengkapkan sebahagian proses yang diaturkan oleh al-Bari’ supaya ayam dan kobis panjang tersebut menemui tujuan hidup masing – masing. Kadang kala, agak menghairankan, bagaimana kita, manusia boleh melengkap tujuan hidup ayam, ikan, dan lain – lain hidupan, tetapi masih gagal menemukan tujuan hidup diri sendiri.

Allah al-Muhyi

Hasil masakan saya menjadi sumber tenaga untuk saya dan teman serumah meneruskan hidup. Fizikalnya, saya yang memasak. Tetapi disebalik yang tersirat, itu semua agenda Allah al-Muhyi, Yang Maha Menghidupkan. Dia menyampaikan daya dan kekuatan untuk saya terus hidup melalui proses pencernaan makanan yang saya masak tadi dengan begitu cantik sekali.

Hidup adalah Ujian Membuat Pilihan

Namun, semuanya terpulang pada diri kita. Allah berikan ruang untuk kita pilih. Setiap saat, dia hidangkan kita dengan pelbagai pilihan, cuma terpulang pada kita, hari ini mahu pilih jadi hambaNya, atau hamba nafsu.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s