Semalam SpaceX berjaya melancarkan roket Falcon Heavy ke angkasa lepas.

Sebahagian besar antara kita mungkin menonton siaran langsung daripada kamera yang dipasang pada kereta Tesla merah yang menumpangkan boneka bersut angkasa lepas SpaceX, Starman.

Pada saya, siaran itu memberi pandangan yang menakjubkan dan dalam masa yang sama, lucu.

Mungkin itulah yang Elon Musk mahukan. Tahukah anda dalam Tesla merah tersebut ada kereta mainan model Tesla yang di dalamnya ada anak patung Starman?

Musk berjenaka jika ada makhluk asing menjumpai kereta mainan dalam Tesla merahnya, pasti makhluk asing tersebut keliru, apa mesej yang mahu disampaikan oleh orang Bumi.

Baik…

Berbalik pada pelancaran Falcon Heavy, apa cerita di sebaliknya?

Secara umumnya, pelancaran ini ialah simulasi pertama pada skala sebenar roket Falcon Heavy untuk menghantar muatan ke orbit Marikh mengelilingi Matahari. ‘Muatan’ dalam simulasi ini ialah Starman dan kereta elektriknya.

Apa yang kita perlu, roket Falcon Heavy ialah roket yang paling berkuasa, dengan daya tujah sehingga 22,819 kN pada aras laut dan boleh membawa muatan sehingga 63,800 kg ke orbit rendah Bumi, pada kos satu pertiga daripada pesaing terdekatnya, Delta IV Heavy.

Pada jisim muatan yang lebih rendah, Falcon Heavy dijangka boleh terbang sehingga ke orbit Pluto.

Bayangkan eksplorasi angkasa lepas yang boleh dibuat dengan keupayaan seperti ini, bukan sahaja lebih banyak angkasawan yang boleh dibawa dalam satu ekspedisi, kita juga boleh menghantar gugusan satelit-satelit yang lebih banyak ke orbit Bumi untuk meningkatkan keupayaan telekomunikasi, membawa modul stesen angkasa yang lebih berat dapat dibina untuk para angkasawan, menghantar prob dan robot yang lebih besar dan beupaya untuk mengembara ke permukaan planet-planet dalam sistem solar, atau mungkin juga untuk menggali mineral dari lingkaran asteroid.

Output tinggi pada kos yang rendah

Ok, bagaimana Falcon Heavy dapat menghasilkan daya tujah pada aras laut yang lebih besar dalam masa yang sama kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaingnya? Jawapannya ada pada teknologi tiga roket dasarnya.

Falcon Heavy

Setiap roket dasar mempunyai sembilan enjin Merlin. Enjin Merlin ialah enjin yang direka oleh SpaceX dengan nisbah daya tujah kepada berat enjin lebih besar dari 150:1, melayakkannya untuk digelarkan enjin kimia paling efisyen di dunia. Selain itu, apabila ketiga-tiga roket dasar bepisah daripada reraut dan enjin vakum Merlin pada fasa kedua, roket-roket dasar tersebut akan kembali mendarat ke pad pendaratan SpaceX, untuk digunakan semula pada misi yang akan datang.

synchronize-booster-landing-879x485
Pendaratan kedua-dua roket dasar penggalak Falcon Heavy

Pelancaran semalam?

Bagaimana dengan pelancaran semalam, adakah semua berjalan lancar seperti yang dirancang?

Pelancaran pada fasa 1 berjalan dengan baik. Ketiga-tiga roket dasar berfungsi pada kapasiti penuh untuk melawan inersia dan menggerakkan Falcon Heavy ke arah orbit rendah Bumi. Seperti yang direka, sejurus selepas pelancaran, roket dasar tengah memperlahankan sedikit pembakarannya sehingga sampai masa kedua-dua roket dasar penggalak terpisah dari Falcon Heavy. Pada waktu ini, roket dasar tengah berfungsi pada kapasiti yang penuh untuk menghantar Falcon Heavy ke lingkaran Van Allen.

Di sini, roket dasar tengah juga dipisahkan daripada enjin fasa 2, sebelum peraut di buka, mendedahkan muatan Falcon Heavy, Tesla merah dan Starman. Muatan tersebut dibiarkan mengorbit Bumi sekitar 6 jam dengan siaran langsung daripada beberapa kamera yang dipasang pada muatann dan enjin fasa 2.

Roket dasar tengah malangnya, tidak dapat didaratkan pada pad pendaratan seperti yang dirancang, sebaliknya jatuh terhempas ke dalam laut.

Selepas 6 jam mengorbit Bumi, enjin fasa 2 dihidupkan untuk menerbangkan muatan ke orbit Marikh mengelilingi Matahari. Elon Musk menyatakan dalam twitter beliau, trajektori terkini muatan Falcon Heavy menunjukkan dalam beberapa bulan, akan melepasi orbit Marikh dan mendekati lingkaran asteroid. Dijangkakan kereta Tesla merah tersebut akan terus berdar mengelilingi Matahari dalam orbit berbentuk bujur yang akan melintasi semula orbit Bumi.

Kesimpulan

Pelancaran Falcon Heavy semalam bukanlah semata-mata gimik, tetapi untuk menguji sistem roket buatan manusia yag tercanggih buat masa ini. Ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum sistem roket ini boleh dimanfaati sepenuhnya, namun semalam ialah satu langkah besar buat manusia menuju ke masa depan yang lebih baik.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s