Tbzb tfeboh nfncbdb ufouboh lsjqsphsbgj

Bolehkah anda baca pernyataan di atas?

Jika boleh, tahniah, anda berjaya menyahsulitkan (decrypt) kod rahsia saya, hei, mungkin anda berbakat menjadi penggodam.

Jika tidak boleh, tak apa, memang itulah tujuan kriptografi (cryptography), untuk merahsiakan teks asal.

Kriptografi ialah kaedah menyimpan atau menghantar maklumat dalam bentuk yang hanya akan boleh dibaca oleh orang yang ditujukan sahaja. Istilah ini berasal daripada istilah Yunani, kryptos, yang bermaksud tersembunyi, dan –graphia, yang bermaksud penulisan.

Mungkin anda pernah dengar bahasa F di sekolah dahulu? Bahasa F ialah salah satu contoh kriptografi mudah.

Bagaimana kriptografi berfungsi?

Kriptografi melibatkan dua proses, penyulitan (encryption) dan penyahsulitan (decryption).

Penyulitan ialah proses menukarkan maklumat asal kepada kod rahsia. Contohnya, dalam bahasa F, setiap suku kata dengan vokal a akan ditambah dengan fa, vokal i pula ditambah dengan fi, dan begitu juga seterusnya untuk vokal e, o, dan u.

Oleh itu pernyataan berikut,

Saya suka membaca.

Akan ditukarkan menjadi,

Safayafa sufukafa memfembafacafa.

Apabila didengar oleh mereka yang tidak tahu bahasa F, pernyataan tadi tidak membawa apa-apa maksud.

Namun bagi mereka yang tahu bahasa F, pernyataan tersebut boleh diproses menjadi maklumat yang boleh difahami. Proses menukarkan pernyataan dalam bentuk kod kepada maklumat asal dikenali sebagai penyahsulitan.

Dalam dunia teknologi maklumat, maklumat asal dipanggil teks biasa (plaintext), manakala yang telah disulitkan dipanggil teks sifer (ciphertext).

Kedua-dua proses penyulitan dan penyahsulitan memerlukan padanan dua alat, iaitu sifer (cipher) dan kunci (key).

Sifer, berasal daripada istilah Arab, sifr, yang bermaksud sifir, merujuk kepada satu peraturan spesifik untuk menukarkan teks biasa kepada teks sifer. Sebagai contoh, bagi bahasa F, peraturannya adalah memasukkan suku kata baru yang mempunyai vokal yang sama dengan suku kata asal sebelumnya.

Dan kunci pula akan beritahu kita bagaimana peraturan tersebut dilaksanakan, bagi bahasa F, suku kata baru yang dimasukkan mestilah menggantikan huruf pertamanya dengan huruf F. Oleh itu, kuncinya ialah F. Merujuk kepada teks contoh yang digunakan dalam Bahasa F di atas, sekiranya kita tukarkan kuncinya menjadi B, maka teks sifer yang baru ialah seperti berikut,

Sabayaba subukaba membembabacaba.

Mari kita cuba lagi.

Pada awal tulisan ini, saya telah berikan satu teks sifer. Sifer bagi teks tersebut ialah menggantikan semua huruf dalam teks sifer tersebut dengan huruf sebelumnya. Dan kuncinya ialah 1. Maknanya, gantikan kesemua huruf dalam teks sifer dengan satu huruf sebelumnya.

Saya bagi masa untuk anda cuba.

Ok.

Adakah anda dapat pernyataan berikut?

Saya sedang membaca tentang kriptografi

Jika ya, tahniah!

Cuba pula nyahsulitkan teks sifer berikut. Sifernya sama contoh di atas, tetapi kuncinya ialah 3.

Glj ybixkgx rxvx jfkrj klmf

Komen di ruang bawah kalau anda berjaya nyahsulitkannya.

Sejarah dan Perkembangan Kriptografi

Antara sejarah awal kriptografi yang dikenal pasti ialah penggunaan hieroglif oleh golongan elit dalam tamadun Mesir Purba seawal 2000 tahun sebelum Masihi. Hanya golongan elit ini sahaja yang mengetahui maksud sebenar susunan piktogram kompleks yang membentuk hieroglif.

Julius Ceasars (100-40 tahun sebelum Masihi) pula menggunakan kaedah sifer yang masih dipakai sehingga kini dalam kriptografi Moden. Ceasars tidak mempercayai utusan-utusannya, oleh itu, teks dalam mesej yang dihantar ke pegawai-pegawainya akan menggunakan huruf ketiga daripada huruf-huruf Rom yang asal.

Pada awal abad ke-20, kod morse dibangunkan sebagai kriptografi yang boleh digunakan untuk menghantar teks sifer jarak jauh menggunakan telegraf bagi tujuan peperangan. Pada Perang Dunia ke-2, tentera Nazi-Jerman mencipta mesin Enigma, yang menggunakan sistem sifer dan kunci yang sangat kompleks.

Dunia moden hari ini sangat bergantung terhadap sistem pengkomputeran digital, menyebabkan, banyak maklumat penting disimpan dalam bentuk digital yang boleh diakses dalam laman web, sekaligus membuka ruang untuk pencerobohan maklumat. Maka kriptografi menjadi satu keperluan besar untuk melindungi kepentingan proses hidup seharian manusia.

Kriptografi dalam pengkomputeran digital hari ini bukan sahaja digunakan untuk menjaga kerahsiaan maklumat seperti kata laluan akaun email anda sehinggalah kepada strategi keselamatan negara. Kriptografi juga digunakan untuk menjaga integriti berkaitan dengan satu-satu maklumat. Transaksi perbankan dalam talian misalnya, mengaplikasikan kriptografi untuk mencegah pihak ketiga daripada melakukan perubahan terhadap apa maklumat dalam transaksi seperti jumlah wang, nombor akaun, dan sebagainya.

Kriptografi juga digunakan sebagai pengesahan identiti dan tandatangan digital untuk mengelakkan kecurian identiti dan penyamaran digital. Oleh kerana dunia digital jarang memerlukan manusia untuk berdepan secara fizikal, maka kriptografi digunakan untuk memastikan kita ialah kita.

Kewujudan mata wang digital hari ini seperti bitcoin juga merupakan perkembangan aplikasi kriptografi dalam kehidupan manusia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s