*belum ada daftar kata Bahasa Melayu dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu sehingga tarikh tulisan ini diterbitkan.

Pendahuluan

Saya rasa, kemungkinan besar, anda telah pun mendengar istilah cryptocurrency, sama ada daripada pembacaan, perbualan, mahupun daripada taklimat skim-skim tertentu. Pastinya, anda juga sudah pun membina konsep umum tersendiri terhadap istilah cryptocurrency, sedikit sebanyak berdasarkan interaksi anda dengan sumber maklumat yang ada, anda ada idea umum bahawa ia berkait dengan dengan wang dan alam siber. Namun, sebahagian daripada idea tersebut mungkin betul manakala sebahagian lagi mungkin perlu diperkemaskan.

Saya sendiri pun, sebelum mengambil inisiatif untuk memahami cryptocurrency, mempunyai tanggapan negatif terhadap topik ini, terutamanya pada dua isu; 1) matawang digital yang digunakan penggodam dan penjenayah siber, 2) penglibatan skim ponzi. Walaupun kedua-dua isu tersebut tidak dapat dinafikan, namun, cryptocurrency tidak boleh didefinsikan dengannya. Sebaliknya, jika anda faham topik ini, anda akan takjub dengan pengaplikasian teknologi pengkomputeran dan idea kriptografi untuk membangunkan satu sistem matawang digital yang kompleks tetapi dinamik.

 

wondering

Oleh itu, izinkan saya untuk mempersonakan anda dengan kekompleksan mekanisme yang merealisasikan konsep matawang digital bebas.

Untuk memudahkan penyampaian saya, topik ini akan dipisahkan kepada dua bahagian; 1) konsep cryptocurrency, 2) mekanisme cryptocurrency.

Dalam bahagian pertama, saya akan fokuskan pada idea di sebalik penubuhan cryptocurrency, perbezaannya dengan sistem matawang sedia ada. Sedikit sebanyak, saya akan merujuk sejarah penubuhan cryptocurrency pertama di dunia, Bitcoin.

Dalam bahagian kedua pula, saya akan membincangkan perkara-perkara teknikal berkaitan dengan sistem cryptocurrency. Saya akan terangkan proses transaksi, pengurusan transaksi, langkah keselamatan, dan sebagainya. Jargon-jargon teknikal akan cuba saya bincangkan secara santai.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk mempromosi pelaburan terhadap mana-mana cryptocurrency, sebaliknya hanyalah perbincangan santai mengenai pengaplikasian dan pembangunan teknologi semasa. Sekiranya anda membaca semua bahagian dalam tulisan ini, saya percaya anda akan lebih memahami cryptocurrency berbanding kebanyakan orang dalam dunia ini.

Bahagian 1: Konsep Cryptocurrency

Apabila kita membincangkan konsep cryptocurrency, kita tak akan dapat lari daripada membicarakan visi yang ingin dicapai oleh pereka cryptocurrency pertama di dunia, pengaturcara (programmer) yang misteri, Satoshi Nakamoto. Pada tahun 2008, Nakamoto menerbitkan sebuah artikel yang bertajuk Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System. Dalam artikel tersebut, Nakamoto mahu mencipta satu sistem kewangan elektronik yang tidak melibatkan pihak ketiga sebagai pemegang amanah.

Dalam sistem kewangan elektronik konvensyenal, semua transaksi yang dilakukan oleh pemilik akaun akan diuruskan oleh pihak ketiga seperti bank atau syarikat kad kredit sebagai pemegang amanah. Pihak ketiga memainkan peranan penting untuk memastikan sebarang transaksi kewangan berlaku tanpa penyelewengan seperti penipuan identiti pemilik akaun dan perbelanjaan berganda (doule spending).

Bagi Nakamoto, penglibatan pihak ketiga menyebabkan peningkatan kos setiap transaksi yang dijalankan kerana cas pengurusan yang dikenakan oleh mereka. Selain itu, kewujudan pihak ketiga juga menyebabkan transaksi yang bersifat kasual dan bernilai rendah tidak dapat dibuat kerana nilai minimum yang dihadkan oleh pihak ketiga sesuai dengan kos operasi mereka.

