Sekarang sedang heboh kes salah laku seksual di sebuah maahad tahfiz di Perak. Saya yakin anda sudah sedia maklum dengan kes tersebut, jika tidak, tak apa, saya juga yakin anda boleh dapatkan maklumat tersebut dengam mudah di internet. Cuma pastikan anda mempunyai keupayaan yang baik untuk menapis maklumat yang dipaparkan, dibimbangi ada penulis yang suka tambah ‘mononatrium glutamat’ untuk menyedapkan cerita masing-masing.

Saya rasa tidak keterlaluan jika saya katakan ada dua individu yang bertanggungjawab mendedahkan kes ini kepada umum beberapa minggu lalu, iaitu Wardina Safiyyah dan Syed Azmi. Pendedahan ini bermula apabila ibu salah seorang mangsa menghubungi Wardina dan Syed secara beransingan untuk berkongsi kisah yang berlaku pada anaknya. Wardina dan Syed kemudiannya kongsikan pendedahan yang diberikan oleh ibu tersebut untuk menyedarkan orang ramai bahawa berlakunya kes salah laku seksual di sebuah sekolah tahfiz.

Untuk maklumat anda, kedua-dua mereka sebelum ini telah pun mendedahkan pelbagai kes salah laku seksual terhadap kanak-kanak. Wardina melalui laman rasminya Wardina Safiyyah OfficialPage telah banyak kongsikan pengalaman-pengalaman yang diceritakan mangsa salah laku seksual pedofilia. Syed Azmi melalui profil Facebook peribadinya juga telah banyak berkongsi mesej-mesej kesedaran tentang gejala salah laku pedofilia yang berlaku di Malaysia, antaranya (seperti yang pernah saya sentuh dalam artikel Pedofilia: Kenapa ‘Public Shaming’ Tidak OK)  adalah isu mikroblog pedofilia dari Malaysia yang boleh diakses secara bebas. Maka tidak hairanlah ibu kepada mangsa menghubungi mereka berdua untuk mendedahkan kes tersebut.

Bagi saya, pendedahan yang dilakukan kedua-dua mereka jelas bertujuan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat. Namun di kalangan orang ramai, terdapat beberapa respon yang saya fikir tidak sesuai dengan mesej ingin yang disampaikan. Berikut saya senaraikan respon yang saya maksudkan dan kenapa ia adalah respon yang bermasalah:

1. Bertanyakan/mendedahkan identiti sekolah/pelaku.

Mendedahkan identiti institusi yang terlibat ataupun pelaku satu-satu isu yang dihebahkan bukanlah perlakuan yang baik. Saya faham kita semua rasa terancam dengan kes-kes salah laku seksual seperti pedofilia dan mahukan kepastian sama ada ahli keluarga kita turut terlibat. Malah, memang itulah tujuan kempen kesedaran dilakukan. Namun sebenarnya, apa yang kita akan dapat jika nama sekolah/pelaku dihebahkan sekalipun? Adakah kita akan rasa selamat sebab sekolah tersebut bukan sekolah ahli keluarga kita? Tidak juga, boleh jadi kes yang serupa berlaku di sekolah mereka.

Kemudian, bukan hak kita untuk dedahkan ataupun didedahkan dengan maklumat tersebut selagi ianya masih dalam siasatan. Malah pendedahan seperti ini boleh mengganggu penyiasatan yang dijalankan. Kita cuma didedahkan kisah daripada satu pihak sahaja, maka biarlah polis menjalankan tugasan mereka untuk dapatkan situasi sebenar, dan jika hasil siasatan mereka mendapati kes tersebut berlaku, mereka akan dakwa pesalah di mahkamah, bukan kita! Malahan, boleh jadi hasil siasatan mendapati kes tersebut tidak berlaku, jadi, bagaimana dengan nama institusi/individu yang telah kita hebahkan?

