Tarikh 9 Ogos yang lepas menyaksikan serbuan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan di sebuah premis rumah kedai di bermula jam 11.30 pagi di Pusat Komersial Taman Oakland, Seremban 2, Negeri Sembilan. Mereka yang diserbu dan ditahan itu didakwa atas kesalahan terlibat dengan pengajian agama tanpa tauliah. Walaupun masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak berwajib, desas desus daripada beberapa bloggers di internet seperti suarajagat, mendakwa kumpulan tersebut adalah kumpulan Gerakan Pemuda Kahfi (GPK) yang seketika dahulu popular di akhbar tabloid Malaysia (saya tidak ingat samada Kosmo atau Harian Metro). Hal ini ditambah lagi dengan wawancara TV3 dengan ketua operasi serbuan, Mohd Zul Sidek samada kumpulan ini terlibat dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), nama lain GPK.

Saya tidak mahu bercerita mengenai GPK, anda boleh mendapat maklumat kesesatan ajaran mereka di pelbagai laman web, lebih baik anda rujuk dan fahaminya sendiri. Namun yang saya mahu persoalkan di sini (andai mereka adalah daripada GPK) ialah bagaimana keadaan mereka yang terlibat samada yang telah ditahan Ahad lalu dan yang masih bebas di luar sana? Satu perkara yang anda faham, mereka bermatlamatkan penubuhan Negara Islam Indonesia di Wilayah Malaya (harus difahami, gagasan Islam mereka berbeza dengan gagasan Islam yang dibawa oleh jemaah – jemaah Islam seperti PAS, JIM, ABIM dan laian- lain, akidah mereka juga terpesong). Dengan kata lain, mereka bukan sahaja terlibat dalam soal penyebaran ajaran sesat bahkan bolah dianggap membawa ancaman kepada keselamatan Kerajaan Negara Malaysia yang sedia ada. Di sini saya terfikir, di mana yang lebih diutamakan pihak berwajib, soal akidah mereka atau soal cita – cita mereka?

Saya bangkitkan persoalan di sini kerana fokus pihak berwajib akan mempengaruhi hukuman dan label kepada mereka yang terlibat. Contoh mudah, kalau pihak berkuasa memfokuskan pada isu keselamatan negara (bahkan TV3 sudahpun menggelar mereka sebagai radikal), saya percaya mereka akan bulat – bulat ditahan dalam ISA. Saya ketepikan dahulu soal kredibiliti ISA, tetapi, adakah dengan kemasukan mereka dalam ISA akan menyelesaikan masalah yang sebenarnya? Jika kita lihat penahanan ISA yang dikenakan kepada Ashaari Muhammad, pemimpin al-Arqam yang bercita – cita memimpin negara ini dengan meramalkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-5 (sekarang sudah PM ke-6), adakah isu al-Arqam selesai sepenuhnya? Bukannya kita tidak tahu al-Arqam masih bergerak lagi dengan dijenamakan semula sebagai Rufaqa dan kemudiannya Global Ikhwan. Sekarang mereka mampu hidup aman dan mewah dengan perniagaan – perniagaan mereka, daripada kedai runcit sampailah pengangkutan awam. Adakah mereka dibiarkan begitu kerana mereka tidak lagi menzahirkan cita- cita mereka untuk menawan Malaysia? Tetapi bagaimana dengan akidah mereka yang terpesong dengan mendewa-dewakan Ashaari disamping pengamalan Aurad Muhammadiah? Adakah mereka akan dibanteras dan dipulihkan pegangan mereka?

Hal yang sama saya bimbang berlaku kepada para pengikut GPK. Saya bimbang, pihak berwajib sibuk mahu memburu mereka dan mencampakkan mereka ke Kemunting, tetapi soal akidah mereka tidak selesai. Yang lebih saya bimbangkan, mereka boleh menggunakan hujah mereka ditahan itu sebagai satu ujian bagi mereka lantaran ‘kebenaran’ yang mereka bawakan. Pastinya pengikut yang taksub yang tidak dipulihkan dengan dijernihkan semula akidah mereka akan bertambah taksub dengan hujah sebegini.