Untuk mengenepikan pihak ketiga, Nakamoto mencadangkan model sistem kewangan digital yang menyahpusatkan (decentralising) pengurusan transaksi terus kepada pemilik-pemilik akaun, mengadaptasikan konsep perkonsian fail rangkaian rakan ke rakan (peer-to-peer file sharing). Idea ini sangat masuk akal kerana, hakikatnya, transaksi kewangan, hanyalah kemasukan maklumat dalam satu pengkalan data. Apa yang diperlukan dalam pengakalan data tersebut ialah akaun pihak pertama dan pihak kedua, serta jumlah transaksi antara keduanya. Jika semua maklumat berkaitan dengan ketiga-tiga item tersebut dapat disahkan, transaksi berjaya dilakukan dan direkodkan dalam pengkalan data tersebut. Berbanding dengan kaedah konvensyenal yang meletakkan pengurusan pengkalan data tersebut berpusat pada satu pihak, Nakamoto mencadangkannya pangakalan data tersebut dinyahpusatkan dan dikongsikan kepada semua pemegang akaun.

Sebagai perbandingan mudah, bayangkan anda dan rakan-rakan bermain permainan papan Saidina yang tidak ada wang kertas. Anda ada dua pilihan untuk meneruskan permainan.

Pertama, melantik salah seorang pemain sebagai pihak bank yang akan mencatat semua transaksi sepanjang permainan. Kaedah ini ialah kaedah berasaskan kepercayaan terhadap pihak ketiga (bank) semata-mata. Sekiranya rakan anda yang menjadi pihak bank ialah seorang yang jujur, maka semuanya akan berjalan lancar, tetapi, jika tidak, sukar untuk dikesan apa-apa penyelewengan yang berlaku kerana semua catatan transaksi ialah apa yang ditulis dalam helaian kertas milik ‘pihak bank’ tersebut.

Kedua, setiap seorang pemain mencatatkan semua transaksi yang berlaku sepanjang permainan. Kaedah ini memberi ruang untuk memastikan kebertanggungjawaban dalam sebarang catatan transaksi. Apabila satu-satu transaksi dibuat, pihak yang terlibat akan mengumumkan transaksi tersebut kepada semua pemain yang lain, yang akan mencatat transaksi tersebut dalam helaian kertas masing-masing. Sekiranya terdapat perselisihan maklumat transaksi antara pemain, mereka boleh merujuk kepada helaian kertas catatan semua pemain. Maklumat yang menyalahi catatan transaksi majoriti pemain akan dianggap palsu dan ditolak.

Permainan Saidina bagaimanapun, tidak boleh mewakili kekompleksan sistem kewangan digital. Permainan papan berlangsung mengikut pusingan pemain, manakala dalam dunia sebenar, semua orang bebas melakukan transaksi kewangan pada bila-bila masa.

Lebih daripada itu, sistem kewangan digital yang dinyahpusatkan perlu mempunyai kaedah pasti-selamat (fail-safe) bagi melindungi pengguna daripada penyelewengan transaksi yang sebelum ini dikawalselia oleh pihak pemegang amanah. Bagaimanakah Nakamoto menyelesaikan isu sekuriti ini? Dengan mengaplikasikan kriptografi. Pengaplikasian inilah yang menyebabkan Bitcoin dikenali sebagai cryptocurrency. Mekanisme pengaplikasian kriptografi dalam sistem kewangan ini akan saya bincangkan dengan lebih mendalam dalam bahagian kedua.

Bahagian 2: Mekanisme Cryptocurrency

Peranan penting yang dimainkan oleh pihak ketiga dalam sistem kewangan elektronik konvensyenal ialah seperti berikut: 1) mencegah pemalsuan identiti pemilik akaun, 2) mencegah perbelanjaan berganda, 3) memastikan keabsahan pangkalan data. Nakamoto menggunakan pembuktian kriptografi sebagai mekanisme untuk menguruskan tiga isu di atas, berbanding kepercayaan kepada pihak ketiga sebagai pemegang amanah.

