Tahukah anda manakah antara berita berikut yang merupakan berita palsu?

Pada awal tahun ini, lagenda badminton negara, Razif Sidek meninggal dunia.

Bulan lepas, Bukit Aman mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap kegiatan jenayah rogol dan penjualan organ di Bachok yang didalangi bekas pelajar UiTM Jengka.

Sekitar bulan Mei yang lepas, mesin teler automatik (automated teller machine, ATM) di seluruh negara tidak dapat beroperasi antara dua hingga tiga hari kerana serangan perisian tebusan WannaCry.

Sejak bulan November tahun lepas, pengurup matawang di Makkah dan Madinah tidak lagi menerima matawang Ringgit Malaysia.

Jawapannya, semua berita di atas palsu.

Semua berita-berita di atas ialah berita yang telah disahkan palsu, anda boleh cari penerangan lanjut dalam laporan portal Astro Awani ataupun di sebenarnya.my, sebuah laman web yang diwujudkan kerajaan untuk menangani berita-berita palsu di dunia siber.

Kenapa?

Jika anda tertanya, kenapa ada orang yang menghasilkan berita palsu? Saya juga tertanya soalan yang sama dan bertindak mencari jawapannya.

Berikut ialah jawapan yang saya simpulkan berkenaan berita palsu dunia siber.

Untuk menjana pendapatan.

Ya, berita palsu ialah satu sumber pendapatan yang mudah. Malahan, penghasilan berita palsu ialah satu industri dalam dunia siber. Berbekal tajuk kontroversi untuk memburu mangsa-mangsa yang mudah terpedaya, industri ini dapat menjana pendapatan dengan pelbagai cara, seperti penjualan ruang iklan atau produk sampingan.

Tajuk-tajuk berita palsu lazimnnya direka untuk membangkitkan rasa tidak selamat, memanipulasi rasa ingin tahu, ataupun mengesahkan keresahan sedia ada dalam diri kita. Menyebabkan kita rasa kompulsif untuk tahu lebih lanjut berita-berita tersebut.

Sebagai contoh, di Malaysia tidak sedikit rakyat yang tidak yakin dengan Perdana Menteri Najib Razak, maka apa-apa berita yang menunjukkan kelemahan pentadbiran Najib Razak akan mudah mendapat tarikan. Maka tajuk seperti matawang Ringgit Malaysia tidak diterima di Makkah dan Madinah, semasa musim haji, ialah umpan yang sangat efektif untuk dapatkan trafik ke portal-portal berita palsu.

Di Amerika Syarikat contohnya, berita-berita yang menggugat status quo orang kulit Putih ialah umpan yang sering digunakan pemain utama industri berita palsu di sana. Antara berita palsu yang mendapat penularan meluas ialah laporan berkenaan Presiden Barrack Obama membiayai muzium orang Islam secara peribadi bagi memastikan muzium itu dapat terus beroperasi semasa penutupan kerajaan Amerika Syarikat pada bulan Oktober 2013. Sehinggakan Fox News, saluran berita pro-Repbublikan, juga terpedaya dan melaporkan berita ini.

Bagaimana industri berita palsu boleh menjana pendapatan?

Paul Horner, penulis berita palsu Obama dan muzium orang Islam di atas, dalam satu wawancara dengan The Washington Post menyatakan boleh menjana pendapat sekitar USD 10,000 sebulan daripada perkhidmatan pengiklanan Google AdSense. Sekumpulan remaja Macedonia juga menggunakan model yang sama dan mengambil kesempatan sempena pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun lepas untuk menjana pendapatan dengan menghasilkan berita-berita palsu pro-Trump. Nota tepi, fikirkan sebentar, kenapa mereka dapat lebih banyak hit dengan berita pro-Trump berbanding pro-Clinton?

Alex Jones, seorang pemain utama dalam industri berita palsu di Amerika Syarikat menggunakan model perniagaan yang berlainan. Jones tidak menggunakan medium penulisan sebaliknya menerbitkan rancangan radio yang juga boleh ditonton di internet. Kaedah yang digunakan Jones untuk menjana keuntungan lebih licik berbanding dengan menjual ruang pengiklanan. Jones mengada-adakan cerita-cerita karut untuk menakutkan audiensnya seterusnya menjual solusi kepada mereka, biasanya dalam bentuk produk pseudosains kesihatan yang Jones namakan sebagai nutriseutikal. Sebagai contoh, Jones mendakwa perlarian-perlarian membawa jangkitan parasit dan organisma berbahaya, menjual makanan tambahan untuk ‘meningkat pertahanan tubuh badan’. Dua minggu lepas, John Oliver, hos rancangan Last Week Tonight, membongkar kegiatan Alex Jones dengan perincian yang lebih baik.

Penafian: saya tidak menyetujui gaya bahasa dan komedi Last Week Tonight. Oleh kerana rancangan tersebut ialah rancangan komedi dan satira berita terbitan HBO, maka bahasa dan komedi yang digunakan tidak sesuai dengan akhlak Muslim dan budaya Melayu. Namun, sekiranya anda mahu menonton pembongkaran tersebut, sila klik pada pautan ini.

Di Malaysia, tidak ada data kewangan yang boleh saya ketengahkan, tetapi saya yakin model perniagaan yang hampir sama digunakan oleh portal-portal berita palsu seperti di atas.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s