Di sinilah saya kira, kita perlu menilai semula fokus dan bentuk hukuman yang perlu diambil bagi menangani ajaran sesat yang semakin berleluasa di Malaysia. Apakah pendekatan yang benar – benar sesuai? Bagaimana sepatutnya pihak berwajib menangani mereka yang terlibat? Kerana secara asasnya kita boleh klasifikasikan mereka yang terlibat dalam ajaran sesat ini kepada dua kumpulan. Kumpulan pemimpin dan yang dipimpin. Kedua – dua kumpulan ini ada keterikatannya tersendiri dengan ajaran mereka.

Kumpulan pemimpin ajaran sesat, lazimnya tahu kesesatan dan kesalahan mereka, tetapi tidak diendahkan kerana keuntungan yang mereka perolehi daripada penglibatan mereka. Samada berbentuk material, pengaruh, dan kuasa. Mereka bersifat manipulative ke atas pengikut – pengikut mereka. Mereka bijak menggunakan ruang yang ada untuk mendapatkan kesetiaan pengikut mereka dengan memanipulasi maklumat, mengada – adakan cerita, disamping juga menokok tambah dan meminda ajaran Islam bagi mendapat kepercayaan pengikut – pengikut. Penyakit tidak mahu terima kebenaran ini adalah warisan daripada Abu Jahal dan Abu Lahab bersama – sama pembesar Quraisy yang kafir. Bukannya mereka bodoh dalam menilai kebenaran dan kesucian ajaran Islam, tetapi mereka begitu degil dan angkuh dalam mengakui kebenaran Islam dan mengaku kepincangan mereka sebelum ini. Kerana bimbang hilangnya status mereka sebagai pembesar dan pemimpin masyarakat, mereka sanggup menipu diri sendiri. Dan habuannya, lihat sajalah kenderaan – kenderaan mewah milik pimpinan GPK yang diserbu. Untuk makluman anda, ahli – ahli di bawah diminta membayar wang yang cukup tinggi sebagai sumbangan mereka kepada perjuangan ‘Islam’. Kemudian, ke manakah duit itu akan pergi?

Kumpulan yang dipimpin atau golongan pengikut pula terikat dengan janji dan taat setia kepada kumpulan atau lebih mudah, taksub. Taksub pada kelebihan – kelebihan dan janji – janji yang ditawarkan oleh pemimpin. Yang lazim berlaku ialah apabila mereka yang tercari – cari kebenaran dalam beragama, tiba – tiba didatangi oleh kumpulan – kumpulan seumpama ini, diberi penerangan tentang agama, dikaitkan dengan permaslahan yang berlaku hari ini, dimaklumkan semua kerosakan dunia dan kepincangan sosial berlaku kerana masyarakat tidak berpegang ajaran ‘Islam yang sebenar’. Kemudian kumpulan – kumpulan ini mendakwa merekalah kumpulan yang bangun sebagai gerakan ‘Islam yang sebenar’, dan menyalahkan semua jemaah Islam yang lain. Mereka yang baru tercari – cari erti hidup beragama memang mudah terpesona apabila mendapati bukan salah mereka tidak beragama dengan sempurna sebelum ini, tetapi salah masyarakat yang memang tidak tahu beragama, ustaz ustazah, alim ulama’, menteri – menteri, semuanya tidak tahu beragama, sebab itulah masyarakat pincang. Oleh itu, mereka akan rasa terpilih kerana didekati kumpulan yang betul – betul ‘beragama’ dan diberi lagi hujah – hujah untuk mengikat mereka sehingga membentuk ketaksuban mereka kepada kumpulan sesat itu.