Kecurian Atau Pemalsuan Identiti

Dalam sistem konvensyenal, kecurian atau pemalsuan identiti dilakukan dengan mencuri maklumat kad kredit atau apa-apa maklumat sensitif akaun perbankan dalam talian. Bank atau syarikat kad kredit biasanya boleh mengesan isu ini jika terdapat permintaan transaksi yang meragukan, contohnya tiba-tiba kad kredit kita digunakan untuk pembelian banglo di Sudan Selatan sedangkan kita tidak pernah ke sana, ataupun, tiba-tiba semua wang simpanan kita mahu dipindahkan ke akaun milik seseorang yang tidak pernah ada apa-apa rekod transaksi dengan kita. Namun, bagaimana sistem yang menyahpusatkan pengurusan transaksi dapat mengelakkan hal ini daripada berlaku?

idtheft830

Berbanding dengan sistem konvensyenal, tidak ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menentusahkan (verify) satu-satu transaksi. Bagaimana sistem Bitcoin dapat mengesahkan yang saya ialah saya, bukan orang lain? Baik, apabila kita membuka akaun atau dipanggil dompet (wallet) dalam rangkaian Bitcoin, ia akan dihubungkan dengan dua kunci kriptografi, kunci peribadi (private key) dan kunci awam (public key). Kedua-dua kunci ini secara fizikalnya ialah gabungan karekter nombor dan huruf, bayangkan apabila anda pejamkan mata dan tekan papan kekunci sesuka hati anda. Kedua-dua kunci ini juga berkait antara satu sama lain secara matematik, tetapi mustahil boleh dihasilkan daripada satu sama lain. Kunci awam, seperti namya, boleh didapati oleh sesiapa sahaja yang mahukannya. Manakala kunci peribadi pula tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun.

183705

Apabila kita mahu melakukan transaksi, ia akan disulitkan (encrypted) dengan kunci peribadi, proses ini dipanggil ‘menandatangan’ (sign). Tandatangan pada setiap transaksi bersifat unik, oleh itu setiap transasksi mempunyai tandatangan yang berbeza, menyebabkannya tidak berguna untuk ditiru oleh penjenayah siber. Transaksi tersebut akan dinyahsulitkan (decrypted) oleh mana-mana pemilik akaun dalam rangkaian Bitcoin menggunakan kunci awam. Kunci awam hanya boleh melakukan proses ini jika transaksi tersebut ditandatangan menggunakan kunci peribadi yang berpadanan dengan dompet. Transaksi yang sudah dinyahsulitkan dianggap sebagai transaksi yang sah dan disematkan dalam pangkalan data rangkaian, atau lebih dikenali sebagai rantaian blok (blockchain). Keseluruhan proses menentusahkan transaksi menggunakan kunci awam dan menyematkannya dalam rantaian blok dipanggil melombong (mining), ya, panggilan itu agak pelik, saya akan bincangkan tentang perlombongan dengan lebih jelas dalam bahagian selepas ini.

download

Perbelanjaan berganda

Perbelanjaan berganda ialah masalah yang unik terhadap sistem kewangan digital. Secara asasnya, ia merujuk kepada penggunaan wang yang sama untuk membuat beberapa transaksi yang berbeza. Bayangkan jika dalam akaun bank anda mempunyai baki RM 100, anda membuat satu transaksi melalui Lazada untuk membeli item yang bernilai RM 100, dalam masa yang sama, anda juga membuat satu lagi transaksi melalui Zalora untuk membeli item yang juga bernilai RM 100. Pihak bank cuma akan mengesahkan transaksi yang terawal sahaja, manakala transaksi yang lewat akan dibatalkan.

