Pada tahun 2015, ketika berumur 16 tahun, Noujain Mustaffa, anak gadis Syria, merentasi lautan biru dalam bot getah, dari Turki ke Lesbos di atas kerusi roda bersama-sama beberapa orang pelarian yang lain, termasuk kakaknya, Nisreen Mustaffa. Dua tahun lepas, beliau dan keluarga beliau melarikan diri ke Turki, kerana ancaman perang saudara di Syria. Beliau menghidapi cerebral palsy sejak lahir dan memerlukan rawatan yang lebih baik di negara-negara Eropah, menyebabkan Noujain dan Nisreen mengambil risiko merentasi laut Aegean.

Mustaffa, Noujain

Noujain adalah gadis yang ceria dan sangat positif. Apabila ditanya wartawan adakah beliau takut semasa berada di bot, beliau menjawab dalam bahasa Inggeris yang fasih, “tidak, saya rasa seronok. Saya tidak pernah menaiki bot sebelum ini. Ianya sangat cantik. Saya tidak tahu sama ada saya akan hidup ataupun mati, tetapi syukur kepada Tuhan kami semua di sini”.

Namun perjalanan Noujain tidak mudah. Dua minggu kemudian, beliau ditemui bersama-sama pelarian yang lain terkandas di sempadan Hungary dan Serbia yang ditutup Hungary bagi mengelakkan kemasukan pelarian. Di sana beliau ditemui bual oleh wartawan BBC, Fergal Keane, dan beliau masih kekal optimis. Beliau turut menyatakan cita-cita beliau adalah untuk menjadi angkasawan. Ketika ditemubual oleh wartawan ABC, Mary Bruce, beliau menyatakan dengan ceria bahawa beliau fasih berbahasa Inggeris dengan belajar sendiri melalui rancangan televisyen kegemaran beliau, Days of Our Life.

*   *   *   *   *

Perjalanan yang dilalui oleh para pelarian adalah sangat sukar. Negara-negara Eropah seperti Denmark, Sweden, Perancis, dan Hungary, mengambil sikap menutup pintu terhadap para pelarian ini. Bahkan sebahagian daripada mereka mengambil sikap yang ekstrem serta tidak berperikemanusiaan.

Datuk bandar Asotthalom, Hungary, Laszlo Toroczkai, memuatnaik sebuah video yang dengan jelas memberi ancaman dan ugutan terhadap pelarian. Toroczkai adalah ahli politik beraliran nasionalis daripada parti Jobbik, dan terkenal dengan pandangan ekstremnya seperti menggesa Hungary untuk menawan semula wilayah-wilayah yang sebelum Perang Dunia Pertama adalah dibawah pentadbiran Hungary.

Petra Laszlo, wartawan stesen televisyen Hungary dirakam dalam video telah menendang kaki seorang lelaki Syria berumur, Osama Abdul Mohsen, yang sedang melarikan diri daripada polis penjaga sempadan sambil mendukung anaknya sehingga terjatuh. Laszlo juga dirakam menendang seorang anak gadis Syria dalam peristiwa yang sama. Akibat daripada perbuatannya, dia dipecat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah. Ketika diwawancara, Laszlo menyatakan hasratnya untuk menyaman pelarian yang ditendangnya dan juga Facebook kerana telah merosakkan kehidupannya melaui penyebaran video perlakuannya.

*   *   *   *   *

Pelarian bukan pendatang. Pendatang membuat pilihan untuk pergi ke satu-satu negara kerana peluang pekerjaan, pendidikan, dan seumpamanya. Pelarian tidak mempunyai pilihan tersebut, mereka terpaksa pergi ke negara lain untuk mendapatkan perlindungan daripada konflik bersenjata di negara mereka. Tidak ada ibu bapa yang sanggup mengambil risiko terhadap nyawa anak-anak mereka dengan menaiki bot getah untuk merentasi laut jika nyawa mereka tidak menjadi ancaman di negara sendiri. Hak pelarian dijamin oleh undang-undang antarabangsa sejak Konvesyen Pelarian 1951 ditandatangani. Mereka berhak mendapatkan pendidikan, perlindungan, dan seumpama dengannya.

Kebanyakan negara-negara Eropah tidak mahu menerima pelarian kerana menganggap mereka sebagai beban yang perlu ditanggung dan akan memberi kesan negatif terhadap keadaan ekonomi mereka. Sedangkan terdapat beberapa kajian yang menunjukkan kehadiran pendatang boleh memberikan kesan positif terhadap ekonomi mereka. Kajian yang diterbitkan pada 2013 mendapati kemasukan pelarian beramai-ramai ke Denmark pada tahun 1990 menyebabkan rakyat Denmark beralih kepada pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan purata gaji yang diterima rakyat Denmark. Kajian yang dijalankan di Britain pada 2014 mendapati pelarian membayar lebih banyak cukai kepada kerajaan berbanding dengan faedah yang diterima mereka. Dapatan tersebut menyokong satu lagi kajian pada tahun 2013 yang mendapati pengurangan 50% pendatang di Britain akan menyebabkan kemerosotan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang ketara.

*   *   *   *   *

Sekiranya anda mahu berbuat sesuatu untuk membantu para pelarian, anda boleh berdiri bersama pelarian dengan menandatangani petisyen UNHCR bagi menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia bahawa kita serius dan mahukan pembelaan dan perlindungan hak terhadap para pelarian.

Jika tidak kita, mungkin anak cucu kita mengalami nasib yang sama seperti mereka, lakukan sesuatu sebelum terlambat.

*   *   *   *   *

Selepas beberapa minggu dalam keadaan tidak menentu, Noujain Mustaffa dan kakaknya telah diterima masuk ke Jerman dan ditempatkan dalam kem pelarian di sana.

Osama Abdul Mohsen telah diterima masuk ke Sepanyol dan kini berkhidmat sebagai jurulatih bola sepak di sana.

33dcd6b300000578-3575673-image-m-14_1462475671632

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s