Permasalahannya, di mata pihak berkuasa, adakah mereka memandang mereka dua kumpulan berbeza yang perlu dirawat dengan kaedah yang berbeza bagi membanteras ajaran sesat yang dibawa? Mengikut pandangan Islam, secara asasnya, bagi mereka yang mengaku keIslaman mereka tetapi mempermainkan ajaran agama Islam, siasatan akan dibuat bagi memastikan kedudukan mereka samada mereka jahil atau mereka sengaja mempermainkan akidah. Bagi mereka yang sengaja mempermainkan akidah, boleh disabitkan kepada kesalahan murtad dan tentu sahaja akan membawa kepada hukuman bunuh mandatori. Sudah pasti sebelum itu ruang taubat dibuka kepada mereka dahulu. Bagi yang jahil, sudah pasti akan dibuka ruang pemulihan akidah bagi membetulkan pandangan mereka mengenai ajaran Islam yang sebenar. Andai setelah dibuka ruang, diberi ilmu tetapi mereka masih berpegang kepada akidah yang sesat dan bahaya itu, jika sampai disabitkan kepada kesalahan seperti di atas, hukuman bunuh mandatori dikenakan.

Persoalannya, adakah pihak berwajib mampu atau mahu laksanakan ini? Ataupun lebih mudah mereka menghumbankan semua dalam lokap ISA, soal akidah yang terpesong? Entahlah, mungkin soal akidah masyarakat Islam tidak mengganggu keselamatan politik pihak berwajib. Jadi, saya tanyakan semula, di mana mereka akan berada?

9 thoughts on “Di mana mereka akan berada?

  1. Salam…

    Artikel yg menarik.

    Sama2 kita doa kn hukuman yg sepatutnya dikenakan kepada mereka.

  2. Wassalam, terima kasih The Green Cendol. Maaf tak dapat approve komen lebih awal, masalah internet. InsyaAllah, secara individu, kita usahakan diri untuklakukan sesuatu mengenai hal ini.

    Buat saudara al-kahfi, tahniah atas usaha saudara terus menerus memaparkan berita – berita terbaru mengenai GPK. Mudah – mudahan, penyebaran tesebut dapat membantu ummah secara menyeluruh untuk berhati – hati terhadap GPK. Saya menyokong usaha anda.

    Bagaimanapun, perspektif saya lebih luas, saya bukan hanya memandang isu GPK sahaja, tetapi isu penyelewengan akidah. Mereka normal, cuma kefahaman akidah mereka tergugat. Bagi saya yang penting mencarikan jalan untuk mereka kembali kepada seruan Allah SWT. InsyaAllah kita sama – sama usahakan.

  3. “Dan orang-orang yang menjauhi Taghut tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, mereka pantas mendapat berita gembira; sebab itu sampaikanlah khabar gembira itu kepada hamba-hambaKu,

    “iaitu mereka mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal sihat”

    “… Therefore, congratulate My servants who listen to all views, then follow the best. These are the ones guided by God; these are the intelligent ones.”

    (Quran,39:17-18)

  4. Sebenarnya saya tidak tahu apa yang Rusa Emas mahu sampaikan dengan memetik ayat – ayat al-Quran di atas. Tetapi dari segi tatacara penulisan dan alamat emel yang menggunakan perkataan khaulah konsisten dengan komen khaulah al-azwar di “http://suarajagat.wordpress.com/2009/08/09/buyut-terbakar/#comment-354“. Komen tersebut jelas menunjukkan anda berpihak dan menyokong GPK. Kalau benar tanggapan saya, saya harap anda bersedia untuk membuka ruang diskusi antara kita. Sesungguhnya Allah berfirman dalam surah al-baqarah ayat 111, bilamana golongan Yahudi dan Nasrani mendakwa mereklah ahli Syurga;

    “Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika benar kamu dari golongan yang benar”

  5. Salam saudara.

    Diskusinya mudah. Saya sebagai seorang hamba Allah lebih senang melihat situasi semasa dengan berpandu al-Quran. Saya tidak menyokong/membantah mana-mana pihak tanpa usul periksa. Isu anak-anak muda yang belajar/mengajar al-Quran itu, saya sifatkan sebagai petanda baik kepada kebangkitan muslim zaman baru. Saya bukanlah Tuhan untuk menghukum mereka sesat atau seleweng(Quran,10:35-36), kerana saya sendiri tidaklah pasti hujung pangkal penangkapan mereka(Quran,4:105,4:135). Kedua,saya sedar betapa setiap saat kehidupan manusia di dunia ini, kita sedang diuji Allah(Quran,5:8,7:168,23:62). Ketiga,kebenaran yang mutlak bukanlah milik saya,anda atau siapa/perlambangan apa pun,tetapi hanyalah milik Allah(Quran,28:75).