Bagaimanapun, kaedah ini tidak boleh diadaptasi secara terus oleh sistem rangkaian rakan ke rakan, kerana, berbanding dengan sistem konvensyenal yang mengumpulkan semua transaksi dalam satu pusat, transaksi-transaksi dalam sistem ternyahpusat tidak tersusun dalam kronologi yang sama, iaitu, setiap pemilik akaun menerima susunan transaksi yang berbeza, atas pelbagai sebab seperti masalah kelajuan internet, lokasi, dan seumpamanya. Hal ini membolehkan dua transaksi yang menggunakan wang yang sama disahkan pada masa yang sama, menyebabkan perbelanjaan berganda berlaku. Jadi, bagaimana isu ini boleh diselesaikan?

wp-image-2003858676

Nakamoto mengambil pendekatan yang menarik dalam hal ini, iaitu, untuk membolehkan pelombong menentusahkan satu transaksi, mereka mesti menyelesaikan masalah matematik yang dicipta secara rawak oleh fungsi cincang (hash function) kriptografi. Fungsi cincang ialah algoritma yang mengambil input pelbagai saiz dan menukarkannya menjadi satu output yang bersaiz tetap. Sebagai contoh mudah, jadikan nombor ini sebagai input: 1, 2, dan 3. Katakanlah, fungsi cincang kita pula ialah tambahkan semua input, maka, output kita ialah 6. Berkenaan dengan fungsi cincang ini, kita boleh tentukan output dengan mudah apabila diberi input, tetapi sangat sukar untuk tentukan semua input berdasarkan output. Bahkan, dalam contoh mudah yang diberi, ada pelbagai kemungkinan kombinasi input seperti 2+2+2, 2+4, 1+5, dan seterusnya. Satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah dengan meneka input berulang kali sehingga mendapat jawapan yang betul.

wp-image-1821657588

 

Fungsi cincang yang digunakan Bitcoin ialah Security Hash Algorithm 256-bit, atau lebih dikenali sebagai SHA256. SHA256 sebenarnya dibangunkan oleh National Security Agency (NSA), Amerika Syarikat. Secara purata, masa yang diambil oleh komputer yang direka khas untuk menyelesaikan SHA256 ialah sekitar 10 minit.

Apakah hubungan antara masalah perbelanjaan berganda dengan fungsi cincang?

Seperti yang telah dibincangkan, isu perbelanjaan berganda mungkin akan berlaku disebabkan kerawakan susunan transaksi-transaksi yang ada. Bagi mengatasi hal ini, pelombong-pelombong bebas memilih untuk menentusahkan mana-mana transaksi, tetapi, untuk menentusahkan transaksi tersebut, para pelombong bukan sahaja perlu memadankan kunci awam dan kunci peribadi, mereka juga perlu menyelesaikan fungsi cincang menggunakan komputer mereka. Transaksi yang berjaya diselesaikan dahulu akan disematkan dalam rantaian blok, sekiranya ada transaksi lain daripada dompet yang sama tetapi tidak mempunyai amaun yang mencukupi, transaksi itu akan ditolak secara automatik, maka perbelanjaan berganda dapat dielakkan.

Keabsahan rekod pangkalan data

Disebabkan tidak ada pemegang amanah yang memegang rekod pangkalan data transaksi, maka, setiap pemilik akaun dalam rangkaian cryptocurrency mempunyai salinan tersendiri, seperti contoh permainan Saidina pada bahagian 1. Dalam situasi yang ideal, setiap salinan yang dimiliki oleh setiap seorang pemilik akaun mestilah sama, namun, terdapat kebarangkalian wujudnya pemilik akaun yang tidak jujur dan cuba mengubah rantaian salinan rantaian bloknya untuk menipu pengguna lain. Bagaimanapun, pengadaptasian fungsi cincang SHA256 dalam proses penentusahan transaksi, yang telah kita bincangkan sebelum ini, turut menyelesaikan isu ini.

