Pertengahan Jun 2016, media seluruh dunia gempar melaporkan kes jenayah pedofilia Richard Huckle. Lebih mengejutkan, Huckle telah menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi jenayah pedofilianya sejak tahun 2006 sehingga 2014. Huckle telah ditahan di lapangan terbang Gatwick pada 19 September 2014. Penangkapan dan pertuduhan terhadap Huckle tidak didedahkan pihak berkuasa kepada media sehinggalah bermulanya perbicaraan kes tersebut pada Jun 2016.

Di sebalik penangkapan Huckle, terdapat 1001 kisah penyiasatan yang terperinci dan penuh berdedikasi daripada pihak berkuasa beberapa buah negara dalam menjatuhkan satu jaringan penjenayah pedofilia di seluruh dunia. Artikel ini akan memaparkan kronologi siasatan yang telah didedahkan pihak Task Force Argos kepada media.

Mei 2011: Operasi Spade yang merupakan kerjasama polis daripada beberapa buah negara menahan Brian Way di Toronto, Kanada. Way ditahan atas kesalahan menerbitkan dan menjual bahan-bahan pedofilia melalui syarikat miliknya, Azov Films. Melalui penahanan Way, pihak polis berjaya mendapatkan akses terhadap rekod pelanggan  Azov Films.

2012: Pelanggan-pelanggan Azov Films mula ditahan bagi membantu siasatan. Terdapat beberapa kes pelanggan-pelanggan Azov Films yang membunuh diri apabila mereka mula disoal siat oleh pihak polis.

Penahanan salah seorang pelanggan Azov Films yang menetap di Queensland, Australia membuka satu realiti baru terhadap pihak polis. Pelanggan tersebut merupakan ahli sebuah laman web gelap yang merupakan platform pedofilia berinteraksi sesama sendiri dan berkongsi video dan gambar penderaan seksual. Task Force Argos, sebuah unit pihak polis Queensland yang bertanggungjawab menyiasat pengeksploitan internet terhadap kanak-kanak, mengambil alih akaun pengguna milik pelanggan tersebut dan mula menginfilterasi laman web gelap tersebut.

Laman web gelap tersebut mempunyai kod operasinya tersendiri, pengguna senior menjadi pentadbir laman web dan memantau interaksi antara pengguna-pengguna yang lain bagi memastikan tidak ada pihak polis yang sedang menyamar. Setiap pengguna mesti memuatnaik sekurang-kurangnya satu bahan pedofilia baru setiap bulan ataupun akaun pengguna mereka akan dibuang.

Salah seorang daripada pengguna tegar laman web tersebut adalah Huckle. Dia kerap memuatnaikkan bahan-bahan baru ke laman web tersebut, interaksi Huckle dalam laman web tersebut menunjukkannya berbangga dengan hasil kerjanya serta merendah-rendahkan pengguna-pengguna lain. Huckle bagaimanapun mengambil langkah berjaga-jaga dengan cara mengkaburkan muka dan tempat-tempat ikonik bagi mengelakkan dia dikesan. Dia juga tahu untuk memadamkan metadata daripada video dan gambar-gambar yang dihasilkannya. Laman web tersebut menyediakan manual setebal 180 muka surat bagi membantu para pengguna mengelak daripada dikesan polis. Huckle sendiri menghasilkan tulisan setebal 60 muka surat bertajuk, “Paedophiles and Poverty: Child Lover Guides”.

Selain daripada Huckle, Task Force Argos cuba menjejak individu utama yang menjadi dalang di sebalik laman tersebut. Satu-satunya klu yang ada adalah sapaan yang digunakan pemilik akaun tersebut pada pos-posnya yang berbunyi, “hiyas”. Setelah beberapa ketika, Task Force Argos dimaklumkan Polis Denmark bahawa lokasi individu tersebut adalah di Adelaide, Australia. Perkara ini dikuatkan lagi dengan beberapa video yang dihasilkan individu tersebut memaparkan anak-anak orang asli Australia dan salah satu gambar miliknya terdapat sehelai kertas yang bertulis “Aussie”.

Pihak Argos meneliti setiap satu pos yang terdapat dalam internet yang mengandungi sapaan “hiyas”. Ribuan pos diteliti oleh mereka untuk mengesan individu disebalik laman gelap tersebut. Sehinggalah satu hari mereka menemui satu pos dalam laman web forum perbincangan kenderaan pacuan empat roda. Bukan sahaja pengguna tersebut menggunakan sapaan “hiyas”, malah, pengguna tersebut juga menetap di Adelaide, dan nama penggunanya juga serupa dengan nama pengguna dalang disebalik laman web gelap yang dicari. Akaun pengguna yang serupa juga dijumpai dalam laman forum diskusi bola keranjang.

Dalam forum diskusi kenderaan pacuan empat roda tersebut, pengguna yang disyaki itu bertanyakan tentang cara untuk meningkatkan suspensi kenderaannya. Pengguna yang lain dalam laman tersebut mencadangkan alat ganti yang diperlukan. Pihak Argos kemudian menemukan dalam Facebook, seseorang sedang mencari alat ganti yang sama, dan profil Facebooknya mempunyai keserupaan yang munasabah dengan klu-klu yang ada pada mereka. Individu tersebut adalah seorang lelaki berusia 32 tahun bernama Shannon McCoole, dan lebih teruk lagi, dia bekerja sebagai penjaga kanak-kanak bagi Families South Australia, sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak terbiar.