    Berdasarkan dalil al-Quran di atas(Quran,39:17-18), saya yakin dan percaya setiap insan ciptaan Allah(Quran,55:3) ini diberi akal untuk memikirkan, melaksanakan, dan menegakkan keadilan(Quran,2:269,3:190-191) sepertimana yang Allah serukan kita, sebagai khalifah(Quran,2:30,38:26,35:39,7:129,27:62) di muka bumiNya.

    Saya juga tidaklah pasti sama ada polemik pihak media dan jabatan agama islam, yang menyatakan mereka ditangkap kerana tidak bertauliah itu sebagai satu LESEN PERCUMA untuk ahli masyarakat(Quran,7:98) seperti anda,dan blogger2 lain MENUDUH mereka sesat/seleweng dari agama yang benar. Mereka mungkin ditangkap atas dakwaan tidak bertauliah, namun siapakah pula yang mentauliahkan lesen kebenaran kepada sekalian blogger yang suka menangguk di air keruh(Quran,4:83)?

    Saya melihat isu ini mudah, setiap kita ini..siapa pun kita di mata masyarakat, kita ni TETAPLAH HAMBA kepada ALLAH;Pencipta kita dan semesta alam. Jika kita benar2 mengaku diri kita muslim, kita mestilah PERCAYA kepada kewujudan Allah,malaikat-malaikatNya,kitab-kitabNya,Rasul-rasulNya,Hari Kebangkitan, Qada’ dan Qadar (ketentuan) Allah(Quran,4:136). Jika kita mengaku Al-Quran itu daripada Allah(Quran,40:2,5:48), tentulah kita mahu mengenal,memahami, dan melaksanakan perintah-perintah di dalamnya(Quran,42:52,25:52). ALLAH YANG MAHA ADIL telah mengurniakan setiap kita yang normal sifat ini dengan akal fikiran, dan hati nurani untuk mendengar, memerhati, mengkaji dan meneroka sendiri ayat-ayatNya(Quran,39:27,39:41) / tanda-tanda keagunganNya (baca kisah keyakinan Ibrahim; Quran,6:74-83). Jika kita sebagai muslim percaya mashaf al-Quran yang kita baca pada hari ini adalah BENAR-BENAR wahyu Allah yang terpelihara (Quran,10:37,56:77-78,4:82,4:105), mengapa tidak kita berbalik merujuk segala perselisihan kepada kitabNya(Quran,2:176,2:213)? Al-Quran adalah cahaya yang menerangi setiap diri manusia daripada kegelapan (Quran,57:9,14:1),jadi usahlah kita mengada-adakan tandingan bagi Allah(Quran,14:30) dalam menetapkan hukum kepada manusia yang lain(Quran,40:20,43:44).

    Sebagai ahli masyarakat,kita patut hisab diri kita dulu sebelum kita hisab dosa pahala orang lain(Quran,17:14).Allah telah berpesan pada kita tentang konsep pahala ini(Quran,4:123), dan meminta kita untuk berlaku adil dalam pertimbangan(Quran,17:35) kerana sesungguhnya pendengaran,penglihatan dan hati kita akan diminta pertanggungjawaban (Quran,17:36-39).