Nota sisi 1: Sekiranya kes tersebut tidak berlaku, adakah bermakna mesej kesedaran yang dibuat oleh Syed dan Wardina boleh diabaikan? Tidak! Sejak awal pendedahan yang mereka lakukan bukanlah untuk menuduh satu-satu institusi, sebaliknya untuk kita ambil perhatian dan tindakan; berkomunikasi dengan ahli keluarga kita, pastikan mereka tidak dimangsakan oleh pelajar-pelajar di sekolah mereka. 

Ada individu yang mendakwa jika nama sekolah tidak dihebahkan, orang ramai akan mula meneka-neka sekolah tersebut dan akan menimbulkan ‘fitnah’. Ya, sebab itulah saya rasa perlu kita sedar yang kita tak perlu tahu nama sekolah tersebut. Apabila kita semua sedar nama sekolah tidak relevan, maka tidak ada keperluan lagi untuk meneka-neka sekolah yang terlibat. Bahkan, sekali lagi saya nak ingatkan, tujuan kempen kesedaran adalah untuk kita ambil perhatian dan tindakan untuk menjaga keselamatan mereka yang terdekat dengan kita, bukan untuk kita jadi penyiasat tanpa gaji!

Maka, tolonglah, jangan tanya atau dedahkan nama institusi untuk apa-apa kes pada masa depan.

2. Meremehkan pendedahan. 

Terdapat sebahagian individu yang meremehkan isu pendedahan kes salah laku pedofilia di sekolah. Ada yang beralasan isu itu sudah lama berlaku, semua orang sudah tahu. Ada yang beralasan kes itu sudah selesai. Ada yang beralasan lebih baik fokuskan pada isu-isu yang lebih penting. Saya tak tahu kenapa ada orang yang berfikir seperti ini, mungkin mereka rasa kehipsteran mereka meningkat apabila mereka lain dari yang lain. Entahlah. Apa pun saya akan menjawab alasan-alasan mereka dengan ringkas di sini:

Jika kes-kes seperti ini sudah lama berlaku dan sehingga sekarang masih berlaku, maka memang sangat diperlukan isu-isu ini dihangatkan supaya ia diselesaikan dan tidak berulang lagi. Sepatutnya, apabila satu masalah telah lama berlaku, kita patut mengambil langkah yang lebih drastik untuk selesaikannya, bukannya memperlekehkannya.

Jika kes ini sudah selesai (sebenarnya belum, ia masih dalam siasatan sehingga hari ini), maka saya cuma nak ingatkan kembali, kempen kesedaran bukan spesifik untuk kes maahad tahfiz di Perak itu sahaja. Kempen kesedaran bersifat umum. Bahkan jika anda ikuti pos-pos di profil Syed Azmi, sehingga hari ini, beliau telah mendedahkan sekurang-kurangnya tiga kes pencabulan seksual yang melibatkan tiga institusi yang berbeza. Selagi kedengaran berlaku gejala salah laku seperti ini, selagi itulah masalah ini belum selesai dan kita kena ambil langkah berjaga-jaga.

Jika anda rasa ada isu yang lebih penting, maka anda fokuskanlah pada isu tersebut, kenapa perlu halang orang lain buat sesuatu yang mereka juga rasa penting. Perspektif kita berbeza-beza. Semua orang rasa isu mereka lebih penting, tak apa, buatlah apa yang anda rasa penting, biar kami buat apa yang kami rasa penting. Cuma, cuba bayangkan jika anak anda telah menjadi mangsa pencabulan seksual, bukankah anda juga berharap, alangkah baiknya seseorang telah peringatkan anda untuk ambil langkah berjaga-jaga untuk mencegahnya?

3. Mengaitkan isu yang tidak berkenaan.

Respon jenis ini adalah respon yang paling teruk! Tidak sedikit respon yang saya baca menuduh pendedahan perilaku seksual di sekolah tahfiz akan mencemarkan nama agama Islam. Saya hairan, semasa kes pedofilia Richard Huckle dihebahkan media tempoh hari, tidak kedengaran suara penganut Kristian yang mengatakan pendedahan kes ini mencemarkan nama agama Kristian (Huckle menggunakan posisinya sebagai sukarelawan Kristian untuk memasuki komuniti Kristian miskin di negara-negara Asia Tenggara).

