Baru-baru ini satu kertas kajian telah diterbitkan berkenaan dengan penemuan sebuah eksoplanet (planet di luar sistem suria) yang mungkin boleh didiami manusia. Er, menyatakannya sebagai boleh didiami manusia adalah pernyataan yang agak keterlaluan. Namun data-data yang didapati ketika ini memberi isyarat yang positif dengan hipotesis kebolehan planet itu didiami.

proxima_rgb
Proxima Centauri – Teleskop Hubble

Planet Proxima B mengorbit bintang Proxima Centauri. Bintang kerdil merah yang lebih sejuk berbanding dengan Matahari. Bintang Proxima Centauri direkodkan sebagai bintang yang paling hampir dengan sistem solar, jaraknya dianggarkan 4.2 tahun cahaya (maknanya cahaya yang kita lihat daripada bintang itu sekarang adalah cahaya pada 4.2 tahun dahulu). Walaupun Proxima Centauri adalah bintang yang terdekat dengan kita, namun sukar untuk kita melihatnya melalui mata kasar atas beberapa faktor. Pertama, suhu permukaannya yang sejuk berbanding dengan bintang-bintang lain, menyebabkannya kurang menyerlah. Kedua, daripada perspektif bumi, kedudukan Proxima B berdekatan dengan dua bintang lain yang lebih besar dan cerah iaitu Alpha Centauri A dan B.

Picture saved with settings applied.
Imej Proxima Centauri dalam bulatan kecil bewarna merah yang ditenggelamkan oleh bintang Alpha Centauri A dan B.

Penemuan eksoplanet bukanlah sesuatu yang baru sebenarnya, eskoplanet pertama yang disahkan penemuannya adalah planet-planet pulsar yang mengorbit sebuah bintang neutron pada tahun 1992. Jika anda masih ingat, dalam subjek Sains tingkatan 3, anda telah pelajar bintang neutron adalah bintang bersaiz kecil (berjejari sekitar 11 km) dan terhasil daripada letupan supernova bintang gergasi dan diikuti dengan keruntuhan graviti. Pada tahun 1995, Dimidium (pada awalnya dikenali sebagai 51 Pegasi B), sebuah eksoplanet pertama yang ditemui mengorbit bintang yang serupa dengan Matahari, 51 Pegasi (juga dikenali sebagai Helvetios). Jarak bintang ini daripada sistem Solar adalah 50.9 tahun cahaya. Sejak itu ribuan eksoplanet mula ditemui oleh ahli astronomi. Bagaimanapun Proxima B mempunyai keunikan tersendiri sehingga menjadi tumpuan semasa dunia sains angkasa lepas.

Apakah keunikan yang terdapat pada Proxima B?

Data yang ada cenderung menunjukkan Proxima B adalah planet batuan dan mempunyai daratan seperti bumi, tidak seperti Musytari, planet hanya terbentuk daripada bebola gas, dengan saiz gergasi. Proxima B juga didapati mengorbit dalam zon yang boleh didiami, oleh itu, air berkemungkinan wujud dalam keadaan cecair pada permukaannya. Jika terlalu dekat dengan bintang, air akan meruap, jika terlalu jauh pula, air akan membeku. Saintis juga menemukan jisim Proxima B (7.76×1024 kg) hampir sama dengan jisim Bumi (5.97×1024 kg). Saiznya dianggarkan 30% lebih besar daripada Bumi, menjadikannya planet yang boleh dikategorikan sebagai planet menyerupai Bumi (kategori tersebut adalah bagi planet bersaiz 0.5 hingga 2 kali ganda saiz Bumi). Pastinya, keunikan utamanya adalah pada kedudukannya yang dekat dengan bumi berbanding eskoplanet-eksoplanet yang lain, menjadikannya calon eksoplanet yang praktikal untuk diterokai pada masa akan datang.

Walaupun terdapat beberapa persamaan antara Proxima B dan dan Bumi, terdapat juga perbezaan yang ketara. Jarak antara bintang Proxima Centauri dan planet Proxima B hanyalah 5 % daripada jarak antara Bumi dan Matahari, malah lebih dekat daripada jarak Matahari dan Merkuri (planet terdekat dengan Matahari) yang kira-kira 39 % daripada jarak Bumi dan Matahari. Namun jenis bintang yang menjadi pusat orbit bagi Proxima B dan Bumi adalah berbeza. Proxima Centauri adalah bintang kerdil merah berjisim rendah, tergolong dalam jenis-M, manakala Matahari pula adalah bintang kerdil kuning daripada jenis-G (Alpha Centauri A adalah antara bintang lain dalam kategori ini). Bintang jenis-M lebih sejuk berbanding jenis-G, maka kawasan yang boleh dididiami bagi Proxima Centauri lebih hampir jika dibandingkan dengan kawasan yang boleh didiami bagi Matahari. Keadaan ini membolehkan air pada permukaan Proxima B tidak tersejat dan kekal dalam keadaan cecair walaupun jaraknya lebih dekat dengan bintang pusat orbitnya. Para penyelidik menganggarkan suhu pada permukaan Proxima B adalah antara 31 hingga 40 ºC dengan kehadiran atmosfera atau -30 hingga -40 ºC tanpa atmosfera (sebagai perbandingan, suhu Bumi tanpa atmosfera dianggarkan mencapai -20 ºC).