    Sekian.Wallahualam

  6. Salam

    Pertamanya, saya minta saudara/i Rusa untuk kemukakan bukti jika benar saya mengatakan mereka yang ditangkap pada 9 Ogos yang lalu adalah pengikut ajaran sesat. Kerana saya nafikan jika anda mengatakan saya berbuat begitu. Saya petik semulan hasil tulisan saya di atas:

    “Mereka yang diserbu dan ditahan itu didakwa atas kesalahan terlibat dengan pengajian agama tanpa tauliah. Walaupun masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak berwajib, desas desus daripada beberapa bloggers di internet seperti suarajagat, mendakwa kumpulan tersebut adalah kumpulan Gerakan Pemuda Kahfi (GPK) yang seketika dahulu popular di akhbar tabloid Malaysia (saya tidak ingat samada Kosmo atau Harian Metro). Hal ini ditambah lagi dengan wawancara TV3 dengan ketua operasi serbuan, Mohd Zul Sidek samada kumpulan ini terlibat dengan pergerakan Negara Islam Indonesia (NII), nama lain GPK.”

    Sila bezakan kenyataan peribadi saya dan kenyataan yang saya petik daripada pihak lain secara analitik. Disamping itu, saya juga langsung tidak menyatakan bahawa saya bersetuju atau tidak dengan kenyataan – kenyataan mereka. Sebaliknya saya serahkan kepada nilaian pembaca.

    Oleh itu, saya minta anda untuk buktikan secara jelas jika saya menuduh mereka yang ditahan itu adalah golongan ajaran sesat. Jika anda gagal, ternyata apa yang anda hujahkan dalam perenggan ketiga anda adalah TERBATAL. Tidak perlu saya jawab mengenai larangan Allah SWT kepada penyebaran berita tanpa merujuk kepada pihak berkuasa, kerana saya tidak melanggarinya.

    Kedua, isu anak-anak muda yang belajar/mengajar al-Quran itu, saya sifatkan sebagai petanda baik kepada kebangkitan muslim zaman baru. Ya, saya sokong. Silakan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Amalkan cara hidup Islam. Saya langsung tidak membantah kepada perkara itu. Nyatakan juga bukti jika ada saya mengatakan itu adalah salah atau saya nyatakan mereka yang kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah sesat. Sesungguhnya saya sangat berpegang kepada firman Allah SWT antaranya;

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri diantara kamu . Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kiamat, demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik sesudahnya”.
    (An Nisa’:59)

    “Apapun yang kamu perselisihkan, maka keputusannya (hendaklah di kembalikan) kepada Allah”.
    (Asy Syuura:10)

    “Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku”.
    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Jadi atas sebab apa pula saya mahu mengatakan perbuatan itu adalah salah? Sekali lagi saya minta anda buktikan jika saya berkata begitu.

    Ketiga, saya tidak faham apa kaitan diskusi kita dengan hujah dalam perenggan ini:

    “ Saya melihat isu ini mudah, setiap kita ini..siapa pun kita di mata masyarakat, kita ni TETAPLAH HAMBA kepada ALLAH;Pencipta kita dan semesta alam. Jika kita benar2 mengaku diri kita muslim, kita mestilah PERCAYA kepada kewujudan Allah,malaikat-malaikatNya,kitab-kitabNya,Rasul-rasulNya,Hari Kebangkitan, Qada’ dan Qadar (ketentuan) Allah(Quran,4:136). Jika kita mengaku Al-Quran itu daripada Allah(Quran,40:2,5:48), tentulah kita mahu mengenal,memahami, dan melaksanakan perintah-perintah di dalamnya(Quran,42:52,25:52). ALLAH YANG MAHA ADIL telah mengurniakan setiap kita yang normal sifat ini dengan akal fikiran, dan hati nurani untuk mendengar, memerhati, mengkaji dan meneroka sendiri ayat-ayatNya(Quran,39:27,39:41) / tanda-tanda keagunganNya (baca kisah keyakinan Ibrahim; Quran,6:74-83). Jika kita sebagai muslim percaya mashaf al-Quran yang kita baca pada hari ini adalah BENAR-BENAR wahyu Allah yang terpelihara (Quran,10:37,56:77-78,4:82,4:105), mengapa tidak kita berbalik merujuk segala perselisihan kepada kitabNya(Quran,2:176,2:213)? Al-Quran adalah cahaya yang menerangi setiap diri manusia daripada kegelapan (Quran,57:9,14:1),jadi usahlah kita mengada-adakan tandingan bagi Allah(Quran,14:30) dalam menetapkan hukum kepada manusia yang lain(Quran,40:20,43:44).”

