Sehingga 25 Ogos 2016, kes jangkitan difteria di Malaysia terus meningkat sehingga 28 kes dengan 5 kematian. Sejak pelalian difteria diperkenalkan di Malaysia melalui Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada tahun 1972, kes difteria telah menurun dengan mendadak. Sebelum ini, dalam kiraan 5 tahun ke belakang, kes difteria tertinggi yang dicatatkan adalah pada tahun 2013, iaitu 4 kes dengan 2 kematian. Tahun ini kita telah menyaksikan peningkatan yang sangat mendadak berbanding dengan tahun 2013, sehingga 700%. Tren ini tidak dapat kita nafikan sebagai kesan kegagalan keimunan gerompok (herd immunity) akibat peningkatan jumlah anak-anak yang tidak divaksinkan ibu bapa mereka. Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, bagi membolehkan imunisasi gerompok berkesan, kita memerlukan sehingga 95% daripada jumlah populasi dalam satu-satu komuniti mendapat imunisasi yang lengkap.

Kes terbaru disahkan berlaku di Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah membuat laporan rasmi bertarikh 25 Ogos. Kes ini melibatkan seorang kanak-kanak warganegara berumur 4 tahun. Anak ini telah mengalami simptom demam, batuk, dan sakit tekak sejak 12 Ogos dan dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 17 Ogos. Anak ini berbasib baik kerana walaupun disahkan menghidapi difteria, simptom yang dialaminya tidak serius dan hanya perlu dirawat dengan ubat antibiotik, kerana telah mendapat imunisasi lengkap sebelum ini.

Tidak lama sebelum ini, pada 23 Ogos 2016, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengisytiharkan kes pertama difteria di negeri ini. Pesakit adalah seorang kanak-kanak warganegara berumur 3 tahun. Anak kecil ini tidak pernah mendapat imunisasi kerana ibu bapanya menolak penggunaan vaksin hospital. Keluarga ini juga dilaporkan mengamalkan perubatan homeopati. Kesannya, anak ini mula mengalami simptom demam, batuk, dan muntah pada 13 Ogos sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 18 Ogos kerana mengalami masalah kesesakan nafas. Keadaannya yang kritikal menyebabkan anak ini terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit, ICU). Anak ini telah dirawat dengan ubat antitoksin dan sehingga kenyataan akhbar pada tarikh 23 Ogos, masih menerima rawatan antibiotik.

Apakah itu difteria?

Difteria adalah jangkitan bakteria yang serius dan sangat mudah berpindah daripada satu orang kepada satu orang yang lain. Jangkitan ini akan menjejaskan membran mukus di hidung dan tekak. Difteria jika tidak dirawat akan menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap jantung, sistem saraf, dan ginjal.

Difteria disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphtheria. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan manusia ke manusia, ataupun sentuhan objek-objek yang sudah dicemari bakteria tersebut, seperti cawan dan tisu terpakai. Seseorang juga boleh dijangkiti bakteria ini jika berada dalam jarak berdekatan dengan mereka yang telah dijangkiti ketika mereka bersin, batuk, atau menghembuskan hingus. Seseorang yang telah dijangkiti boleh menyebarkan bakteria sehingga 6 minggu sejak dijangkiti sebelum simptom mula kelihatan.

Apabila menjangkiti, bakteria Corynebacterium diphtheria akan menghasilkan toksin yang akan tersebar melalui salur darah, menghasilkan selaput tebal bewarna kelabu di hidung, tengkuk, lidah dan saluran pernafasan. Kehadiran selaput ini akan menyebabkan gangguan pernafasan dan kesukaran menelan. Selain itu, toksin yang dihasilkan juga boleh menyebabkan kerosakan terhadap jantung, ginjal dan otak. Kerosakan organ-organ ini boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa seperti kelumpuhan, pembengkakan jantung, dan kegagalan fungsi ginjal. Di Malaysia, kadar kematian disebabkan difteria mencecah 50%.