Mendedahkan perlakuan individu dalam satu-satu institusi tidak sepatutnya dikaitkan dengan mencemarkan nama apa-apa identiti keagamaan yang berkait dengan individu dan institusi tersebut. Saya tak boleh terima logik seperti ini; mendedahkan kes percubaan meliwat dan salah laku seksual di sekolah tahfiz bersamaan dengan menuduh sekolah tahfiz adalah sarang peliwat.

Jika betul pun kita bimbang nama Islam dicemarkan, ketahuilah, yang merosakkan nama Islam bukanlah pendedahan, tetapi perlakuan mereka menggunakan agama ini untuk melindungi perbuatan jahat mereka. Orang bukan Islam akan hilang hormat pada Islam jika orang Islam tidak tegas terhadap institusi beridentitikan agama. Mereka akan beranggapan’orang agama’ bebas melakukan apa-apa kesalahan tanpa perlu risaukan tindakan undang-undang kerana orang Islam takut untuk mengambil tindakan terhadap mereka. Jika betul kita sayangkan agama ini, kita patutnya menjadi lebih tegas untuk membersihkan institusi sekolah beridentitikan agama daripada anasir-anasir seperti ini.

Berbalik kepad tujuan asal pendedahan kes-kes seperti ini, sekali lagi saya mahu tekankan, objektif yang mahu dicapai adalah untuk kita sedar kes salah laku seksual boleh berlaku di sekolah berasrama, maahad tahfiz juga tidak terkecuali. Jika anda rasa bimbang dengan kes ini, maknanya kempen kesedaran ini berjaya, tindakan seterusnya adalah dengan memastikan ahli keluarga anda selamat daripada ancaman pembuli seksual. Ajar anak-anak untuk mengenalpasti kelakuan-kelakuan seksual seperti mencium mulut, dibogelkan, menyentuh/disentuh kemaluan, dan sebagainya. Didik mereka untuk tidak berdiam diri apabila diperlakukan sedemikian.

Jika mereka juga telah menjadi mangsa, berikan sokongan terhadap mereka, bawa ke klinik dapatkan bantuan psikiatrik dan laporkan juga kepada pihak polis. Kes ini akan diuruskan oleh D11 – Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-kanak di bawah Jabatan Siatan Jenayah. Semasa memberi keterangan kepada pihak polis, mereka mungkin akan terpaksa mengingat kembali saat-saat trauma yang telah mereka lalui, namun, itu adalah sedikit harga yang perlu dibayar untuk memastikan mereka dibela dan penjenayah yang menzalimi mereka tidak terus bebas melakukan jenayah tersebut.

Nota sisi 2: Satu laporan polis telah dibuat oleh Kazim Elias (pemilik sekolah tahfiz yang didedahkan) terhadap Wardina dan Syed atas dakwaan membuat komen-komen negatif sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama terkenal. Sepanjang saya ikuti pendedahan kes ini, sama ada melalui Wardina ataupun Syed, tidak sedikit pun mereka mengidentitikan sekolah tahfiz dan pemiliknya. Malahan kedua-duanya terus menerus menyatakan bukan hak mereka untuk dedahkan sekolah tahfiz tersebut. Malangnya, ada individu-individu yang menggosipkan sekolah milik Kazim Elias sebagai tahfiz yang didedahkan. Saya simpati dengan Wardina dan Syed yang dimangsakan sedangkan mereka mendedahkan kes ini dengan berintegriti. Mereka mengambil tanggungjawab ini kerana mahu menyedarkan kita tentang gejala pedofilia, janganlah sampai sifat galak kita menyebabkan mereka menjadi mangsa. Janganlah sampai orang baik ‘letih’ berbuat baik.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s