Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2007 menunjukkan kanser adalah penyebab kematian ketiga tertinggi pada tahun tersebut, di bawah sakit jantung dan septisemia (penerangan mudah: jangkitan bakteria). Daripada 10 punca kematian tertinggi rakyat Malaysia tahun 2007, 11.28 % kematian adalah disebabkan kanser, jauh meninggalkan kemalangan, 5.20 %, dengan kata lain, berdasarkan statistik, kita berkemungkinan mati disebabkan kanser dua kali ganda berbanding terlibat dalam kemalangan maut.

Capture

Jika anda merasakan statistik pada tahun 2007 adalah tidak sesuai untuk dibandingkan pada tahun 2016, ya, saya setuju, hampir sedekad telah berlalu, pasti statistik tersebut tidak begitu relevan. Masalahnya, saya tidak dapat menemukan statistik jumlah pesakit kanser selepas tahun 2007, sebab data tersebut memang tidak dikemaskini, seperti yang diakui sendiri oleh pengarah Majlis Kanser Nasional pada tahun lepas. Kenapa? Maaf saya tak tahu, cuma yang saya tahu, Chua Soi Lek telah letak jawatan pada Januari 2008, kemudiannya digantikan dengan Liow Tiong Lai dan kini Subramaniam Sathasivam sejak 2013. Ada kaitan ke, siapa tahu? Apa pun, data tersebut penting untuk kita lihat perkembangan dan hala tuju perubatan kanser di Malaysia.

Berbalik kepada topik kanser, walaupun kita tidak tahu adakah penyakit itu masih merupakan punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia, ia masih merupakan penyakit yang ‘popular’, saya berkeyakinan tinggi anda biasa mendengar perkataan ‘kanser’, mungkin ada ahli keluarga atau kenalan kita yang menghidapinya, mungkin kita sendiri menghidapinya, ataupun kita jumpa pada iklan-iklan di gerai makan. Hampir setiap pes jus durian belanda ditempek dengan cop ‘anti-kanser’. Pakar-pakar rawatan kanser alternatif juga tumbuh ibarat kulapok pada baju berpeluh yang terperam bawah tangga, datangnya mereka secara mendadak saban hari dengan pelbagai kaedah yang menimbulkan kemusykilan.

Saya berpendapat, dengan maklumat yang betul kita boleh tentukan sendiri kaedah rawatan atau ubat-ubatan yang ditawarkan oleh sesiapun adalah bersesuaian dengan sifat penyakit itu sendiri, maka, dalam artikel ini saya akan ceritakan secara layman apa yang kita telah tahu tentang penyakit kanser berdasarkan kajian saintifik, seterusnya, apakah rawatan yang ditawarkan oleh perubatan moden, dan diikuti dengan masa depan perubatan kanser.

Apa itu kanser?

Salah satu kesalahfahaman tentang kanser yang boleh dikesan di pelbagai media adalah apabila satu pihak mendakwa telah menemukan ubat mujarab bagi penyakit kanser, hal ini kerana kanser bukanlah SATU penyakit. Malah, perkataan kanser sebenarnya merujuk pada pelbagai keadaan penyakit pada tubuh badan manusia yang berkongsi sedikit persamaan, maka adalah mustahil satu ubat ataupun bahan boleh digunakan untuk merawat semua keadaan tersebut, termasuklah durian belanda dan daun rerama.

Apakah persamaan antara semua jenis kanser? Pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Sel-sel dalam tubuh badan kita mempunyai kadar pertumbuhan tertentu yang seimbang dengan keperluan dan fungsi anggota tubuh badan. Sel-sel lapisan dalam perut misalnya bertumbuh dengan cepat untuk menggantikan sel-sel yang rosak akibat hakisan asid perut. Pertumbuhan sel berlaku dengan cara pembahagian sel, proses ini dipanggil mitosis, iaitu sel induk akan membahagi kepada dua bahagian, membentuk dua sel anak.

Apakah punca sel-sel bertumbuh di luar kawalan? Jawabnya, apabila berlaku mutasi genetik terhadap sel-sel tersebut. Setiap nukleus sel manusia mengandungi 23 pasang kromosom yang terdiri daripada rantaian gen (gene). Gen terbentuk daripada jujukan asid deoksibonukleik (deoxyribonucleic acid, DNA) dan setiap jujukan adalah terbentuk daripada sebatian kimia yang dikenali sebagai nukleotida (nucleotide), kesemuanya ini berfungsi sebagai kod arahan bagi setiap sel untuk melaksanakan tugasan hariannya seperti menjalankan respirasi, menghasilkan protein ataupun mereplikasikan dirinya. Atas sebab-sebab tertentu, gen boleh bermutasi, menyebabkan kod arahan yang sedia ada berubah, jika perubahan tersebut menyebabkan satu sel mereplikasikan dirinya tanpa kawal, maka sel tersebut sudah menjadi sel kanser. Sel kanser akan terus bertumbuh tanpa henti sehingga mengancam tisu-tisu lain, merosakkan organ dan mengganggu sistem tubuh badan manusia.

Satu sel sihat boleh menjadi sel kanser apabila terdapat sekurang-kuranngnya lima kombinasi mutasi genetik. Kombinasi ini tidak terhad, setiap bahagian gen dalam 23 pasang kromosom boleh terdedah kepada mutasi, menjadikan setiap kanser berpotensi berkembang dengan unik kerana setiap satunya berpunca daripada set kombinasi mutasi genetik yang berbeza-beza. Perkara inilah yang menyebabkan perubatan moden tidak mempunyai ubat yang boleh merawat kanser dengan benar-benar berkesan. Jika semua tumor kanser berfungsi dengan cara yang sama, nescaya kita sudah menemukan penawar ajaib kanser. Namun realitinya, tidak pelik untuk kita temukan dua pesakit kanser tiroid makan ubat yang sama, tetapi cuma seorang sahaja yang pulih.