    Nampak seolah – olah satu silibus asas yang dicedok daripada mana – mana kelas pengajian akidah. Kemudian dimasukkan dalam satu bakul dan dilepaskan disini. Tetapi terus terang, saya setuju kepada keseluruhan perenggan, tidak pula saya nafikan, jadi, saya pelik, apa yang mahu ditimbulkan di sini? Tolong jelaskan?

    Keempat, mengenai perenggan terakhir,

    “Sebagai ahli masyarakat,kita patut hisab diri kita dulu sebelum kita hisab dosa pahala orang lain(Quran,17:14).Allah telah berpesan pada kita tentang konsep pahala ini(Quran,4:123), dan meminta kita untuk berlaku adil dalam pertimbangan(Quran,17:35) kerana sesungguhnya pendengaran,penglihatan dan hati kita akan diminta pertanggungjawaban (Quran,17:36-39).”

    Begitu juga perenggan ini. Apa yang anda benar – benar mahu jelaskan? Apakah kesimpulan yang anda ingin nyatakan? Apakah yang anda benar faham maksud surah al-isra’ ayat 14 itu;

    “(lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang Segala Yang telah Engkau lakukan)”.

    Adakah anda hanya mengambil bahagian;

    “…cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang Segala Yang telah Engkau lakukan)”.

    Oleh itu anda mengatakan kita hendaklah menghisab diri kita sendiri. Batilnya pandangan ini. Di sini saya petik surah al-isra’ ayat 13 dan 14 supaya anda renung kembali;

    “dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari Kiamat kelak kami akan keluarkan kepadanya Kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang Segala Yang telah engkau lakukan)”.

    Arahan menghitung diri sendiri itu adalah sindiran Allah pada kita kelak apabila menerima kitab suratan amal di akhirat kelak. Masa itu fikirkanlah nasib sendiri layak atau tidak ke syurga berdasarkan suratan amal kita. Dan kalimah “kitab” yang dimaksudkan dalam ayat – ayat di atas adalah suratan amal. Tidak perlu saya hujah panjang, teliti sahaja terjemah ayat ke 13;

    “dan pada hari Kiamat kelak kami akan keluarkan kepadanya Kitab”

    Dan mengenai ayat – ayat lain dalam perenggan terakhir tersebut, saya tiada masalah dengan komen anda. Saya bersetuju.

    Jadi apa sebenarnya anda mahu maksudkan di sini? Terus terang saya tanya, anda sendiri fahamkah apa yang anda tulis, ataupun anda sekadar menghumbankan silibus atau skema daripada mana – mana pengajian yang anda ikuti? Saya cuba menganggap anda bukan ahli GPK walaupun tatacara anda sangat menyamai ahli GPK. Oleh itu, saya minta anda jawab persoalan yang saya timbulkan dengan jawapan yang kemas, wajar, mudah difahami. Kerana itu adalah sunnah, sabda baginda SAW;

    “Permudahkan, jangan kamu susahkan; dan berilah khabar gembira dan jangan ditakut-takutkan (sehingga membuatkan orang lari)”
    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Disamping itu, ingin saya nyatakan disini, janganlah hanya kerana anda menggunakan lambakan ayat – ayat al-Quran sebagai sandaran, maka anda berpendapat pandangan anda adalah benar. Itu adalah batil sama sekali. Berapa ramai golongan yang berhujah menggunakan al-Quran dan Hadith, tetapi tidak menuruti apa yang dikehendaki sebenarnya oleh al-Quran dan Hadith. Hanya bersandarkan sumber yang sahih tidak menjamin pandangan yang anda mengenai sumber tersebut adalah sahih. Sila rujuk artikel daripada Ustaz Hasrizal untuk difikirkan:


    http://saifulislam.com/?p=257

  7. Salam saudara,(Quran,24:27)

    Terima kasih atas ulasan berjela anda. Saya tidak ingin berdebat dengan anda(Quran,29:46,40:56) Intipati posting kedua saya di atas, tidak lain dan tidak bukan adalah rentetan kepada posting pertama saya di blog anda ini. Sekadar ingatan dan pencerahan kepada diri saya,anda,serta sekalian pembaca blog2 lewat isu semasa yang berlaku di tanahair kita ini.(Quran,3:110)

    Saya yakin setiap ahli masyarakat yang berakal sihat punya daya penaakulan yang berbeza-beza dalam membaca situasi semasa masyarakat manusia hari ini, di mana-mana sahaja. Perbezaan pendapat itu bagus, sebagai tanda keunikan peribadi setiap manusia,ciptaan Allah. Namun, harus kita fikirkan juga ke mana dan di mana segala perbezaan ini kita halakan? Kepada redha Allah atau kepada murkaNya? Kepada perdamaian sejagat(Quran,4:114,8:61) ATAU kepada kehancuran/peperangan sejagat(Quran,30:41)? Silalah jawab dalam hati masing2(Quran,17:14). Sesungguhnya ALLAH sendiri telah mengesahkan hanya Dia sahaja yang dapat mempersatukan hati-hati kecil manusia(Quran,3:103).

    Maka, penting untuk kita menaakul/menimbang maklumat yang kita dapat daripada pelbagai sumber(QURAN,39:17-18). Namun, sumber utamanya haruslah kita semua kembalikan pemahaman kita kepada kitab ALLAH, dan kepada kutub yang SATU (Quran,2:149-150)

    Serba sedikit,saya berharap posting seringkas ini dapat membantu mencerahkan pemikiran masyarakat kita hari ini, terutamanya kepada pencari2 maklumat di dunia maya untuk menggali dan memaknakan definisi ISLAM yang sebenar, lagi syumul.(Quran,2:142-143,2:208,30:30)

    Alhamdulillahi robil ‘alamin (Quran,10:10)
    Salamun alaikum bima shabartum (Quran,13:24)

  8. Salam Rusa..

    Astaghfirullah..

    Apa yang anda permainkan di sini? Beginikah akhlak seorang muslim? Apabila menuduh tanpa bukti kemudian dicabar kemukakan bukti dengan cara mudah anda mengatakan tidak mahu berdebat? Sunnah Nabi mana yang anda ambil? Dalil ayat mana yang anda guna?

    Anda dakwa anda gunakan dalil surah al-ankabut, ayat 46, terjemahannya berbunyi;

    “dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.”

    Apa yang anda faham daripada ayat di atas? Kononnya anda tidak mahu berdebat kerana bersandarkan ayat di atas? Itu bukan ayat larangan berdebat, itu ayat perintah Allah SWT kepada kaum muslim supaya berdebat/berbahas/berhujah dengan Ahli Kitab dengan cara yang baik dan sopan melainkan mereka (Ahli Kitab) berbuat kasar, maka diharuskankaum muslimin untuk membalasnya dengan cara yang kasar. Ayat tersebut adalah satu uslub (cara) berdakwah yang Allah perintahkan kita untuk lakukan, bukan jangan buat. Anda MAHU MEMPERMAINKAN AYAT – AYAT ALLAH SWT KAH? JANGAN KURANG AJAR! (Maaf, saya akan berkasar jika anda terus mempermainkan ayat al-Quran sesuka hati anda)

    Seterusnya anda memetik surah al-mukmin ayat 56 yang berbunyi;

    “Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran (untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

