Bagi anda yang mengikuti Facebook Syed Azmi, aktivis sosial yang popular dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan, pasti anda tahu baru-baru ini beliau telah membuat satu pos berkaitan dengan isu pedofilia. Dalam pos tersebut, beliau menunjukkan tangkapan skrin daripada satu laman web mikroblog yang memaparkan beberapa komen terhadap video perlakuan jenayah pedofilia. Berdasarkan penerangan Syed, video tersebut berbahasa Malaysia dan inanya boleh diakses secara bebas oleh sesiapa sahaja tanpa ada apa-apa sekatan, bahkan tidak perlukan pendaftaran, yang boleh diterjemahkan sebagai betapa lemahnya kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang kita terhadap jenayah ini. Sifirnya mudah, penjenayah tidak akan rasa perlu berhati-hati sekiranya tidak terancam dengan penguatkuasaan undang-undang.

Berbalik kepada pos Syed, beliau bertanyakan pendapat kepada pembaca apakah tindakan yang boleh dilakukan (selain daripada melaporkan pada pihak PDRM, untuk makluman, beliau sudah pun memaklumkan sendiri kepada mereka), termasuk menggodam akaun penulis-penulis komen di laman tersebut dan mendedahkan identiti mereka secara terbuka (public shaming).

Saya tidak rasa terkejut apabila membaca betapa ramainya orang yang menyokong perbuatan public shaming tersebut, saya tahu kebanyakan pembaca berasa marah dengan perlakuan dan pembudayaan jenayah tersebut (saya gunakan istilah pembudayaan kerana apabila ada laman mikroblog yang aktif dengan komen-komen, maknanya ada satu komuniti pengguna internet di Malaysia yang membudayakan jenayah pedofilia). Saya sebagai seorang bapa terhadap dua anak kecil, tidak boleh menafikan saya juga marah, takut dan rasa terancam dengan kelompok penjenayah ini. Namun saya tidak boleh menyembunyikan kegusaran saya terhadap betapa mudahnya sebahagian kita yang mengikuti rasa marah mereka sehingga terlalai daripada memikirkan apakah kesannya negatif yang boleh timbul daripada membudayakan public shaming.

Merasa ok mengamalkan public shaming bagi kes-kes seperti ini akan menggalakkan orang ramai merasa ok dengan mengambil tindakan undang-undang tersendiri. Dan kita tidak ada kawalan terhadap apa yang akan berlaku selepas maklumat peribadi orang yang dedahkan tadi sampai ke skrin orang ramai, ianya nampak ok kalau kita anggap orang akan gunakan maklumat tersebut untuk dilaporkan pada pihak berkuasa, namun adakah ianya hanya akan terhentu di situ? Bagaimana jika ada orang mengambil tindakan sendiri menyerang, memecah masuk premis, atau lebih teruk membunuh individu yang kita dedahkan tadi?

Jika anda rasa ianya ok, mereka memang layak dilanyak kerana jenayah mereka, ‘hukum karma’ kata sesetengah orang, maknanya anda tergolong dalam orang yang saya katakan sebagai merasa ok dengan mengambil tindakan undang-undang sendiri. Oleh kerana kes jenayah pedofilia adalah sangat kejam, saya tak salahkan anda untuk rasa sebegitu.

Namun, izinkan saya untuk cadangkan beberapa situasi yang boleh berlaku;

  • Bagaimana jika orang yang kita tuduh itu bukanlah pelaku jenayah pedofil?
  • Bagaimana kalau penggodam melakukan kesilapan semasa mencari identiti pelaku jenayah?
  • Bagaimana kalau ada orang lain membuat akaun palsu untuk jatuhkan seterunya?
  • Bagaimana kalau penulis komen yang kita dedahkan sebenarnya adalah kanak-kanak mangsa pedofilia yang tidak tahu pedofilia adalah satu jenayah?

Fikirkan pula sekiranya tangan kita turut terlibat sama menyebarkan maklumat peribadi mereka, kita rasa kita sudah melakukan keadilan sosial, tetapi mereka yang tidak bersalah terpaksa menanggung kesan ‘keadilan’ kita.

Tadi saya katakan merasa ok dengan public shaming akan menggalakkan orang mengambil tindakan undang-undang sendiri. Namun yang lebih tepat, apabila kita melakukan public shaming, kita telah pun mengambil tindakan undang-undang sendiri. Kitalah hakim, kita jatuhkan hukuman public shaming.  Kitalah pelaksana hukuman, kita laksanakan public shaming. Bahkan jika sendiri yang godam, kitalah juga penyiasat. Siapa kita sebenarnya, besar sangat kuasa perundangan, Judge Dredd? Kalau macam tu, siapa yang akan pastikan siasatan kita betul? Siapa yang akan pastikan penghakiman kita adil? Siapa yang akan pastikan hukuman yang dijalankan sesuai dengan kesalahannya?

Maka, tolong, serahkan kuasa-kuasa tersebut pada pihaknya. Percayakan sistem perundangan yang sedia ada. Serahkan siasatan pada polis. Serahkan penghakiman pada mahkamah. Serahkan perlaksanaan hukuman pada badan perundangan yang sepatutnya.

Jika kita ada kemahiran, maklumat, dan apa-apa yang boleh membantu untuk mengenalpasti identiti penjenayah pedofilia, rujukkannya kepada pihak PDRM. Ya, saya ada tulis awal-awal tadi, penguatkuasaan di Malaysia masih lemah, tapi itu bukanlah alasan untuk mengabaikan pihak PDRM dan mengambil tindakan sendiri, bahkan inilah sepatutnya yang menjadi sebab kita kena bantu mereka.

Mungkin antara kita ada yang akan bertanya, jika public shaming tidak wajar dilakukan, bagaimana kita nak lindungi anak-anak kita daripada penjenayah pedofilia? Bukankah di negara-negara Barat, ada yang undang-undang yang mendaftarkan pesalah laku pedofilia untuk dirujuk oleh orang ramai?

Ya, betul, memang ada daftar tersebut. Bahkan ada tempat-tempat tertentu yang mewajibkan mereka yang telah disabitkan kesalahan dengan salah laku seksual seperti ini untuk memperkenalkan diri mereka kepada jiran setempat apabila mereka kembali ke masyarakat setelah dibebaskan daripada apa-apa hukuman yang telah dikenakan. Tujuannya adalah untuk memastikan penduduk setempat sedar di kalangan mereka ada pesalah laku seksual (dengan kata lain, jangan bagi anak-anak kita bersendirian dengan dia).

Namun jangan samakan daftar tersebut dengan tindakan public shaming oleh kita sendiri. Mereka yang diletakkan dalam senarai daftar tersebut telah dibicarakan dalam mahkamah dan disabitkan hukuman, maka layaklah mereka diperbuat begitu untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Adakah terdapat undang-undang tersebut di Malaysia? Saya tidak tahu, mungkin ada, mungkin tidak. Tapi, kenapa tidak kita ambil tindakan proaktif. Tulis surat pada ahli parlimen dan dewan undangan masing-masing, desak mereka untuk gubal polisi seperti ini. Tak, bukan tulis komen di Facebook. Tulis surat kepada mereka yang menggubal undang-undang negara, bukan Mark Zuckerberg.

Buatlah sesuatu yang memberi kesan.

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s