Pada masa ini, para saintis telah menemukan dua mutasi genetik yang kerap terlibat dalam kombinasi mutasi sel kanser, iaitu mutasi onkogen (oncogene) dan gen peredam tumor (tumor suppressor).

  1. Onkogen adalah mutasi terhadap gen yang bertanggungjawab memberikan arahan untuk satu-satu sel mereplikasi, gen ini biasanya berada dalam keadaan terpendam, tidak aktif, namun pendedahan terhadap agen mutasi akan menyebabkan gen ini menjadi aktif, mengarahkan sel tersebut untuk terus menerus mereplikasi tanpa henti.
  2. Gen peredam tumor pula adalah gen yang bertanggungjawab menghentikan replikasi sel. Berbeza dengan mutasi onkogen yang menggalakkan keaktifan gen, mutasi yang berlaku pada gen peredam tumor akan menyebabkannya tidak lagi berfungsi, menjadikan satu-satu sel tidak dapat berhenti daripada mereplikasi.

Kaedah rawatan perubatan moden

Oleh sebab tidak ada rawatan yang boleh dilakukan terhadap sel kanser secara terus, kaedah rawatan moden lebih memfokuskan kepada membuang atau memusnahkan sel kanser sebelum ia merebak sehingga mengancam nyawa. Tiga kaedah ini biasanya ditawarkan kepada pesakit kanser bergantung pada faktor umur, jenis kanser, dan masalah-masalah kesihatan yang lain; pembedahan, kimoterapi, radioterapi.

  1. Apa lagi kaedah yang paling jelas membuang sel kanser selain daripada pembedahan? Ambil pisau bedah, potong bahagian yang berkenaan, selesai! Cuma malangnya tidak semudah itu, bukan semua sel kanser boleh dibuang dengan selamat melalui pembedahan, malahan jika boleh pun, terdapat laporan sel kanser yang muncul semula tidak lama selepas itu.
  2. Jika kaedah fizikal tidak sesuai, kenapa tidak gunakan kaedah kimia? Kimoterapi adalah kaedah merawat kanser menggunakan ubat-ubatan yang memfokuskan kepada memusnahkan sel-sel kanser. Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang boleh digunakan, bergantung pada keadaan pesakit dan stok ubat-ubatan yang ada. Ubat-ubat ini akan menyerang sel-sel yang sentiasa mereplikasi, seperti sel kanser, namun, dalam badan kita, terdapat juga sel-sel sihat yang aktif mereplikasi seperti sel lapisan perut dan sel folikel rambut. Maka, keguguran rambut dan masalah pencernaan adalah antara kesan sampingan biasa di samping kesan-kesan lain pengambilan ubat-ubatan kimoterapi.
  3. Radioterapi adalah alternatif seterusnya dalam merawat kanser. Sinaran pengionan (ionizing radiation) digunakan dalam rawatan ini untuk merosakkan DNA sel kanser. Sinaran ini cukup bertenaga sehingga boleh memaksa elektron keluar daripada petala atom-atom dalam rantaian DNA, mengionkan atom-atom tersebut. Kerosakan ketara terhadap struktur gen sel-sel kanser akan menyebabkannya terpendam dan tidak boleh mereplikasi. Beberapa mekanisme yang berbeza-beza digunakan untuk memastikan kerosakan sel-sel sihat dapat diminimakan, antaranya dengan menggunakan tiga sumber pancaran sinaran berkeamatan rendah yang difokuskan pada bahagian sel kanser.

Hala tuju ke depan

Kaedah rawatan moden hari ini berkesan merawat kanser walaupun kaedahnya turut memberi risiko kepada tubuh badan pesakit. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk menemukan alternatif yang lebih rendah kesan sampingannya tetapi efektif.

Terdapat satu konsep baru dalam perubatan kanser yang sedang giat dibangunkan, iaitu pengaplikasian teknologi penjujukan genom (genome sequencing) untuk merawat kanser. Para saintis memetakan bila dan bagaimana mutasi genetik berlaku, dengan pangkalan data yang ada, mereka boleh mencari ubat yang paling efektif untuk merawat kanser yang dihidapi pesakit. Berbanding dengan kaedah kimoterapi yang menggunakan ubat yang menyerang semua sel dalam tubuh badan, kaedah ini membolehkan pihak farmaseutikal menghasilkan ubat yang spesifik bagi merawat mutasi sel kanser. Dua projek besar yang mengendalikan kajian ini adalah Cancer Genome Project dan Cancer Cell Line Encyclopaedia.

Kesimpulan

Kanser adalah penyakit yang sangat kompleks disebabkan puncanya yang berasal daripada kombinasi mutasi genetik. Tidak mustahil sebenarnya setiap pesakit kanser dalam dunia ini mempunyai jenis penyakit kanser yang tersendiri. Oleh sebab itu, adalah mustahil untuk merawat segala jenis kanser dengan satu kaedah rawatan. Sokonglah kajian-kajian rawatan kanser untuk kebaikan generasi akan datang dengan cara menderma kepada dana-dana kajian kanser. Pelajari dengan betul dapatan saintifik tentang kanser daripada sumber-sumber yang sah, jangan biarkan diri kita diambil kesempatan oleh penipu yang tidak malu mengambil keuntungan daripada musibah yang menimpa orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s