    Apa yang anda mahu maksudkan? Adakah dalil ini juga menjadi sandaran anda untuk tidak mahu berdebat? Anda baca atau tidak ayat di atas dengan tertib? Anda fahamkah apa yang disampaikan? Adakah anda mahu mengatakan saya ini adalah golongan yang membantah mengenai ayat – ayat Allah? Kalau itu tuduhan anda, buktikan tuduhan anda itu benar. Itu adab orang berilmu, itu sunnah nabi, itu perintah Allah SWT, jika anda benar, sila buktikan, firman Allah SWT;

    “… Katakanlah (Wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
    (al-baqarah:111)

    Mengenai perenggan kedua anda, benar, saya sangat menghormati perbezaan pendapat antara khemah-khemah jemaah Islam. Islam meraikan perbezaan. Tetapi, dalam hal – hal furu’ (ranting/cabang). Bukan hal – hal dasar. Bukan hal yang telah disepakati oleh jumhur ulama’, bukan perkara yang menyalahi al-Quran dan sunnah baginda Rasulullah SAW.

    Saya ulang kembali, kita boleh mengakui kita bersumberkan al-Quran dan Hadith, tetapi adakah benar cara kita memahami al-Quran dan Hadith itu bertepatan dengan cara yang dimaksudkan dengan al-Quran dan Hadith? Adakah pendapat kita sohih kerana rujukan kita sohih? Tidak sama sekali. Kalaupun rujukan kita sohih, yakni alQuran dan Hadith, tetapi cara kita memproses maklumat itu tidak mengikuti tatacara alQuran dan Hadith, maka pandangan kita yang terhasil daripada rujukan yang sohih itu adalah menyeleweng sama sekali.

    Dan untuk perenggan – perenggan seterusnya saya tidak terasa perlu saya responkan. Macam saya katakan, anda seolah – olah menyumbat sebakul skema atau silibus kelas pengajian anda ke sini atas alasan “pencerahan”.

    Astaghfirullah. Terus terang, saya simpati kepada anda. Kerana, “pencerahan” yang anda buat di sini tidak lain tidak bukan adalah kekeliruan. Anda menuduh tanpa bukti dan bila diminta bukti, anda berdalih, anda mengeluarkan hujah kononnya bersandarkan ayat al-Quran sekian – sekian tetapi ternyata menyimpang. Kalau mahu berdalilkan alQuran, ada tutur caranya, ada adabnya, ada sopan santunnya, anda jangan jadi seperti monyet, bila dibagi bunga, habis bunga dirosakkannya asalkan dia puas hati. Anda juga jangan berkelakuan seperti Yahudi, apabila diberi kitab, diambil sahaja apa yang mahu dibicarakan dan disembunyikan kebenaran, firman Allah SWT;

    “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam al-Kitab (Kitab Suci), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.”
    (al-baqarah:159)

    Sekarang ini, saya mencabar anda mengatakan anda adalah benar dalam perkataan anda, menyatakan bukti kesalahan saya dan seterusnya kesalahan saya dalam hujah saya. Saya berhujah atas ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Berdasarkan surah al-baqarah, ayat 111 yang saya nyatakan di atas, wajib bagi anda menjawab hujah saya jika anda golongan yang benar. Kerana segala kekeliruan yang anda timbulkan wajib diselesaikan. Wajib bagi anda menjawab atas segala pertanyaan saya mengenai dalil anda yang saya dapati menyeleweng, jika anda salah, akuinya dan bertaubatlah, jangan mudah mempermainkan isi kandungan al-Quran. Saya tidak kan marah jika anda menghina saya, tetapi jangan menghina ayat – ayat Allah atas perbuatan seperti itu! Dan saya pulangkan semula peringatan Allah SWT yang anda sisipkan dalam tulisan anda;

    “Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran (untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”
    (al-mukin:56)


    Bertaubatlah, sejujurnya, saya tahu anda adalah ahli GPK, ahli madinah (MD) bukan? Saya bukan mahu berperang mulut dan hujah yang sia – sia, tetapi membuka ruang untuk kita mencari kebenaran dengan disiplin ilmu Islam yang hakiki, bukan mengikut hawa nafsu.

    Wallahualam.

Tinggalkan komen