Hal ini disebabkan, untuk menyelesaikan fungsi cincang SHA256, para pelombong perlu menggunakan perkakasan komputer yang khusus, menyebabkan mereka perlu mengeluarkan kos yang tinggi. Di samping itu, mereka juga perlu menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk menjalankan proses perlombongan. Kos operasi yang tinggi menyebabkan mustahil untuk satu pihak mengendalikan kuantiti akaun yang cukup banyak sehingga boleh menyaingi kuantiti majoriti akaun pengguna dalam rangkaian cryptocurrency seperti Bitcoin. Oleh itu, mustahil untuk satu pihak boleh mengawal dan memanipulasi rangkaian blok. Maka keabsahan rangkaian blok dapat dipastikan.

Pelombong

Apa sebenarnya yang dilakukan pelombong?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pelombong memainkan peranan untuk mengemaskini rantaian blok, memastikan setiap satu transaksi yang dilakukan oleh pemilik dompet dalam rangkaian disematkan dalam pengkalan data tersebut. Tetapi kenapa pelombong mahu melakukan perkara tersebut? Bahkan, seperti yang dinyatakan di atas, proses mengemaskini rantaian blok memerlukan kos operasi yang tinggi, tidak mungkin ia dilakukan atas dasar kemanusian semata-mata bukan? Sebenarnya, ada sistem ganjaran yang dibina dalam rangkaian cryptocurrency. Untuk Bitcoin misalnya, jika hari ini anda berjaya menambahkan blok baru dalam rantaian blok, 12.5 Bitcoin akan dihasilkan ‘atas angin’ dan dianugerahkan kepada anda. Pada tarikh artikel ini ditulis, 1 Bitcoin bernilai USD 4184.05, maka, 12.5 Bitcoin bernilai USD 52,300.63, bayaran yang cukup lumayan untuk para pelombong yang berjaya.

Bagi setiap 210,00 blok, jumlah Bitcoin yang dihasilkan sebagai ganjaran akan berkurang setengah daripada bilangan sebelumnya. Oleh itu, ganjaran yang asalnya bermula daripada 50 Bitcoin, jadi 25 Bitcoin, dan pada waktu ini, 12.5 Bitcoin. Selepas ini, jumlah tersebut akan berkurangan kepada 6.25 Bitcoin dan begitulah seterusnya. Tujuan pengurangan jumlah Bitcoin yang dihasilkan dari masa ke masa ialah untuk mengehadkan jumlah Bitcoin yang boleh wujud dalam dunia. Pengehadan inilah yang menyebabkan Bitcoin mempunyai nilai, seperti jumlah emas dalam dunia juga terhad.

how-to-mine-bitcoins

Seperti emas yang perlu dilombong daripada kerak Bumi, Bitcoin juga perlu ‘dilombong’ keluar, cuma, berbanding dengan pelombong emas yang perlu menghayunkan cangkul burung (pick axe) untuk memecahkan batuan, pelombong Bitcoin ‘mengeluarkan’ wang digital tersebut apabila satu blok baru disiapkan. Bitcoin yang ada pada hari ini ialah hasil kerja mereka yang menjalankan proses ini, inilah sebabnya mereka dipanggil pelombong.

Penutup

Cryptocurrency ialah satu konsep kewangan yang menakjubkan bagi saya. Bayangkan keseluruhan institusi bank digantikan oleh aplikasi kriptografi. Namun, sekali lagi saya tekankan, tujuan artikel ini bukan untuk mempromosikan pelaburan cryptocurrency, sebaliknya hanya untuk membincangkan konsep dan mekanismenya. Cryptocurrency masih bersifat percubaan, pandangan daripada pakar kewangan terhadapnya masih bercampur aduk, oleh itu, jika anda mahu menceburinya, pastikan anda sedia menanggung risiko. Saya sendiri lebih tertarik terhadap idea pengaplikasian teknologi kriptografi dalam kehidupan kita di masa hadapan. Apakah yang boleh kita bangunkan lagi dengan teknologi ini?

Advertisements

2 thoughts on “Apa itu Cryptocurrency*?

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s