Kenapa air laut masin?

Pernahkah anda tanya soalan itu? Saya rasa pernah, sekurang-kurangnya semasa anda masih kecil, masa rasa ingin tahu anda meluap-luap.

Saya sendiri pernah tanyakan soalan ini kepada ibu dan ayah saya ketika saya masih kecil. Dan saya diberitahu yang air laut rasa masin kerana di dalamnya ada garam.

Cuma, saya tak tahu kenapa rasa ingin tahu saya pada ketika itu sampai di situ sahaja, sedangkan, ada banyak lagi soalan susulan yang menarik, seperti;

Kenapa ada garam dalam air laut?

Kenapa sungai dan tasik tidak masin?

Bila difikirkan semula, ada baiknya saya tidak tanyakan soalan-soalan itu, susah pula ibu dan ayah saya terpaksa cari jawapannya. Masa itu bukannya boleh google jawapan!

curious-kidsApapun, sekarang, saya sendiri adalah seorang ayah. Akan tiba masanya anak-anak saya meminta penjelasan terhadap apa yang mereka cerap daripada deria mereka apabila berinteraksi dengan alam. Dan saya berhasrat untuk memupuk mereka seronok bertanya dan belajar tentang alam. Memahami kepentingan keseimbangannya. Mudah-mudahan, mereka akan menghargai dan memelihara alam sekitar, lebih daripada apa yang saya mampu buat. Justeru, saya sendiri pun mesti tahu tentang sains alam sekitar, supaya saya boleh jawab, apabila mereka tanyakan;

Kenapa air laut masin?

Air laut masin kerana kandungan garam larut yang tinggi. Seperti yang telah kita belajar di peringkat SPM, garam adalah sebatian ion yang terbentuk daripada pasangan anion (ion bercas negatif) dan kation (ion bercas positif). Oleh itu, terdapat pelbagai jenis garam bergantung kepada kombinasi anion dan kationnya. Daripada pelbagai jenis ion garam ini, sebahagiannya digunakan oleh hidupan akuatik dalam proses hidup mereka, manakala sebahagian lagi tidak digunakan dan terkumpul dalam air laut dari satu masa ke satu masa.

Komposisi kation natrium, Na+, dan anion klorida, Cl, adalah sangat tinggi dalam air laut, mencapai sehingga 90% daripada jumlah keseluruhan ion garam yang terlarut. Oleh sebab  kedua-dua ion ini menyebabkan rasa masin pada lidah kita, maka air laut menjadi masin.

figure-02-02-03
Ion klorida dan natrium yang larut dalam air

Kenapa ada garam dalam air laut?

Garam yang terlarut dalam air laut berasal daripada batuan di daratan. Apabila hujan turun, titisan-titisannya akan melarutkan sedikit gas karbon diosida, CO2, menyebabkannya menjadi sedikit berasid. CO2 apabila larut dalam air akan menghasilkan asid karbonik, H2CO3, sejenis asid lemah.

CO+ H2O ↔ H2CO3

Keasidan titisan air hujan menyebabkan batuan akan terkakis dan melarut dalam air hujan sebagai ion. Ion-ion ini akan mengalir masuk ke kawasan tadahan air tawar seperti tasik dan sungai, yang pada akhirnya akan sampai ke laut.

tafoni_by_endico
Kakisan batu yang menyebabkan struktur ‘sarang lebah’

Kenapa sungai dan tasik tidak masin?

Walaupun terdapat ion garam larut dalam air sungai dan tasik seperti yang diterangkan di atas, kepekatan ion-ion tersebut adalah rendah kerana:

  1. ion-ion yang terlarut sentiasa dialirkan ke laut;
  2. kandungan airnya sentiasa banyak kerana sentiasa ditambah oleh air hujan.

rain-glenelg-river-patterson-camp

Manakala bagi air laut, kepekatan ion garam larut sentiasa tinggi kerana ion-ion yang dibawa daripada sungai terkumpul dalam laut dan tidak lagi mengalir ke mana-mana. Dianggarkan setiap tahun, 400 bilion ton garam larut dialirkan ke laut daripada sungai di seluruh dunia. Dianggarkan juga, semasa Bumi baru terbentuk, air laut ialah air tawar, namun proses pengumpulan garam larut sejak beratus juta tahun dahulu telah menyebabkannya menjadi masin seperti hari ini.

Soalan bonus:

Adakah air laut akan menjadi lebih masin pada masa depan?

tumblr_static_tumblr_static_d44drrcod5c8s8go00s4ock84_640

Tidak. Air laut tidak akan jadi lebih masin daripada sekarang. Malahan, kandungan ion garam larut pada hari ini sama sahaja dengan kandungannya sejak ratusan juta tahun dahulu. Fenomena ini berlaku kerana kebolehlarutan air laut cuma boleh mencapai takat-takat tertentu sahaja, apabila kandungan ion melebihi takat tersebut, ion-ion tersebut akan bergabung membentuk serbuk garam mineral yang akan tersimpan di dasar laut. Oleh itu, keterlarutan ion dalam air laut telah mencapai keseimbangan, iaitu, pada satu-satu masa, jumlah ion garam larut yang mengalir ke air laut bersamaan dengan jumlah garam mineral yang terbentuk di dasar laut.

Jumlah ion garam larut yang mengalir ke air laut

=

Jumlah garam mineral yang terbentuk di dasar laut

Ok!

Sekarang kita sudah tahu jawapan kepada fenomena kemasinan air laut, kita boleh mula fikirkan jawpan yang terbaik untuk diberikan kepada generasi seterusnya berdasarkan peringkat umur mereka. Saya harap kita semua tidak matikan rasa ingin tahu kanak-kanak, malah, kita sepatutnya ambil peranan untuk semarakkan lagi rasa tersebut, sebab, melalui rasa ingin tahulah, penerokaan dan penemuan sains bertapak.

____________________________

Hei, sekarang saya sudah ada akaun patreon. Jika anda mahu menyokong hasil kerja saya untuk menginspirasikan sains kepada masyarakat, dan mendapat beberapa ganjaran yang menarik, anda boleh berikrar sebagai patron di sini!

patreonsupport

Kredit foto:

  1. goodfon.ru
  2. buzzpickers.com
  3. wikimedia.com
  4. boundless.com
  5. Lonesome Pine WCRPG
  6. Tumbler
  7. challies.com
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s