Jun 2014: Shannon McCoole ditahan dirumahnya. Penahannya tidak didedahkan kepada media pada waktu tersebut. Akaun pengguna laman web gelap milik McCoole diambil alih oleh pihak Task Force Argos untuk mendapatkan akses terhadap 45,000 orang pengguna-pengguna lain, termasuk Huckle.

McCoole, Shannon 1
Shannon McCoole

 

Sebelum ini, Huckle disyaki menjalankan operasi jenayahnya di negara-negara Asia Selatan seperti India kerana kebanyakan mangsa yang dipaparkan merupakan anak-anak etnik India. Huckle sangat berhati-hati ketika berinteraksi dalam laman web tersebut, dia tidak pernah menyatakan lokasinya. Tetapi antara klu awal yang didapati oleh pihak Argos adalah apabila seorang pengguna daripada Filipina menulis kepada Huckle, “malangnya awak sangat jauh”, dan Huckle menjawab, “saya mungkin lebih dekat daripada yang awak fikirkan”, memberi isyarat lokasi Huckle berkemungkinan di Asia tenggara.

Task Force Argos kemudian menemukan satu lagi klu penting daripada bahan terbitan Huckle, model kamera Olympus yang digunakannya. Pegawai-pegawai Argos bertungkus lumus meneliti satu persatu gambar-gambar dalam laman web fotografi popular seperti Flickr dan TrekEarth yang diambil di negara-negara Asia Tenggara menggunakan model kamera yang sama. Hasilnya, mereka menemukan gambar-gambar kanak-kanak (bukan gambar berunsur pedofilia) negara Asia Tenggara seperti Kampuchea, Laos, dan Vietnam yang menggunakan model kamera yang sama. Alamat emel yang digunakan sebagai akaun pemilik gambar-gambar tersebut dikenalpasti oleh pihak Argos.

Akaun-akaun daripada laman web lain yang menggunakan alamat emel yang sama diperiksa oleh Argos. Salah satu daripada akaun dalam talian tersebut menggunakan nama pengguna yang sama dengan nama pengguna yang didaftarkan Huckle dalam laman web gelap. Alamat emel tersebut juga menemukan pihak Argos dengan studio produksi Huckool Photograhy Production yang beroperasi di Malaysia. Studio tersebut dihubungkan dengan profil Facebook Huckle. Apabila diteliti gambar-gambar dalam Facebook tersebut, pihak Argos mendapati terdapat kanak-kanak yang didera dalam bahan-bahan terbitan Huckle. Pada waktu itu, pihak Argos yakin bahawa mereka sudah berjaya mengesahkan identiti Hukle.

Paul Griffith, salah seorang pegawai penyiasat Task Force Argos menghubungi National Crime Agency (NCA) Britain untuk saling bertukar maklumat mengenai Huckle. Beliau dimaklumkan Huckle tidak dapat ditahan selagi dia masih di Malaysia. Kata beliau, “sefaham saya, (pihak berkuasa) Malaysia percaya mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk menahannya (Huckle)”. Ironinya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendakwa mereka hanya menerima maklumat tentang Huckle daripada NCA pada Mei 2016.

Pihak Task Force Argos berada dalam keadaan buntu kerana mereka sudah memperoleh segala maklumat yang diperlukan tentang Huckle tetapi tidak dapat membuat penahanan. Sehinggalah, ketika memantau profil Facebook Huckle, Griffith membaca pos terbaru Huckle yang berbunyi,”berita baik, saya sudah menempah tiket balik untuk Krismas”. Huckle turut mengetag penerbangan yang ditempah dalam pos tersebut.

19 Disember 2014: Huckle ditahan di lapangan terbang Gatwick, London. Komputer dan pemacu keras miliknya mengandungi lebih daripada 20,000 imej lucah kanak-kanak, termasuk 1000 imej yang memaparkan kanak-kanak yang didera secara seksual oleh dirinya sendiri.

Huckle diikat jamin oleh ibu bapanya, tetapi apabila dia mengaku melakukan jenayah tersebut kepada mereka, mereka menyerahkan kembali kepada pihak polis dan tidak mahu lagi mengaku Huckle sebagai ahli keluarga.

Disember 2014: Selepas enam bulan sejak pihak Argos menyamar sebagai dalang di sebalik laman web gelap tersebut, mereka telah berjaya mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa ratusan penjenayah pedofilia termasuk McCoole dan Huckle.

Pegawai polis yang menyamar sebagai McCoole menerbitkan satu pos dalam forum laman web gelap yang menyatakan laman web tersebut akan ditutup sementara untuk memberi rehat kepada pentadbir dan moderator laman web. Laman web itu terus ditutup sehingga hari ini.

Jun 2016: Huckle dibicarakan dan dijatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s