“Plasma darah terdiri daripada 90% air dan 10% bahan terlarut, dan warnanya kuning cair”. Saya memulakan perbincangan mengenai komposisi darah dengan pelajar tingkatan tiga.

“Cikgu, plasma ni yang dia buat tv plasma tu kan?” Tanya salah seorang pelajar saya, Aina.

Saya terdiam. Saya rasa tak setuju dengan pernyataan tersebut, tetapi belum dapat fikir apa yang tak kena, belum pun saya dapat nafikan, Aina teruskan lagi, “ye lah cikgu, Ahad lepas Cikgu Firdaus cakap, dia ada kena mengena dengan tv plasma”.

Pelajar lain turut mengangguk-angguk membenarkan pernyataan ‘Cikgu Firdaus’.

Panik, saya mula mencari akal, apa yang boleh saya jawab supaya saya tidak dilihat bodoh oleh para pelajar saya. Akhirnya saya membenarkan sahaja pernyataan itu dan katakan dalam televisyen plasma ada cecair yang dipanggil liquid crystal display yang ‘ada kena mengena’ dengan plasma darah. Walaupun saya tahu apa yang saya sebut itu ialah teknologi LCD dan bukannya teknologi plasma. Dan saya tahu serba sedikit tentang plasma kerana ada dibincangkan dalam pengajian ijazah saya, menyebabkan saya tahu menghubungkaitkannya dengan plasma darah adalah perbuatan yang mengarut.

Plasma

Sikap tersebut adalah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak amanah terhadap ilmu pengetahuan, saya tidak sewajarnya berbuat demikian. Sepatutnya saya tidak boleh malu menyatakan, “saya tak tahu, nanti saya cari maklumatnya”.

Saya rasa guru, penceramah, dan seumpamanya sangat berisiko terperangkap dengan ego sendiri dan tidak mahu dilihat kurang tahu tentang sesuatu. Maka, dipilih untuk menyatakan sesuatu yang tidak dipastikan kebenarannya, atau ada kalanya, memang pasti ketidakbenarannya, supaya dapat mengagumkan audiens.

Ujian setia dengan kebenaran tidak mudah. Terutamanya apabila kebenaran itu menuntut kita untuk  mengakui ketidaktahuan kita terhadap sesuatu perkara.

Namun ujian setia dengan kebenaran tidak tamat di situ.

“Baiklah, dalam lima minit yang berbaki, saya nak jawab satu soalan yang telah lama ditanya anda semua, cuma saya tak berkesempatan menjawabnya sebelum ini, iaitu mengenai plasma”, setelah beberapa minggu, saya bentangkan dapatan saya terhadap isu plasma tempoh hari.

Saya terangkan secara mudah bahawa televisyen plasma adalah berasaskan teknologi plasma, iaitu keadaan jirim yang keempat, ‘gas yang terion’. Ianya bukan penerangan yang paling tepat, tapi saya rasa cukup untuk mereka kaitkan dengan tiga keadaan jirim yang telah mereka pelajari.

Kemudian saya nyatakan teknologi plasma tak ada kaitan dengan plasma darah kecuali namanya, plasma, iaitu satu perkataan Yunani yang bermaksud ‘asal sesuatu perkara’ (ianya bukan terjemahan yang paling tepat, tetapi cukup sesuai untuk pelajar tingkatan 3, barangkali).

Saya nyatakan sejarah penamaan plasma darah adalah apabila seorang ahli biologi berjaya memisahkan sel darah merah dan sel darah putih daripada darah, beliau dapati darah menjadi cecair berwarna kuning pudar. Ahli biologi tersebut menamakannya plasma kerana menganggap cecair itu adalah asal darah.

Manakala ahli fizik yang menemukan ‘gas terion’ pula menamakannya sebagai plasma kerana mereka dapati tiga keadaan jirim yang lain, gas, cecair, dan pepejal adalah bermula daripada ‘gas terion’ tersebut.

Setelah selesai percubaan saya untuk meringkaskan penerangan isu yang melibatkan pelbagai dimensi ilmu tersebut (fizik, biologi, dan sejarah), pelajar saya menyatakan, “tapi cikgu, Cikgu Firdaus tu pandai, dia pensyarah (saya pula hanyalah pelajar ijazah sarjana), takkanlah dia tak tahu!”

Ya, ‘Cikgu Firdaus’ adalah seorang pensyarah, tapi setia dengan kebenaran menuntut kita untuk tidak meletakkan kebenaran pada siapa yang berkata, tetapi apa yang dikatakan. Untuk memahamkan pelajar tingkatan tiga tentang hakikat itu bukan mudah. Apatah lagi dalam masa kurang daripada 5 minit yang berbaki.

“Saya tak kisah pun jika Cikgu Firdaus itu pensyarah, bapak pensyarah, mahupun pensyarah kepada pensyarah, yang penting, apa yang dia cakap tu salah. Pengajaran yang anda perlu ambil di sini adalah, sentiasa cek semula apa sahaja yang anda dengar daripada orang lain, termasuk saya. Jangan terus percaya bulat-bulat”. Saya mengakhiri kelas.

Itu bukanlah susunan perkataan yang terbaik untuk menjawab persoalan yang timbul dalam diri mereka, tetapi saya harapkan sekurang-kurangnya , mereka mendapat sedikit idea tentang disiplin terhadap ilmu yang menuntut kita setia dengan kebenaran.

Dan pastinya kelas minggu depan memerlukan saya memurnikan semula pernyataan akhir saya itu.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s