Ibarat Bulan jatuh ke Bumi.

Perumpamaan di atas bermaksud mendapat keuntungan yang besar. Mungkin kerana Bulan dilihat sebagai bebola bercahaya yang cantik, maka jika ia jatuh ke riba kita, kita akan memiliki satu objek yang sangat bernilai dan sukar dimiliki. Umpama batu geliga daripada perut naga, mungkin.

Cuma, sekiranya Bulan betul-betul jatuh ke riba seseorang, ‘keuntungan’ bukanlah perkara pertama yang akan kita fikirkan, sebaliknya, ‘kemusnahan peringkat global’. Dengan saiz dan jisimnya yang besar, kesan hentamannya pasti akan membawa kesan malapetaka yang boleh menyebabkan Bumi tidak boleh menampung kehidupan.

Tetapi jangan risau, sebenarnya, hampir mustahil untuk Bulan meninggalkan orbitnya dan menghentam permukaan Bumi. 

Kenapa?

Mari kita bincangkan dahulu sains di sebalik pengorbitan Bulan mengelilingi Bumi. 

Semasa saya di bangku sekolah, saya diajar dalam kelas Sains, Bumi mempunyai daya tarikan graviti ke arah pusat Bumi. 

Sebab itu bagi membolehkan satu-satu objek, contohnya kapal terbang atau helikopter, terbang, daya apungan ke atas perlu dihasilkan melalui penyesaran udara, menyebabkan berlakunya perbezaan tekanan (tekanan rendah di atas, tekanan tinggi di bawah). Daya apungan inilah akan melawan daya tarikan graviti yang menarik ke arah bawah (pusat Bumi). Saya belajar mengenai fenomena ini dalam kelas Fizik.

Daya apungan yang dihasilkan apabila kipas helikopter menyesarkan (memindahkan) udara di bahagian atas helikopter ke bahagian bawah, akan melawan daya tarikan graviti, membolehkan helikopter terapung.

Tetapi, Bulan berada di luar atmosfera Bumi. Tidak ada udara untuk disesarkan. Malah, Bulan juga tidak ada kelengkapan mekanik.(seperti kipas atau sayap) untuk menyesarkan udara.

Jika saya anggap Bulan tidak dipengaruhi graviti Bumi, kenapa Bulan tidak bebas bergerak meninggalkan Bumi? Kenapa masih mengorbit Bumi? Dan saya juga tahu yang fenomena air pasang surut juga adalah disebabkan kesan graviti Bulan. Kalau Bumi dipengaruhi oleh graviti Bulan, pasti Bulan juga terkesan dengan graviti Bumi. 

Oleh itu, saya boleh simpulkan;

  1. Bulan tidak boleh terbang.
  2. Graviti Bumi mempengaruhi peredaran Bulan.

Oleh itu, mungkin kunci jawapan kepada soalan kita terletak kepada memahami kesan tarikan graviti Bumi kepada satu objek. 

Mari kita buat satu eksperimen.

Bayangkan pada tangan anda ada seketul batu. Anda lontarkan batu itu ke atas. Graviti akan menyebabkan batu itu jatuh ke arah anda semula, betul?

Slide1

Bayangkan pula, anda ambil batu tersebut, dan lontarkan ke depan anda. Batu tersebut akan bergerak dalam bentuk lengkungan, naik ke atas dan turun ke bawah, di hadapan anda. Sekarang, batu tersebut berada beberapa langkah di hadapan anda.

Slide2

Daya yang anda kenakan pada batu tersebut semasa melontarkannya bukan sahaja menyebabkannya bergerak ke atas tetapi juga ke depan. Daya graviti menghalang batu tersebut daripada terus bergerak ke atas, menarik batu itu ke arah pusat Bumi, menyebabkan batu itu jatuh beberapa langkah di hadapan anda.

Anda ambil batu itu semula, dan lontarkan dengan lebih kuat. Anda akan perhatikan batu itu bergerak dalam bentuk lengkungan yang lebih besar dan jatuh lebih jauh beberapa langkah daripada lontarkan sebelumnya. Betul?

Slide3

Baik.

Sekarang, bayangkan anda ada kekuatan luar biasa. Mungkin anda terdedah kepada sinaran gamma atau lahir di Planet Kripton atau makan muntah hantu sungai. Anda lontarkan batu itu sekuat hati anda. Apa yang akan berlaku?

Batu itu akan tercampak jauh ke arah atas dan ke depan, melepasi atmosfera Bumi. Namun, tarikan graviti tetap bertindak terhadap batu tersebut, menyebabkannya tertarik ke arah pusat Bumi.

Tetapi, di luar atmosfera, tidak ada rintangan udara yang memperlahankan pergerakan batu tersebut. Maka momentum pergerakan batu ke arah depan tetap kekal. Kesannya, batu itu sekarang sentiasa bergerak ke depan dan ke bawah (pusat Bumi). Momentum pergerakannya ke depan menyebabkan batu itu sentiasa tersasar daripada masuk ke atmosfera Bumi. Batu itu sekarang bergerak mengelilingi Bumi dalam orbitnya sendiri yang berbentuk bujur (eclipse).

Slide4

Fenomena yang sama juga berlaku pada Bulan. Malah semua satelit yang mengorbit Bumi juga menggunakan fenomena yang ini.

Oleh itu, jika ada orang tanya, kenapa Bulan tidak jatuh ke Bumi? Jawapan anda ialah;

Bulan sentiasa jatuh ke Bumi, cuma Bulan juga sentiasa tersasar daripada mengenai Bumi.

Sekarang, anda mungkin terfikir, siapa pula yang lontar Bulan?

Itu saya akan cerita waktu lain.

____________________________

Hei, sekarang saya sudah ada akaun patreon. Jika anda mahu menyokong hasil kerja saya untuk menginspirasikan sains kepada masyarakat, dan mendapat beberapa ganjaran yang menarik, anda boleh berikrar sebagai patron di sini!

patreonsupport

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s