Rawatan dan pencegahan

Difteria adalah penyakit yang serius, oleh itu, doktor akan mengambil tindakan dengan cepat dan agresif apabila anda disyaki menghidapinya. Dalam sesetengah kes, doktor terus memulakan rawatan walaupun belum mendapat pengesahan ujian makmal bagi mengelakkan kematian pesakit. Diagnosis awal yang biasa digunakan doktor adalah melihat kehadiran selaput kelabu yang dihasilkan oleh toksin bakteria.

Rawatan awal yang biasa dijalankan terhadap pesakit adalah suntikan antitoksin, seperti namanya, bahan yang disuntik ini bertujuan untuk meneutralkan toksin yang telah terkumpul dalam sistem badan anda. Terdapat kes pesakit yang mempunyai alahan terhadap ubat antitoksin, bagi kes ini, pesakit mesti memaklumkan dahulu kepada doktor bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini, antara pilihan yang ada bagi menjalankan rawatan adalah penggunaan dos kecil yang akan ditingkatkan secara beransur-ansur.

Bagi merawat jangkitan bakteria, doktor akan mempreskripsikan ubat antibiotik seperti eritromisin (erythromycin) dan penisilin (penicillin). Ubat antibiotik akan membunuh bakteria Corynebacterium diphtheria membersihkan tubuh badan pesakit daripada kehadirannya. Sepanjang rawatan dijalankan, kebiasaannya pesakit akan dimasukkan dalam wad bagi mengelakkan jangkitan berlaku kepada orang lain.

Difteria boleh dicegah melalui imunsasi vaksin. Di Malaysia, vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan bagi difteria ialah vaksin DTaP-IPV/Hib, vaksin lima serangkai yang berfungsi untuk mencegah jangkitan difteria, pertusis, tetanus, polio dan selsema haemofilia jenis b. Berdasarkan jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2016, suntikan dos utama DTaP-IPV/Hib akan dilakukan ketika bayi berumur 2, 3, dan 5 bulan, manakala suntikan penggalak akan diberikan ketika bayi berumur 18 bulan.

Terdapat peratusan kecil kesan alahan daripada suntikan DTaP-IPV/Hib yang mengakibatkan sawan dan kegatalan kulit. Namun begitu, kedua-dua kesan ini akan beransur-ansur hilang dengan sendirinya.

Terdapat juga kemungkinan mereka yang telah mendapat imunisasi lengkap masih dijangkiti penyakit ini, namun mereka hanya akan mengalami simptom ringan dan tidak akan mengalami komplikasi yang berbahaya. Situasi ini boleh berlaku disebabkan kemasukan bakteria ke dalam tubuh badan dengan jumlah yang tinggi sehingga antibodi yang sedia ada tidak mencukupi.

Secara umumnya, perbandingan kos antara rawatan ubat antitoksin dan pencegahan vaksin akan memperlihatkan kos rawatan jauh lebih tinggi berbanding kos pencegahan. Di Malaysia, kos ubat antitoksin mencecah RM 500 sebotol dan lazimnya pesakit akan memerlukan 7 hingga 8 botol, menjadikan kos rawatan antitoksin sahaja adalah antara RM 3500 hingga RM 4000. Kos ini adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan kos satu dos vaksin yang hanya sekitar RM 34 sahaja. Bagi satu imunisasi lengkap sehingga bayi umur 18 bulan, 4 dos vaksin akan digunakan, menjadikan kos keseluruhan adalah sekitar RM 136 sahaja.

Kesimpulan

Apa yang kita tahu, difteria adalah penyakit jangkitan bakteria yang boleh membawa kematian. Namun rawatan awal serta pencegahan imunisasi boleh menyelamatkan nyawa. Pencegahan melalui imunisasi vaksin adalah pilihan yang terbaik untuk semua pihak, memandangkan kosnya yang jauh lebih murah, malahan, jika dijangkiti penyakit ini sekalipun, komplikasi berbahaya dapat dielakkan.

Oleh itu, ibu bapa yang serius dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi anak mereka mestilah mendapatkan suntikan vaksin 5 serangkai yang lengkap.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s