Oleh kerana kedudukannya yang dekat dengan Proxima Centauri, Proxima B mempunyai saiz orbit yang kecil. Untuk melengkapi satu putaran orbitnya, Proxima B cuma pengambil masa 11 hari sahaja. Selain itu, kedudukan tersebut juga menyebabkan Proxima B menerima radiasi sinar ultra ungu (ultra violet rays) dan sinar-X (X-ray) 100 kali lebih tinggi daripada keamatan yang diterima oleh Bumi daripada Matahari (anggaran asal adalah 400 kali ganda dalam kertas kajian yang diterbitkan, tetapi dalam wawancara CNN, salah seorang penyelidik, Pedro Amado, menyatakan dapatan terbaru menunjukkan hanya 100 kali ganda sahaja).

Bagaimana penyelidik membuat penemuan Proxima B?

Penemuan eksoplanet bukanlah semudah mengintai langit dengan teleskop. Planet, bukan seperti bintang, tidak menyinarkan cahaya sendiri. Planet-planet dalam sistem suria boleh dilihat kerana jaraknya yang dekat dengan bumi membolehkan kita melihat pantulan cahaya Matahari pada permukaan planet-planet tersebut. Dalam kes Proxima B, para penyelidik belum dapat melihat jasad planet tersebut. Penemuannya dijalankan dengan melihat kesan tarikan graviti yang berlaku terhadap bintang Proxima Centauri apabila Proxima B mengelilinginya. Dalam 6 bulan pertama tahun ini, semua teleskop utama Bumi diarahkan menghala Proxima Centauri, para penyelidik memerhatikan ‘ayunan Doppler’ (Doppler wobble), iaitu pergerakan bintang yang pergi dan balik akibat graviti planet yang mengorbitnya.

Apabila satu-satu bintang di kelilingi oleh planet, planet tersebut juga akan menarik bintang tersebut, menyebabkannya bergerak sedikit. Maka bintang tersebut akan terayun menjauhi dan mendekati bumi dengan seragam. Daripada Bumi, kita tidak akan dapat melihat ayunan tersebut dengan jelas, tetapi yang dapat kita kesan adalah pada perubahan warna bintang tersebut. Apabila Proxima B mendekati bumi, warnanya akan kelihatan kebiruan, manakala ketika menjauhi Bumi, warnanya akan kelihatan kemerahan. Hal ini kerana apabila mendekati Bumi frekuensi gelombang cahaya daripada Proxima B menjadi lebih tinggi, dan apabila menjauhi Bumi frekeuensi gelombang cahaya menjadi lebih kecil. Dalam spektrum cahaya, warna kebiru-biruan mempunyai frekuensi yang lebih tinggi berbanding warna kemerah-merahan. Perubahan frekuensi disebabkan oleh pergerakan jasad bergelombang seperti ini dinamakan sebagai kesan Doppler (Doppler effect). Kita juga boleh merasai kesan ini apabila ambulan yang membunyikan sirennya melintasi kita, bunyi siren menjadi lebih nyaring (frekuensi tinggi) apabila ambulan mendekati kita berbanding dengan bunyi siren apabila ambulan tersebut menjauhi kita.

Hala tuju masa depan.

Para penyelidik berharap pada masa hadapan mereka dapat mengumpulkan lebih banyak data tentang Proxima B. Bagi mendapatkan data tersebut, teknologi yang ada sekarang belum dapat meyediakan kemudahan yang diperlukan. Namun, beberapa projek yang telah dijalankan sekarang berusaha memajukan teknologi yang sedia ada untuk membolehkan manusia terus meneroka alam angkasa lepas. Dua projek besar yang sedang berjalan sekarang adalah Mission Centaur dan Starshot.

Mission Centaur adalah organisasi tanpa keuntungan (nonprofit organisation) yang berpusat di Lembah Silikon. Mereka berhasrat untuk mendapatkan imej planet-planet yang mengorbit bintang-bintang di Alpha Centauri (Alpha Centauri A, Alpha Centauri B, dan Proxima Centauri).  Tujuannya adalah untuk meneroka dunia lain yang boleh didiami manusia. Dengan penemuan-penemuan seperti ini mereka berhasrat dapat menjadi perangsang bagi perubahan masyarakat dunia tentang kepentingan penerokaan angkasa lepas. Bagi merealisasikan hasrat mereka, mereka sedang membina sebuah teleskop pengimej berteknologi maju yang dijangka akan dilancarkan ke orbit rendah Bumi (low Earth orbit) pada tahun 2019.

Projek Starshot pula menyasarkan untuk membina dan menghantar kapal nano yang sangat ringan sehingga boleh dihantarkan menggunakan sinaran cahaya daripada Bumi. Dianggarkan masa yang perjalanan daripada Bumi ke Proxima Centauri mengambil masa 20 tahun, sebelum ia boleh berfungsi dan menghantar imej-imej yang telah dirakam ke Bumi. Projek Startshot disenaraikan dalam inisiatif Breakthrough, satu organisasi yang dipimpin oleh antaranya Stephen Hawking dan Mark Zuckerberg.

image3
Imaginasi artis terhadap pelancaran kapal nano menggunakan sinaran cahaya daripada Bumi melalui projek Starshot.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s